Tazkirah

Character is what you know you are, not what others think you have.

Keperibadian adalah apa yang anda ketahui tentang diri anda sendiri, bukannya apa yang difikirkan oleh orang lain tentang keupayaan anda.

Featured post

Orang Haus Diberi Air, Orang Lapar Diberi Nasi.

Haus itu dahaga, dahaga itu akan hilang apabila mennerima air. Lapar itu adalah satu perasaan yang memerlukan makanan. dan dalam konteks mak...

Admin Blog

Admin Blog
MUSLI ANDALAN

Blog Archive

Friday, December 25, 2009

Peningkatan peratus 8 negeri


SEBAHAGIAN pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan PMR Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Empat, Bandar Baru Bangi gembira kerana sekolah mereka terpilih sebagai Sekolah Menengah Harian Terbaik seluruh Malaysia.


KUALA LUMPUR 24 Dis. - Lapan negeri mencatatkan peningkatan peratus calon yang memperolehi A dalam semua mata pelajaran yang diambil pada Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2009 yang diumumkan hari ini berbanding tahun lalu.

Negeri tersebut ialah Kuala Lumpur, Selangor, Perlis, Sabah, Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Sarawak.

Di Kuala Lumpur, seramai 1,939 calon PMR memperoleh gred A dalam kesemua mata pelajaran yang diambil dan peningkatan yang dicatatkan ialah 150 calon atau 0.47 peratus berbanding tahun lepas.

Pengarah Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan, Sulaiman Wak berkata, daripada jumlah calon yang memperoleh semua A berkenaan seramai 70 calon mendapat 9A, 1,215 (8A) dan 654 (7A).

Sementara itu sekolah yang memperoleh pencapaian terbaik PMR di Kuala Lumpur adalah Sekolah Menengah Sains Selangor dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kuala Lumpur untuk kategori sekolah berasrama penuh sementara Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki mencatatkan pencapaian terbaik bagi kategori sekolah harian.

Selangor turut mencatatkan peningkatan daripada segi jumlah pelajar yang mendapat semua A dalam kesemua mata pelajaran yang diambil dengan 8.81 peratus atau 6,592 pelajar daripada 74,855 calon yang menduduki PMR mendapat kesemua A.

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Empat, Bandar Baru Bangi di Selangor muncul sekolah harian keseluruhan terbaik dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2009.

Pengarah Pelajaran Negeri, Dr. Zahri Aziz berkata, angka itu menunjukkan peningkatan sebanyak 0.6 peratus berbanding tahun lalu hanya 6,005 pelajar memperoleh keputusan yang sama.

Malah katanya, purata pencapaian pelajar yang dikategorikan dalam gred purata skor (GPS) termasuk keputusan lulus dengan minimum gred D berada pada paras 2.63 berbanding keputusan tahun lalu sebanyak 2.68 iaitu peningkatan sebanyak 0.05.

Sementara itu di Kangar, seramai 282 calon PMR 2009 di Perlis mencatat keputusan A dalam semua mata pelajaran berbanding 276 orang bagi tahun 2008.

Jumlah itu merupakan 6.10 peratus daripada keseluruhan 2,636 calon yang mengambil peperiksaan tersebut di 34 pusat peperiksaan di negeri ini.

Pengarah Pelajaran negeri, Mansor Lat berkata, daripada 282 pelajar itu, 49 calon mendapat 9A, 222 pelajar memperolehi 8A dan 11 lagi merekodkan 7A.

"Tiga sekolah pula mengekalkan pencapaian 100 peratus kelulusan dengan minimum gred D dalam semua mata pelajaran ialah Sekolah Menengah Kebangsan (SMK) Derma, Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra dan SMK Dato' Sheikh Ahmad," katanya.

Turut menyaksikan peningkatan ialah Sabah di mana seramai 734 calon PMR mendapat semua A dalam kesemua mata pelajaran tahun ini berbanding 659 pada tahun sebelumnya.

Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri, Dr. Muhiddin Yusin berkata, bilangan itu berdasarkan calon yang mengambil lebih daripada tujuh mata pelajaran dalam peperiksaan berkenaan.

Jumlah pelajar yang mendapat A dalam kesemua mata pelajaran pada tahun ini turut meningkat sebanyak 0.47 peratus kepada 3,308 daripada calon 3,031 pada tahun lalu.

Di Johor, Pengarah Pelajaran negeri, Sufa'at Tumin berkata, sebanyak 16 buah sekolah mencapai 100 peratus calon lulus berbanding 15 buah sekolah pada tahun lalu.

Katanya, antara sekolah yang berjaya mencapai 100 peratus adalah Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru; Sekolah Menengah Sains (SMS) Johor, Kluang; SMS Kota Tinggi, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail dan Sekolah Seni di Johor Bahru.

Di Melaka, seramai 1,074 atau 1.39 peratus daripada 14,664 calon di negeri tersebut memperoleh A bagi semua mata pelajaran.

Pengarah Pelajaran negeri, Isa Abu berkata, pencapaian tahun ini menunjukkan peningkatan berbanding hanya 879 daripada 14,692 calon yang lulus semua mata pelajaran dalam PMR tahun lepas.

"Sebanyak tiga buah sekolah pula, telah mencapai 100 peratus penguasaan minimum Gred D iaitu Sekolah Menengah Sains Muzaffar Shah, Sekolah Menengah Kabangsaan (SMK) Ghafar Baba dan SMK Iskandar Shah," katanya.

Di Negeri Sembilan, seramai 1,418 daripada 19,697 pelajar semua jenis sekolah di negeri berkenaan memperolehi semua A dalam semua mata pelajaran.

Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan Pelajaran negeri, Mohd. Razib Jamaludin berkata, daripada jumlah berkenaan, seramai 224 calon mendapat 9A; 974 mendapat 8A manakala selebihnya memperolehi 7A.

Beliau menjelaskan, peningkatan yang dicatatkan adalah sebanyak 8.1 peratus iaitu sebanyak 101 pelajar berbanding pada 2008 iaitu seramai 1,317 pelajar.

Sarawak merupakan negeri yang mencatatkan peningkatan ketara dalam bilangan calon yang mendapat A dalam kesemua mata pelajaran yang diambil dengan 1,860 atau 4.67 peratus memperoleh kesemua A.

Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak, Julaihi Bujang berkata, jumlah tersebut merupakan peningkatan ketara iaitu pertambahan sebanyak 297 orang atau 19 peratus berbanding bilangan calon pada tahun 2008 yang mendapat A dalam semua mata pelajaran.

Katanya, lima buah sekolah di Sarawak mencapai 100 peratus penguasaan minimum D bagi semua mata pelajaran yang diambil.

Sementara itu di Perak, Ketua Sektor Pengurusan Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Perak, Abdul Ghani Mohamad Nizar berkata, enam lagi sekolah yang mencatatkan kelulusan 100 peratus ialah Sekolah Menengah Sains Teluk Intan, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Sekolah Menengah Sains Tun Azlan Shah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasik Taiping dan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gopeng.

Terengganu mencatatkan keputusan PMR tertinggi dengan pencapaian nilai gred purata negeri (GPN) 2.60 mengatasi gred purata nasional 2.78.

Pengarah Pelajaran Negeri, Ariffin Embong berkata, kesemua 22,954 calon PMR yang menduduki peperiksaan itu pada tahun ini berjaya melanjutkan pelajaran ke tingkatan empat, tahun depan.

Katanya, pencapaian Minimum D juga telah meningkat sebanyak 1 peratus daripada 62.4 peratus pada tahun 2008 kepada 63.4 peratus.

Sementara itu pencapaian A dalam semua mata pelajaran bagi 2009 tidak berubah berbanding 2008 iaitu 7.1 peratus, tambah beliau.

Di Kedah, seramai 1,736 pelajar daripada keseluruhan 35,155 calon sekolah kerajaan di negeri berkenaan berjaya mendapat semua A bagi semua mata pelajaran.

Pengarah Pelajaran negeri, Shahidan Abd. Rahman berkata, daripada jumlah berkenaan, seramai 198 calon mendapat 9A; 1,369 calon mendapat 8A dan 169 calon memperoleh 7A.

Katanya, pencapaian gred purata negeri bagi tahun ini pula menunjukkan peningkatan sebanyak 0.048 kepada 2.878 berbanding 2.926 pada tahun lalu.

Di Pulau Pinang, seramai 1,976 daripada 22,172 pelajar yang menduduki peperiksaan PMR di negeri berkenaan lulus dengan cemerlang apabila memperolehi gred A dalam semua mata pelajaran diambil.

SMS Tengku Abdullah terbaik empat tahun

RAUB 24 Dis. - Sekolah Menengah Sains (SMS) Tengku Abdullah di sini mengekalkan rekod sebagai sekolah terbaik di Pahang bagi kali keempat berturut-turut apabila 108 daripada 125 calonnya memperoleh semua A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2009.

Pengetuanya, Kamaruddin Kasim berkata, pencapaian terbaik sejak 2006 itu membuktikan perancangan yang baik disusuli aktiviti strategik mampu membawa kejayaan cemerlang.

Lebih membanggakan katanya, keputusan 100 peratus itu mencatatkan Gred Purata Sekolah (GPS) lebih baik iaitu sebanyak 1.02 pada tahun ini berbanding 1.05 tahun lalu.

''Daripada 108 calon PMR 2009 yang memperoleh semua A itu, seramai 106 pelajar adalah Melayu dan selebihnya daripada kaum Cina,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, berdasarkan rekod pencapaian 8A lima tahun lalu, seramai 88 calon mendapat keputusan itu pada tahun 2005, 81 orang pada 2006, 95 orang (2007) dan 94 calon (2008).

Pelajar tahfiz Pahang cemerlang


Sebahagian pelajar cemerlang PMR, Maahad Tahfiz Yayasan Pahang, Tanjung Lumpur yang mendapat keputusan 9A gembira menerima keputusan peperiksaan itu di Kuantan, Pahang, semalam. – UTUSAN/Mahathir Ali


KUANTAN 24 Dis. – Berpegang kepada prinsip untuk mencapai kejayaan dunia dan akhirat, seramai 19 bakal hafiz Sekolah Maahad Tahfiz Pahang, Tanjung Lumpur di sini mendapat 9A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan hari ini.

Bagi mereka, kesibukan menghafal al-Quran seharian bukan penghalang untuk muncul sebagai pelajar cemerlang dalam akademik.

Lebih membanggakan, kebanyakan ‘ustaz muda’ yang mampu menghafal 30 juzuk al-Quran itu turut cemerlang dalam kegiatan kokurikulum terutama sukan menunggang kuda, memanah dan reka cipta robotik apabila ada di kalangan mereka pernah mewakili negeri di peringkat kebangsaan.

Seorang pelajar, Mohd. Nazmi Nordin, 15, yang berasal dari Kampung Tok Sira di sini berkata, daya ingatan yang tinggi dalam penghafalan al-Quran mungkin antara rahsia kejayaannya mendapat 9A dalam PMR.

Anak bongsu daripada enam beradik itu memberitahu, dia sering mengulangkaji pelajaran selepas solat subuh kerana waktu itu daya ingatannya masih segar.

‘‘Saya juga kerap menunaikan solat hajat dan membaca serta menghafal al-Quran sebelum solat subuh,” katanya yang pernah mendapat anugerah Tunas Jaya peringkat kebangsaan dua tahun lalu.

Selain mencapai keputusan cemerlang dalam PMR, anak kepada seorang peniaga itu pernah mendapat tempat ketiga dalam pertandingan menghafal al-Quran peringkat negeri dua tahun lalu.

Mohd. Nazmi juga terlibat secara aktif dalam sukan memanah dan menunggang kuda selain pernah mewakili sekolahnya dalam pertandingan robotik peringkat negeri baru-baru ini.

Seorang lagi bakal hafiz yang mendapat 9A dalam peperiksaan itu ialah Norly Erfariza Ibrahim, 15, yang kini berjaya menghafal 26 daripada 30 juzuk al-Quran sejak dua tahun lalu.

Anak sulung daripada empat beradik itu bersetuju dengan pandangan Mohd. Nazmi bahawa ingatannya ketika mengulangkaji pelajaran semakin kuat apabila semakin banyak juzuk al-Quran yang dihafalnya.

‘‘Saya kerap mengulangkaji pelajaran selepas pukul 12 tengah malam kerana sebelum itu saya penuhkan masa dengan menghafal al-Quran.

‘‘Dalam pada itu, saya menjadikan solat qiamullail sebagai amalan harian,” katanya yang berazam untuk mengulangi kejayaan cemerlangnya itu dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dua tahun lagi.

Rakannya yang turut memperoleh keputusan sama, Kashfi Khairusalleh, 15, memberitahu, walaupun waktu tidurnya hanya empat jam sehari namun ia tidak menghalangnya untuk mendapat kejayaan dalam akademik.

Menurutnya, sebahagian besar kehidupannya dalam sehari dipenuhi dengan pelbagai aktiviti seperti menelaah pelajaran, menghafal al-Quran, bersukan dan beribadat.

‘‘Saya akan tidur pada pukul 12 tengah malam dan bangun semula kira-kira pukul 4 pagi untuk bersolat hajat dan membaca al-Quran.

‘‘Selepas solat subuh, saya akan mengulangkaji pelajaran dan pada sebelah petang saya terlibat dalam aktiviti sukan menunggang kuda,” katanya yang bercita-cita mahu menjadi doktor.

Selain mencapai kejayaan dalam PMR, Kashfi memberitahu, dia pernah mendapat tempat ketiga dalam Pertunjukan Kuda Kebangsaan di Terengganu, bulan lalu.

Sementara itu, Pengarah Maahad Tahfiz Pahang, Datuk Zulkifle Ali memberitahu, pencapaian sekolah itu amat membanggakan apabila tiada calon mendapat C dalam PMR 2009.

Daripada 28 calon peperiksaan itu, kata beliau, seramai 19 pelajar atau 68 peratus mendapat 9A, tujuh calon (25 peratus) mendapat 8A 1B manakala selebihnya atau tujuh peratus memperoleh 7A 2B.

‘‘Seramai 15 pelajar lelaki dan empat pelajar perempuan mendapat 9A dalam PMR 2009. Ini merupakan pertama kali Maahad Tahfiz Pahang melaksanakan PMR sejak ditubuhkan tiga tahun lalu,” katanya.

Apa yang membanggakan, kata Zulkifle, kesemua calon terbabit kini mampu menghafal antara 25 hingga 30 juzuk al-Quran.

Beliau menambah, seramai 18 pelajar lelaki dan 10 calon perempuan menduduki peperiksaan itu pada tahun ini.

Anak kembar peniaga roti canai membanggakan

KANGAR 24 Dis. - Tiada yang lebih menggembirakan seorang peniaga roti canai di Taman Kemajuan di sini selain melihat keputusan cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) anak kembarnya yang diketahui hari ini.

Hajamohideen Abdul Razak, 40, sebak seketika apabila melihat slip keputusan peperiksaan anaknya itu yang menunjukkan kedua-dua mereka mendapat 8A.

Sebelum itu, anak sulungnya, Nur Izzati Najwa, 15, dan kembarnya, Nur Izzat Najmi, 15, hanya mendiamkan diri apabila ditanya tentang keputusan peperiksaan tersebut sewaktu tiba di warung roti canai Hajamohideen.

Hajamohideen terkaku dan menitiskan air mata kegembiraan apabila mendapati anak kembarnya itu masing-masing memperoleh keputusan cemerlang.

Lebih menggembirakan peniaga roti canai itu apabila mengetahui anaknya berada dalam senarai 102 pelajar cemerlang yang memperoleh semua A dalam PMR di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma, di sini.

Nur Izzati Najwa dan Nur Izzat Najmi ketika ditemui menyatakan, mereka menghadiahkan kecemerlangan itu buat ayah dan ibunya, Faridah Md. Ramli, 39.

"Ini adalah hadiah buat ayah dan emak. Hadiah kedua, insya-Allah akan kami berikan melalui Sijil Pelajaran Malaysia," kata Nurul Izzat Najmi yang bercita-cita menjadi akauntan.

Saling mencabar rahsia kejayaan kembar

KEPALA BATAS 24 Dis. - Sikap saling mencabar antara satu sama lain menjadi rahsia kejayaan pasangan kembar sehingga mereka muncul sebagai antara pelajar cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2009 yang diumumkan hari ini.

Nur Fatehah Md. Shakur, 17, dan adiknya, Nur Faten Nadirah dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Al-Irshad di sini masing-masing memperoleh 9A dalam peperiksaan tersebut.

Dikurniakan dengan kelebihan dan kecenderungan dalam mata pelajaran yang berbeza, Nur Fatehah dan Nur Faten Nadirah mengakui sering berlumba untuk memperoleh keputusan paling cemerlang.

Nur Fatehah dikenali rakan-rakannya sebagai 'genius' bagi mata pelajaran matematik manakala Nur Faten Nadirah pula terkenal dengan kehebatannya dalam subjek Sejarah.

''Sudah menjadi kebiasaan kami mencabar antara satu sama lain tetapi persaingan itu berlaku secara sihat dan kami tetap bantu membantu memandangkan kecenderungan serta minat kami berbeza-beza.

''Nampaknya persaingan itu memberi kemenangan kepada kami dua beradik kerana tiada yang menang dan tiada yang tewas. Masing-masing memperoleh 9A," kata Nur Fatehah ketika ditemui bersama adiknya di sekolah itu hari ini.

KYS kekal pencapaian cemerlang 3 tahun berturut-turut


SEBAHAGIAN pelajar Kolej Yayasan Saad yang mendapat keputusan cemerlang PMR di Ayer Keroh, Melaka, semalam.


MELAKA 24 Dis. - Kolej Yayasan Saad (KYS) di Ayer Keroh di sini mengekalkan reputasi buat tiga tahun berturut-turut apabila kesemua 54 pelajarnya memperoleh A dalam semua mata pelajaran pada peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan hari ini.

Keputusan membanggakan itu sekali gus menjadikan KYS adalah antara lima sekolah di luar Kementerian Pelajaran dan sekolah swasta dari seluruh negara apabila kesemua calonnya mencapai keputusan A dalam semua mata pelajaran.

Pengetuanya, Noor Ainun Yang Rashdi berkata, beliau bersyukur dengan pencapaian itu dan mengucapkan tahniah kepada semua calon kerana berjaya mengekalkan kecemerlangan tiga tahun berturut-turut sejak 2007.

"Mulanya, saya berasa bimbang jika pencapaian tahun ini tidak seperti dua tahun lalu apabila semua calon iaitu 60 pada 2007 dan 54 calon pada tahun lalu mendapat A dalam semua mata pelajaran.

"Saya tidak mahu pencapaian dua tahun lalu dilihat sebagai nasib atau kebetulan. Alhamdulillah, keputusan hari ini membuktikan tenaga pengajar dan pelajar telah berusaha keras mengekalkan kecemerlangan itu," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di KYS di sini hari ini.

Menurutnya, mengekalkan hubungan akrab di kalangan semua pelajar dan 37 orang guru di kolej tersebut menjadi antara faktor kecemerlangan yang dikecapi sejak 2007.

Noor Ainun menambah, semua tenaga pengajar melayan para pelajar seperti keluarga dan anak sendiri supaya mereka tidak berasa janggal atau kekok ketika berada di kelas.

"Kadang-kadang bila terserempak dengan mereka, saya tidak kisah menegur mereka dahulu sebelum mereka menyambut sapaan dengan penuh mesra.

"Dengan cara ini, mereka akan berasa selesa dengan guru dan memudahkan berinteraksi sekiranya mempunyai masalah dalam pembelajaran," katanya yang mempunyai pengalaman menjadi pengetua selama 14 tahun.

Tambahnya, selain kecemerlangan akademik, para pelajar di kolej itu juga sentiasa diingatkan supaya tidak mengabaikan bidang kokurikulum sebagai strategi pembinaan sahsiah diri.

"Saya selalu pesan kepada mereka, tidak guna kalau dapat semua A tetapi tiada sahsiah diri yang baik, tidak berani bersuara untuk membawa kita lebih ke depan," katanya.

Cacat: Ahmad Fajrul buktikan dapat 5A

PASIR MAS 24 Dis. - Pencapaian 5A, 1B dan 1E dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2009 sudah cukup besar maknanya bagi Ahmad Fajrul Adha Mohamad Kamil, 15, jika melihat pada keterbatasan fizikal dan kesihatannya.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bunut Susu itu berdepan dengan kesukaran menjalani kehidupan harian termasuk bagi mengikuti pelajaran ekoran penyakit tulang rapuh sejak lahir yang tidak membolehkannya berjalan.

Bagi Ahmad Fajrul, pencapaiannya dalam peperiksaan yang diumumkan hari ini banyak terjejas kerana sukar untuk menulis ekoran tangan kanannya sudah tidak boleh berfungsi.

''Saya bersyukur memperoleh keputusan tersebut, mengatasi pencapaian sebilangan pelajar lain setelah memberi tumpuan pada pelajaran sejak dari awal.

''Saya berazam memperoleh 8A, tetapi 5A juga cukup menggembirakan dan semua itu kerana dorongan dan bantuan semua pihak," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Petua elak makanan ringan

PULAU PINANG 24 Dis. - Seorang pelajar cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (Perempuan) St. George di sini percaya amalannya yang mengelak mengambil makanan ringan seperti keropok menjadi antara 'resipi' kejayaannya memperoleh 8A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2009.

Nur Najaa Mastura Mohamad Jamil berkata, hampir setahun dia mengelak mengambil makanan ringan walaupun ia menjadi kegemarannya sebelum ini.

''Emak saya selalu mengingatkan makanan itu tidak bagus untuk otak terutama bagi mengingati pelajaran.

''Alhamdulillah pengorbanan saya ternyata berbaloi dan tidak sangka mampu memperoleh 8A dalam PMR kerana semasa peperiksaan percubaan dahulu, saya hanya memperoleh 6A," katanya ketika ditemui di sekolahnya di sini hari ini.

Menurut anak keempat pasangan Mohamad Jamil Yahaya, 50, dan Nor Anisah Mohd. Ramli, 46, itu, dia juga tidak pernah lupa untuk mengulangkaji pelajaran sekurang-kurangnya tiga jam setiap hari.

Kata Nur Najaa Mastura, harapan daripada keluarga yang mahu melihatnya berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan itu juga dijadikan pendorong untuknya berusaha lebih keras bagi mencapai kejayaan.

Kemiskinan jadi perangsang

PASIR MAS 24 Dis. - Anak penoreh getah dan pemandu lori merupakan antara calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2009 di luar bandar yang mencatat pencapaian cemerlang di negeri ini.

Nurul Shafika Ayub, 15, yang memperoleh 9A dan Muhammad Afnan Hamdan, 15, yang mendapat 8A tidak membiarkan soal kemiskinan menghalang mereka daripada berjaya dalam pelajaran yang bakal mencorak masa depan lebih baik.

Nurul Shafika, anak sulung daripada lima beradik itu melihat kepayahan hidup keluarga yang bergantung hidup pada torehan getah dengan purata pendapatan RM500 sebulan, sebagai pendorong untuk berjaya.

''Setiap kali cuti sekolah, saya pulang ke rumah dan membantu ayah memungut susu getah, walaupun penat, saya ingin merasai sendiri kepayahan ayah untuk menyara kami.

''Saya bertekad mengubah nasib keluarga melalui kejayaan dalam pelajaran dan berharap beroleh pekerjaan yang baik dan mampu membantu keluarga dan adik-adik kelak," ujar pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati itu ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gong Dayat, Tok Uban di sini hari ini.

Nurul Shafika memperoleh 9A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah, Geografi, Kemahiran Hidup Sains Rumah Tangga, Pendidikan Islam dan Bahasa Arab-Komunikasi.

Muhammad Afnan, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tiang Chandi di sini yang merupakan anak seorang pemandu lori pula, agak terkejut dengan keupayaannya memperoleh 8A dalam PMR dan muncul sebagai pelajar terbaik sekolahnya.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, dia hanya mendapat 2A dalam peperiksaan percubaan, namun peluang tinggal di asrama sejak awal tahun ini berjaya meningkatkan pencapaiannya.

Selain aktif dalam Persatuan Kadet Polis di sekolah, Afnan juga giat dalam bidang kokurikulum dengan mewakili negeri dalam sukan angkat berat.

Sementara itu, sekolahnya SMK Tiang Chandi, muncul antara sekolah yang melonjak tinggi daripada segi pencapaian dengan mencatatkan peningkatan peratus kelulusan hampir 100 peratus iaitu kepada 50.69 peratus berbanding 28.4 peratus tahun lalu.

2A masa percubaan, PMR 8A


Firdana Ahmad (kiri), Vivian Selamat (tengah) dan Bibee Marnie gembira mendapat keputusan 8A PMR di SMK Sains Kota Kinabalu, semalam.


KOTA KINABALU 24 Dis. - Pada peperiksaan percubaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) lalu, Vivian Selamat, 15, hanya memperoleh 2A.

Namun bangkit daripada kekecewaan, anak pesawah dari Kota Belud itu berjaya mencatat keputusan cemerlang apabila berjaya memperoleh 8A pada peperiksaan PMR yang diumumkan hari ini.

Anak ketiga daripada sembilan beradik itu berkata, kejayaan tersebut merupakan hadiah istimewa buat ibu bapanya yang amat berharap dia mencatat keputusan cemerlang pada peperiksaan itu.

"Bapa saya hanya seorang pesawah dan ibu pula suri rumah tangga. Merekalah yang sentiasa menjadi sumber inspirasi saya.

"Inilah hadiah yang dapat saya berikan kepada mereka yang selama ini banyak berkorban masa, tenaga dan wang ringgit," katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman keputusan PMR Sekolah Menengah Sains Kota Kinabalu di sini hari ini.

Selain Vivian, rakannya yang turut berasal dari Kota Belud, Firdana Ahmad, 15, turut mendapat 8A dalam peperiksaan PMR kali ini.

Firdana berkata, dia bersyukur kerana berjaya membuktikan bahawa kesempitan hidup bukan alasan untuk tidak meraih keputusan 8A.

"Walaupun kehidupan kami serba kekurangan, tetapi semangat kami tidak pernah berkurangan. Kami tetap mahu berjaya, sama seperti orang lain," kata anak ketiga daripada lima beradik itu.

Dia yang bercita-cita menjadi doktor gigi berkata, dengan pendapatan kira-kira RM300 sebulan keluarganya mampu membeli peralatan sekolah yang penting.

"Buku bacaan atau rujukan saya pinjam daripada kawan-kawan atau pergi ke perpustakaan sekolah sahaja," katanya.

28,188 semua A

Oleh Johari Ibrahim
joib@bharian.com.my


PELAJAR cemerlang Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu ceria bersama keputusan PMR masing-masing.

Prestasi calon luar bandar makin baik

PUTRAJAYA: Seramai 28,188 pelajar atau 6.37 peratus daripada 442,721 calon memperoleh semua A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini, berbanding 26,378 tahun lalu.

Nilai Gred Purata Nasional (GPN) peperiksaan itu juga bertambah baik tahun ini iaitu 2.78 berbanding 2.83 tahun lalu, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.


Prestasi calon luar bandar juga semakin baik apabila 4,775 berjaya memperoleh semua A berbanding 4,345 tahun lalu, manakala 87,936 melepasi tahap minimum gred A, B, C dan D.

Nilai GPN bagi calon luar bandar juga bertambah baik daripada 3.02 tahun lalu kepada 2.97 tahun ini.

Calon bandar yang mendapat semua A juga meningkat kepada 22,901, berbanding 21,576 tahun lalu, manakala GPN bertambah baik daripada 2.72 kepada 2.68 tahun ini. Alimuddin berkata jurang perbezaan antara calon bandar dan luar bandar juga semakin rapat berdasarkan penguncupan nilai beza GPN antara kedua-dua kumpulan, iaitu 0.3 pada tahun lalu kepada 0.29 tahun ini.

"Bagaimanapun, daripada segi pencapaian semua A, jurang perbezaan pencapaian calon bandar dan luar bandar meningkat daripada 5.11 peratus kepada 5.22 peratus," katanya.

Antara 10 sekolah harian terbaik termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Bangi, Selangor: SMK Mak Lagam, Kemaman, Terengganu: SMK Sultan Badlishah, Kulim dan SMK Sultanah Asma, Alor Setar, Kedah serta SMK Aminuddin Baki, Kuala Lumpur dan SMK Derma, Kangar.

Sekolah Berasrama Penuh terbaik pula ialah Sekolah Seri Puteri Cyberjaya, Sekolah Tun Fatimah Johor Baharu, Sekolah Dato Abdul Razak dan Kolej Tunku Kurshiah, Seremban dan SM Sains Tengku Abdullah, Raub.

Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Besut dan SM Imtiaz, Kuala Berang; Sekolah Agama Menengah Bestari Subang Jaya dan Sekolah Agama Persekutuan Kajang serta SM Agama Persekutuan Labu, muncul sekolah menengah agama terbaik.

PMR tahun ini juga menyaksikan kumpulan pertama 156 calon mengambil subjek Pendidikan Kesenian di dua sekolah iaitu Sekolah Seni Johor Baharu (SSeJB) dan SSe Kuching. Subjek kesenian yang diambil ialah Tari, Muzik, Teater dan Seni Visual.

Bidang teater menunjukkan pencapaian tertinggi apabila 35 calon atau 22.4 peratus mendapat peringkat tertinggi Band 4.

"Seramai 12 calon SSe pencapaian cemerlang dalam akademik dengan memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran teras," katanya.

Selain itu, tujuh pelajar istimewa disenaraikan calon terbaik iaitu empat mendapat 7A, dua 8A dan seorang 9A.

Alimuddin juga berkata, ada peningkatan daripada 25.6 peratus kepada 26.7 peratus dalam jumlah pelajar yang memperoleh A dalam mata pelajaran Matematik, manakala bagi mata pelajaran Sains daripada 17.2 peratus kepada 18.5 peratus.

Bagaimanapun, katanya, berlaku penurunan tidak ketara kepada prestasi mata pelajaran Bahasa Malaysia (BM) dan Bahasa Inggeris (BI).

"Peratus berbanding tahun lalu untuk yang memperoleh semua A dalam BM menurun daripada 26.3 kepada 25.6 tahun ini dan BI daripada 16.4 peratus kepada 16.1," katanya.

Syabas dan tahniah atas kejayaan cemerlang calon-calon PMR 2009 Maktab Sabah, Kota Kinabalu.Usaha gigih anda akhirnya membuahkan hasil yang baik. Antara pelajar-pelajar terbaik PMR 2009.
A. Tingkatan 3 Aman (Sembilan Mata Pelajaran)

- Mohd. Hadziq Mohd Zafari (9A)
- Nabihah Nisanto (9A)
- Norain Jaine (9A)
- Wan Nur Izzie Wan Ruslim (9A)
- Munira Rainul (8A1B)
- Datu Mohd. Azrie Datu Yusof (8A1D)

B. Tingkatan 3 Makmur (Lapan Mata Pelajaran / 7 Mata Pelajaran)

- Shazleen Ahmad (8A)
- Merlela Madsah (8A)
- Siti Hajar Kamariah Suhaimi (7A1B)
- Mohd. Sophian Kasihmudin (7A1B)
- Jefferson Jerry (7A)

Warga Maktab Sabah berbangga dengan kejayaan yang diperolehi oleh calon PMR 2009.
Teruskan kecemerlangan anda pada masa-masa akan datang. TAHNIAH...
Thursday, December 17, 2009

PERUTUSAN AWAL TAHUN SESI PERSEKOLAHAN TAHUN 2010 oleh KPPM


Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, salam sejahtera dan selamat menyambut tahun baru 2010 kepada semua warga pendidik serta murid-murid sekolah.

Guru-guru serta Murid-murid yang dikasihi sekalian,

Izinkan saya mengucapkan selamat kembali ke sekolah dan memulakan lembaran baru pada sesi persekolahan 2010. Kepada guru-guru, sambutlah anak-anak didik kita ini ke alam sesi persekolahan yang baru dengan minda yang terbuka dan dengan penuh iltizam untuk membentuk mereka menjadi insan yang cemerlang seperti yang diharapkan oleh ibu bapa mereka dan negara.

Kepada murid-murid sekalian, ingatlah, sebagai generasi pewaris negara usaha murni menuntut ilmu dan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti baik di dalam bilik darjah mahupun gerak kerja di luar bilik darjah adalah satu usaha membentuk personaliti, ketrampilan diri dan jati diri sebagai anak Malaysia. Ibu bapa, guru, masyarakat bahkan negara akan sama-sama berasa bangga apabila murid-murid berjaya dalam pelbagai bidang yang dipelajari di sekolah.
Saya menyeru kepada semua murid rebutlah peluang dan segala kemudahan yang disediakan di sekolah untuk menyiapkan diri sebagai orang yang berilmu, beramal dan menyumbang kepada kemajuan diri, masyarakat dan negara. Modal insan yang cemerlang tidak dapat dilahirkan dalam sekelip mata, bahkan ianya adalah usaha yang berterusan yang perlu dipupuk, dibimbing dan diasah bakat seperti kata pepatah, melentur buluh hendaklah dari rebungnya. Pepatah juga mengatakan, “Akar ilmu itu memangnya pahit tetapi buahnya adalah lazat”. Maka sebagai murid, anda semua yang seharusnya berusaha untuk menjadi orang yang berpelajaran kerana pencapaian dalam masa persekolahan merupakan kenangan yang paling manis untuk diimbau kelak.

Para guru dan murid-murid sekalian,

Yang muda dikasihi, yang tua dihormati adalah satu perpatah yang perlu dipegang oleh semua guru dan murid-murid. Guru selaku suri teladan perlulah menunjukkan kasih kepada anak-anak murid mereka. Guru sabagai satu personalia seharusnya dapat menggunakan kebijaksanaan untuk menyentuh jiwa dan perasaan semua murid semasa berkomunikasi dua hala supaya ianya ibarat kata-kata yang terpahat di batu, kekal dalam ingatan, dan tidak hanya menjadi tulisan di atas pasir, yang hilang apabila di tiup angin.

Dalam alaf nano teknologi ini, semua pendidik perlu menyiapkan diri untuk mengemaskinikan semua fakta dan ilmu yang hendak disampaikan dalam mata pelajaran masing-masing. Gunakanlah kemudahan teknologi komunikasi maklumat untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran yang di sampaikan satu peristiwa yang sangat menyeronokkan kepada semua murid, bahkan para guru juga turut memperoleh pengalaman dan pengetahuan semasa berinteraksi dengan murid-murid.

Sebagai pendidik, semua guru harus menjiwai profesion ini kerana ianya merupakan satu profesion amat mencabar. Kalau seorang tukang jahit salah menjahit baju, hanya sehelai baju yang rosak tetapi jika seorang pendidik salah memberi didikan, kesannya adalah kepada satu generasi pewaris negara. seperti yang diungkapkan oleh Allahyarham Dato' Usman bin Awang (1979), "Berburu ke padang datar, Dapat rusa belang kaki, Berguru kepalang ajar Ibarat bunga kembang tak jadi”

Saya ingin menyeru kepada guru untuk memberi dedikasi, komitmen, dan keprihatinan yang tinggi kepada semua anak-anak didik. Guru selaku orang yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman dapat mengenal pasti potensi dan bakat yang ada dalam setiap anak murid. Maka guru perlu menggembleng tenaga dan kepakaran untuk menggunakan maklumat ini bagi menggilap bakat dan memperkukuhkan potensi diri murid-murid untuk berjaya dalam semua bidang yang diceburi serta mengimbangi perkembangan intelek, rohani, jasmani dan emosi.
Para guru dan murid sekalian,

Dalam memastikan kualiti pendidikan dan perkhidmatan yang disampaikan kepada murid-murid, Kementerian Pelajaran Malaysia telah menjadikan empat perkara sebagai fokus utama dalam bidang keberhasilan utama; iaitu Perluasan Prasekolah, Literasi dan Numerasi (Linus), Sekolah Berprestasi Tinggi, dan New deals for principals. Maka semua warga pendidik perlu menyambut perubahan yang sedang berlaku ini dengan tangan terbuka dan minda yang positif (positive mind-set) bagi memastikan semua yang di rencana dapat dilaksanakan mengikut perancangan dan membuahkan hasil yang menunjukkan peningkatan dalam kualiti pendidikan di negara ini. Guru sebagai sumber ilmu perlu memantapkan diri melalui pendidikan berterusan. Penyertaan guru dalam pelbagai wacana dan forum serta kegiatan di pusat-pusat kegiatan guru adalah satu usaha yang berterusan dan perlu difokuskan untuk menambah ilmu serta pengetahuan kerana guru bukan saja sebagai penyampai ilmu bahkan orang yang bertanggungjawab untuk membentuk kaedah pemikiran positif dalam kalangan anak-anak murid. Pepatah ”jangan diberi ikan, tetapi ajarlah memancing ikan” adalah satu pepatah yang sangat hampir dengan profesion perguruan.

Para guru dan murid-murid yang saya kasihi,

YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran menyarankan sukan perlu diperkasakan. Maka bagi mencapai hasrat tersebut para guru dan murid-murid seharusnya bergiat aktif dalam pelbagai bidang sukan mahupun aktiviti kokurikulum sebagai usaha membudayakan gaya hidup sihat dan juga kecemerlangan sukan untuk negara.

Kepada murid-murid yang baru sahaja berjaya dalam peperiksaan UPSR dan PMR, saya mengucapkan tahniah dan teruskan perjuangan anda dalam usaha mencari ilmu dan pengalaman. Bagi murid-murid yang baru memasuki Tahun 1, jangan risau dan bimbang kerana seperti kakak dan abang-abang anda, sudah pasti pengalaman persekolahan akan menjadi satu yang menyeronokkan kerana anda akan memperoleh ramai kawan-kawan baru serta mendapat ilmu pengetahuan yang amat berguna sebagai persiapan menghadapi hari muka.

Harapan saya, kepada semua guru dan murid, marilah kita bersama-sama berusaha untuk memajukan diri, masyarakat dan negara dalam semangat gagasan “1Malaysia, Rakyat Didahulukan Dan Pencapaian Diutamakan”.

Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin Bin Haji Mohd Dom
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
4 Januari 2010, bersamaan 18 Muharam 1431

Renungan KITA SEMUA

Wahai Anakku! Carilah ilmu kerana apabila kamu menjadi fakir maka itulah hartamu dan bila kamu kaya, ilmu itu menjadi perhiasan dirimu. Lukmanul Hakim

Keluarga Ku.

Keluarga Ku.
MUSLIAH H.M.A

Renungan

Tidak ada yang lebih buruk dan lebih merbahaya dalam hidup ini selain daripada rasa takut untuk melakukan sesuatu yang positif.

Wahai Diri

A good leader is not that person who does things right, but the person who finds the right things to do.

Seorang pemimpin yang baik bukannya seseorang yang melakukan sesuatu kerja dengan betul, tetapi seseorang yang mencari kerja yang betul untuk dilakukan.

Selamat Datang

Blog Unit Bimbingan & Kaunseling
Maktab Sabah, Kota Kinabalu.
Tel:088-225201 Fax:088-216414