Wednesday, April 20, 2022

KONSEP KEKELUARGAAN.

 


Apa itu keluarga?

Keluarga ialah unit asas masyarakat. Dari unit asas masyarakat di Malaysia adalah keluarga. Kekuatan atau kelemahan satu-satu masyarakat itu berhubung rapat dengan keteguhan keluarga.

Takrif.

'Keluarga' ialah sekumpulan individu yang mempunyai hubungan darah, perkahwinan atau keluarga angkat. Keluarga juga adalah satu unit perkongsian diantara individu-individu yang bertindak balas bergantung diantara satu sama lain dan juga mempunyai tema tujuan yang sama, berjanji berkongsi sumber dan tempat tinggal untuk jangka masa panjang. Selain itu keluarga boleh juga dijelaskan sebagai 'satu persatuan individu yang agak kecil, berbeza dari segi umur dan jantina dan oleh kerana hubungan fizikal mereka dalam satu tempat tinggal yang sama dan kegiatan-kegiatan yang menampung antara satu sama lain, membentuk satu unit didalam unit yang lebih besar.

Keluarga ialah hubungan antara masa lampau dengan masa depan. Oleh itu mendapatkan anak merupakan perkara yang sangat penting kepada pasangan yang mendirikan rumah tangga.

Jenis keluarga dan ciri-cirinya.

a. Berpusat.

- Palimng kecil dan keluarga yang paling asas.

- Terdiri dari suami, isteri dan anak-anak.

- Unit asas masyarakat

- Keluarga jenis ini menampung diri sendiri.

- Bebas

- Sangat berperasaan terhadap satu sama lain.

- Mempunyai 'privscy' yang lebih.

b. Keluarga gabungan (extended)

- Terdiri dari bukan hanya ahli keluarga

- Memberi sokongan

- Kurang privacy

- Perasaan terhadap satu sama lain agak kurang mendalam.

c. Keluarga 'Conjugal'

- Kebanyakan keluarga di Malaysia dari jenis ini.

- Berbentuk berpusat tetapi mempunyai hubungan rapat dengan saudara mara yang lain.

- Boleh mendapat pertolongan dari saudara mara bila diperlukan.




Thursday, April 14, 2022

Apakah Itu CINTA?

Cinta ialah perkongsian. Cinta ialah tindakan. Cinta ialah mengambil tahu. Cinta mestilah ditunjukkan dengan perbuatan. Cinta memerlukan masa dan pengorbanan. Jika kita tidak boleh mencintai kita tidak harus meminta dicintai. Cinta tidak bermakna bersetuju dengan seseorang dalam semua isu.

Cinta - definisi:

Klemer berkata 'cinta adalah faktor ulung yang membina keluarga dan mengeratkan tali hubungannya. Cinta seperti kuasa elektrik, susah hendak ditentukan apa sebenarnya tetapi hanya dapat dilihat hasilnya sahaja. Kita juga boleh mencintai ramai orang dengan cara yang berbeza dan menunjukkan cinta kita dengan tahap yang berbeza kepada berlainan orang.

Cinta bukan hanya perasaan tetapi perhubungan. Cinta hanya bermakna bila ditunjukkan melalui kelakuan. Ianya boleh ditunjukkan dengan berbagai cara bergantung kepada orang yang kita cintai. Cinta ialah memgamanatkan. Cinta sepatutnya memberi semangat dan tidak seharusnya melemahkan.

Sol gordon mempunyai pendapat berikut tentang cinta. Bercinta bermakna keinginan untuk bersama dengan seseorang dan menyedapkan hati seseorang. Bila seseorang itu bercinta, ia ingin mendapatkan bukan sahaja kasih sayang tetapi juga penghormatan. Anda akan mahukan ianya berbangga dengan anda dalam berbagai aspek. Anak-anak muda selalu merasakan mereka telah jatuh cinta, tetapi bertindak dengan cara merosakkan perhubungan cinta itu. Mereka mungkin mengabaikan pelajaran atau kerja mereka, mereka mungkin cuai tentang rupa; mereka mungkin cemburu atau menyakitkan hati atau marah tentang perkara kecil bila berada disamping yang dicintai; mereka memungkiri janji atau menganggap ringan dengan orang yang dicintai. Kelakuan yang sedemikian menunjukkan yang walaupun kkedua-duanya memang sukakan satu sama lain, perhubungannya belum lagi begitu matang untuk dipanggil cinta. Orang yang bercinta akan mencuba sedaya upaya memperbaiki dirinya agar menjadi pasangan hidup yang baik sehingga mereka akan didorong untuk membaiki kerjanya, rupanya dan menunjukkan perwatakan yang paling menarik. Pendek kata, mereka cuba sedaya upaya menjadi orang yang lebih baik supaya sesuai dengan cinta yang mereka harapkan.

Cinta yang berlainan.

- Cinta untuk ibu bapa

- Cinta untuk anak

- Cinta kepada sahabat

- Cinta kepada kekasih.




Cinta Yang Matang dan Tidak Matang.

Bagaimana anda boleh tahu yang anda benar-benar jatuh cinta? Banyak cara untuk mengkaji hubungan emosi ini dan menilainya dalam keadaan tertentu. Ada baiknya bermula dengan membanding dua hubungan yang dianggap sebagai cinta walaupun berbeza di antara satu sama lain.

Cinta Yang Matang.

Cinta yang matang ialah apabila kasih kita kepada orang yang kita cintai lebih penting dari membuatnya  mengasihi diri kita. Kasih yang begini akan memberi semangat. Dalam erti kata lain ia membuatkan kedua-dua yang bercinta merasa lebih baik, tidak hanya untuk beberapa saat tetapi tiap masa dalam kehdiupan harian.

Cinta Yang Tidak Matang.

Cinta yang tidak matang ialah apabila kita lebih mementingkan kasih sayang seseorang itu, dari kasih kita kepadanya. Kasih yang seperti ini adalah lebih merupakan bebanan bukan keistemewaan. Oleh kerana ianya lebih meminta dari memberi, ianya melemahkan.

Dalam rumahtangga, seperti mana-mana perhubungan lain, komunikasi selalunya terhalang. Banyak cara yang menyebabkan ini berlaku dan ianya berbeza dari individu dengan individu yang lain dan dari satu pasangan ke satu pasangan. berikut adalah contoh-contoh tertentu.

'Anda hendak mengatakan sesuatu kepada pasangan anda tetapi anda tidak katakan kerana takut menyentuh perasaannya. Anda menganggap ia tidak dapat menerima apa yang hendak dikatakan itu. Tetapi anggapan anda itu mungkin salah dan anda terlepas peluang mengatakan sesuatu yang tidak penting kepada anda berdua.

Anda tidak mengatakan terus kepada pasangan anda tetapi memberitahu kawan, ibu atau bapa anda atau mertua anda. Apabila anda telah mengatakan semuanya pada mereka, anda tidak lagi mahu menyatakannya pada pasangan anda. Jika berita itu akhirnya sampai ke telinga kawan anda, ia sudah jauh berubah dan pasangan anda akan merasa kesal kerana ia tidak mendengarnya terus dari mulut anda malahan dialah orang yang paling akhir tahu.

Anda mungkin membantah tentang sesuatu perkara kecil sedangkan ada perkara yang lebih besar dalam hati kecil anda. Contohnya, isteri memarahkan suami kerana melupakan harijadinya sedangkan sebenarnya ia merasa suaminya telah mengabaikannya. Kejadian dimana sepasangan suami isteri gagal untuk menghubungkan perasaan masing-masing tidak akan menjadi serius, tetapi jika berpanjangan boleh menghancurkan perhubungan. kedua-duanya mestilah berusaha mengatasi halangan-halangan itu dan berhubung kembali. Ini bukanlah mudah dan kedua pihak mungkin perlu diingatkan selalu. Kadangkala sikap yang lebih terbuka bertentangan dengan sifat semula jadi seseorang itu. 'Spontaniety' dan kepercayaan terhadap satu sama lain akan timbul apabila kedua-dua telah menyesuaikan diri di antara satu sama lain.



Wednesday, January 12, 2022

MENGUKUHKAN BENTENG ROHANI.

 


Untuk menjadi pelajar cemerlang, persediaan diri dalam aspek fizikal, mental dan emosi belum lagi mencukupi. Pelajar perlu memperkuatkan benteng pertahanan dalamannya iaitu meningkatkan ilmu pengetahuan dan amalan yang berteraskan agama. Tanpa pegangan agama, hidup pelajar ibarat kapal yang tidak berkemudi. Pelajar kini banyak terdedah kepada berbagai godaan dan dugaan. Hanya dengan kekuatan agamalah setiap pelajar dapat mengawal hidup mereka dengan sempurna.

Firman Allah SWT yang bermaksud;

'Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang membersihkan diri dengan beriman dan ingat nama Tuhan lalu dia sembahyang, tetapi orang-orang kafir memilih kehidupan duniawi, sedangkan di akhirat adalah lebih baik dan kekal'. (Al-Alaa:14)

Kemajuan dan perkembangan negara kita yang pesat telah menyebabkan para pelajar terdedah dengan berbagai kemudahan yang canggih dan moden. Internet sebagai contohnya jika disalahgunakan akan mengancam kestabilan rohani para pelajar.

Di dalam zaman globalisasi atau dunia tanpa sempadan ini kemajuan yang dicapai perlu seimbang dengan kekuatan rohaniah yang stabil. Kemajuan dan perkembangan sosial yang semakin mencabar jika tidak ditangani dengan baik akan menyebabkan para pelajar terjerumus ke lembah yang kurang sihat. Pelajar yang inginkan kecemerlangan perlu mengelakkan amalan-amalan negatif berikut:

  1. Mengamalkan hidup glamour yang lebih menekankan aspek kehidupan duniawi daripada kehidupan ukhrawi seperti mengamalkan budaya rock dan mengunjungi pusat-pusat karaoke.
  2. Mengamalkan hidup yang tidak mementingkan masa seperti budaya lepak.
  3. Mengamalkan budaya berpeleseran yang membawa hubungan seks bebas seperti bohsia, bohjan dan lain-lain lagi.
  4. Mendedahkan diri kepada bahan bacaan seperti tontonan yang bercorak lucah.
  5. Menghisap rokok, vape, menagih dadah dan minum minuman keras.
  6. Menelan pil-pil khayal seperti ectacy.


Justeru kerana itu pelajar perlu mengelakkan diri daripada terperangkap dengan amalan-amalan yang tidak bermoral ini dengan menyiapkan diri dengan keimanan dan jiwa yang teguh. Tidak ada gunanya  pelajar hanya cemerlang dari segi akademik tetapi jiwa pelajar kosong tanpa nilai-nilai agama dan pengisian rohani yang bersih dan sihat. Pelajar wajib menunaikan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan agama. Tidak ada gunanya pelajar mendabik dada mengatakan pelajar telah berjaya dalam hidup tetapi rohani pelajar kering kontang dan lemah.

'Pada suatu hari Luqmanul Hakim telah ditanya oleh anaknya; 'Wahai bapaku, apakah sebaik-baik perangai manusia?.'Jawab Luqman 'Agama' Anaknya bertanya lagi,'Kalau perangai itu ada dua?'Jawab Luqman ;'Agama dan harta'. Lalu ditanya lagi, kalau tiga? Jawab Luqman; 'Agama, harta dan malu'. Si anak bertanya lagi: Kalau empat? Jawab Luqman;'Agama, harta, malu dan budi pekerti yang baik.' Tanya anaknya lagi, Kalau Lima? ' Jawab Luqman: Agama, harta, malu, budi pekerti yang baik dan pemurah'. Anaknya bertanya lagi; Bagaimana jika perangai itu enam? Maka jawab Luqman: Wahai anak kesayanganku, kalau lima perangai itu terkumpul pada seseorang, maka dia adalah orang yang suci, terpelihara (takwa), dilindungi Allah dan bebas dari syaitan. (Nasihat Luqman Hakim).

Sebagai manusia yang dijadikan Allah SWT, pelajar telah dibekalkan dengan kekuatan akal dan fitrah. Dengan akal dan fitrah yang dianugerahkan oleh Allah, pelajar sepatutnya mampu membezakan antara perkara yang baik dan yang buruk dan perkara yang benar dan yang batil. Sebagai manusia biasa, pelajar tidak dapat lari daripada menunaikan segala kemahuan jasmani tetapi ia perlulah berdasarkan ketetapan yang telah digariskan oleh Allah di dalam Al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW, berakhlak, beriman dan bertakwa.

Di dalam agama kita, setiap larangan adalah merupakan peraturan Allah SWT yang bertujuan untuk memelihara akhlak dan keimanan pelajar secara sempurna. Larangan ini bukan bertujuan untuk menyekat kebebasan pelajar sebaliknya untuk melahirkan pelajar yang berperibadi mulia. Agama kita melarang pelajar meminum arak dan menagih dadah kerana akan mengganggu keseimbangan akal. Emosi atau perasaan pelajar menjadi tidak terkawal dan sudah tentu penumpuan kepada bidang pembelajaran dan kehidupan seharian menjadi tidak menentu.

Allah SWT melaknat pelajar-pelajar yang melakukan seks bebas dan bersekedudukan tanpa nikah apalagi menjadi bohsia dan bohjan. Perbuatan ini bukan sahaja terkutuk malah akan meruntuhkan maruah generasi manusia itu sendiri. Sebagai pelajar yang inginkan kecemerlangan dari segi akademik dan kehidupan seharian, pelajar perlu memiliki sifat-sifat takwa sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh  at-Tarani dari Abi Zar.

'Bertakwalah kepada Allah di mana saja kamu berada, iringilah perbuatan yang buruk dengan perbuatan yang baik nescaya terhapus dosanya dan gaulilah orang ramai dengan perangai-perangai yang baik'.

Dengan mempunyai sifat-sifat takwa akan mendorong pelajar agar sentiasa patuh menjunjung perintah Allah dan menjauhi segala larangan, mendorong pelajar cintakan Allah serta sentiasa menjaga diri dari terlibat di dalam aktiviti maksiat dan perkara-perkara yang dimurkai Allah Taala. Kerana itu takwa harus menjadi pakaian setiap pelajar di mana saja mereka berada.

Sejak akhir-akhir ini gejala sosial begitu hebat diperkatakan di kalangan para pelajar dan juga remaja kita. Sesungguhnya masalah ini boleh diubati  dengan pelajar kembali kepada ajaran Islam sebenarnya. Ajaran Islam yang syumul lagi kamil bukan semata-mata mencakupi aspek ibadah tetapi juga segala  urusan penghidupan seharian.

Seandainya terjadi penyelewengan atau pelajar terjerumus ke dalam aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral maka hendaklah kembali ke pangkal jalan. Segeralah diganti aktiviti-aktiviti yang meruntuhkan moral itu dengan amalan kebajikan agar terhapus dosanya. Sebagai pelajar Islam kita tidak seharusnya terus membiasakan diri melakukan aktiviti maksiat yang dilarang Allah SWT. Setiap maksiat itu mesti ditebus segera dengan hasanah agar kita benar-benar memperlihatkan penyesalan. Pelajar perlu melengkapkan diri dengan ajaran Islam dan mempraktikkan keindahan Islam dalam kegiatan sosial, berpersatuan, kegiatan sukan, pembelajaran, pergaulan dan pelbagai aktiviti seharian.

Agama Islam sangat menekankan agar pelajar mempunyai akhlak yang baik dan terpuji. Pelajar perlu selalu berakhlak dengan Allah SWT. Antara tanda-tanda yang pelajar berakhlak baik dengan Allah SWT ialah;
  1. Pelajar merasai sentiasa diawasi oleh Allah SWT.
  2. Pelajar mengenal Allah SWT dengan yakin.
  3. Pelajar merasa malu dengan Allah SWT.
  4. Pelajar merasa rendah diri dengan Allah SWT.
  5. Pelajar meredhai di atas setiap takdir dan ketentuan Allah SWT..
  6. Pelajar mensyukuri nikmat-nikmat pemberian Allah SWT.
  7. Pelajar menyintai Allah SWT.
  8. Pelajar berasa takut apabila ingin melakukan dosa atau larangan Allah.
  9. Pelajar sentiasa mengingati Allah SWT.
  10. Pelajar merasa gerun dengan neraka Allah SWT.
  11. Pelajar rindu pada syurga Allah SWT.



Pelajar yang beriman dan berakhlak akan merasai dirinya  selalu dekat dengan Allah SWT. Walaupun terpencil dan tidak ada mata yang memandang, tidak ada telinga yang mendengar dan tidak ada sesiapa yang tahu tetapi pelajar yakin Allah selalu mengawasi dan mengetahui apa yang dialkukan. Sebagaimana Firman Allah SWT yang bermaksud ;' Dan kepunyaan Allah Timur dan Barat, maka  kemana saja kamu mengadap, disitulah wajah Allah. Sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmatnya) lagi Maha Mengetahui'. (Al-Baqarah:115)

'Dan sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya, iaitu ketika dua orang malaikat (mencatat amal perbuatannya), seorang duduk di sebelah kanan dan seorang lagi di sebelah kiri. Tiada suatu ucapanpun yang diucapkannya, kecuali ada berdekatnnya malakait raqib (pengawas) dan 'attid'(yang selalu hadir) (Qaaf:16-18).

Sebenarnya iman pelajar akan semakin luntur jika pelajar tidak mendampingkan diri dengan berbagai aktiviti keagamaan. Keteguhan dan kekuatan iman akan meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dan seterusnya mencegah pelajar agar tidak terpesong dari ajaran agama Islam.Keimanan dan ketakwaan beserta dengan petunjuk serta hidayah dari Allah SWT akan melahirkan jiwa yang kuat dan utuh di dalam menempuh segala ujian, godaan dan dugaan berbagai-bagai gejala sosial yang merosakkan.

Mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya adalah kaedah yang paling berkesan di dalam membentuk perwatakan pelajar untuk membina benteng  rohaniah yang kukuh dalam menangani keruntuhan moral dan penyakit sosial  yang melanda para pelajar atau belia Islam kita. Pelajar perlu sedar bahawa mereka diamanahkan oleh Allah SWT untuk melengkapkan diri dengan akidah tauhid, akhlak, iman dan takwa serta ilmu dan kemahiran ukhrawi dan duniawi agar tidak mudah terjebak ke dalam pelbagai aktiviti sosial yang merosakkan dan melalaikan.

Segala perbuatan yang ditegah oleh agama dan menyalahi undang-undang negara akan mengeruhkan kejernihan dan ketenteraman jiwa seseorang pelajar. Pelajar akan dikutuk dan dilaknati oleh hati kecilnya dan sentiasa membawa penyesalan-penyesalan yang pedih. Pelajar tidak mungkin menyembunyikan kejahatan dan dosa yang dilakukan dari hati kecilnya yang tidak pernah lalai dan tidur. Hati kecil inilah yang akan membuat dirinya gelisah dan resah di mana saja pelajar berada.

Hukuman hati kecil adalah lebih azab dan sengsara dari hukuman undang-undang. hati kecil akan membuatkan pelajar tersiksa hingga akhir hayatnya, bahkan hukuman hati kecil inilah yang telah menyebabkan orang sanggup membunuh diri mereka sendiri. Mahkamah hati kecil pelajar akan menurut jejaknya ke mana saja dia pergi dan akan menjatuhkan kutukan-kutukan pedih dan menyiksa jiwanya. Jadi untuk mencapai kejayaan hidup di dunia dan di akhirat pelajar perlulah menjauhkan diri dari segala perbuatan yang menyalahi agama dan undang-undang negara.




Pelajar yang cemerlang akan mempunyai jiwa yang tenteram. Perbuatan yang baik adalah lahir daripada jiwa yang baik. Jiwa yang tenteram akan mendorong pelajar untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam meningkatkan aktiviti pembelajaran. Pelajar yang cemerlang akan sentiasa memohon kepada Allah agar ditenangkan jiwanya. Dengan mempunyai jiwa yang tenang pelajar akan lebih terdorong untuk melakukan amalan yang bermanfaat kepada pelajaran. Untuk memperolehi jiwa yang tenang pelajar perlu bertakwa kepada Allah SWT sebagaimana Firman-Nya yang bermaksud;
'Dan barangsiapa yang bertakwa kepada Allah akan diberikan jalan keluar (kelapangan daripada permasalahan) dan dikurniakan rezeki yang tidak diketahui mana datangnya. Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan melaksanakan urusan (yang dikehendakiNya). Sesungguhnya Dia telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu. (At-Thalaq:2-3)


Monday, November 15, 2021

KENAPA MESTI CEMERLANG?

Ingin membela Maruah Diri dan Menjamin Masa Hadapan.

Harga diri bergantung kepada sejauh mana kemampuan dan pencapaian seseorang dalam apa jua bidang yang mereka ceburi. Perkara ini sama halnya dengan kejayaan masa depan mereka bergantung kepada sejauh mana kecemerlangan mereka pada masa sekarang. Pelajar perlu cemerlang dalam bidang akademik  untuk mendapat tiket ke universiti dan seterusnya menjamin kerjaya yang memberikan pendapatan yang lumayan. Sebagai seorang remaja, ia perlu cemerlang untuk menjadi seorang dewasa yang berjaya dan dapat memberikan sumbangan kepada masyarakat.

Orang lain tidak dapat menentukan masa depan seseorang. Bila-bila masa saja ibu bapa akan pergi meninggalkan dunia ini, guru-guru cuma membantu anda memperoleh ilmu dan erti kehidupan manakala teman-teman hanya menemani seseorang itu buat seketika sahaja. Kitalah yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap diri kita sendiri.

Berjaya atau gagalnya seseorang itu dalam hidup ini tertakluk kepada kemampuan dan kesanggupannya mengatur dan mengambil berat tentang urusan pembelajarannya masa kini. Setiap orang perlu membangunkan diri sendiri ke arah mencapai kecemerlangan.



Demi Kegemilangan Bangsa dan Ummah.

Umat Islam adalah umat yang unggul, anggun dan berkualiti yang terbaik. Justeru itu kecemerlangan  harus sentiasa di pupuk dan dibina agar status 'umat yang berkualiti dan yang terbaik' ini menjadi realiti dalam kehidupan. Kitalah yang bertanggungjawab mengembali dan mengekalkan status kecemerlangan kepada umat. Kecemerlangan ini akan menjadikan kita umat yang disegani, dihormati dan disanjung oleh umat dan bangsa yang lain.





Friday, November 12, 2021

KECEMERLANGAN: KONSEP DAN AMALAN.



Allah SWT menciptakan manusia dengan amat sempurna dan dibekalkan dengan pelbagai kelebihan dan keistemewaan. Setiap insan mempunyai kelebihan dan keunikan yang tersendiri. Keunikan ciptaan Tuhan ini merupakan sumber dan asas yang boleh digunakan untuk membentuk kecemerlangan. 

Setiap manusia memerlukan usaha yang hampir sama untuk melakukan sesuatu yang kecil atau yang besar dalam rangka meraih kejayaan. Keyakinan diri dan kesediaan menanggung risiko adalah di antara ciri terpenting untuk berjaya. Setiap individu perlu bertanya kepada diri sendiri, misalnya:

a. Ke mana aku hendak pergi?

b. Bagaimana aku hendak sampai ke sana?

Pada hakikatnya tidak ada perbezaan di antara orang yang berjaya dengan orang yang gagal. Yang membezakan di antara kedua-dua golongan ini ialah tahap kekenalan diri. Orang yang berjaya lebih  mengenali deirinya berbanding dengan orang yang gagal.


KENAPA MESTI CEMERLANG?

Kecemerlangan amat penting dan sangat diidam-idamkan oleh setiap manusia. Pada asasnya terdapat beberapa faktor yang mendong  seseorang mencapai kecemerlangan.

Manusia dilahirkan Cemerlang dan Layak Mencapai Kecemerlangan.

Sesungguhnya semua manusia dilahirkan  dalam keadaan cemerlang. Hakikat ini ditegaskan  oleh Allah SWT dalam Firman-Nya yang bermaksud: 'Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.'

Di dalam ayat ini Allah SWT menyatakan bahawa umat manusia  diberikan status yang tertinggi di antara makhluk-makhluknya yang lain. Justeru itu, manusia diberi amanah untuk mengendalikan  diri, keluarga dan ummah secara cemerlang.

Malang sekali kebanyakan manusia lupa akan hakikat ini dan menjadikan diri mereka tidak layak untuk mencapai kecemerlangan. Ini disebabkan kejahilan yang telah mengikis ciri-ciri kecemerlangan yang dibekalkan oleh Allah SWT kepada mereka. Sebagaimana yang termaktub dalam sambungan ayat tadi bahawa manusia itu sendiri yang menurunkan darjat mereka dari sebaik-baik kejadian  dari puncak kecemerlangan yang dianugerahkan kepada mereka oleh Allah SWT kepada serendah-rendah darjat dan martabat.





Friday, November 5, 2021

Rancangan Masa Hadapan.



'Kita memiliki faktor semula jadi yang personaliti boleh dicipta dan adalah menjadi tanggungjawab utama bagi setiap individu untuk merancangnya dengan berkesan'. Ia adalah cabaran tersedia untuk kehidupan dan profesion diri sendiri. Ia membentuk kepercayaan tertentu yang dipegagng oleh orang yang berjaya yang melihat dunia ini dengan cara tertentu dan membolehkan mereka mengambil tindakan yang berkesan.

Sikap Mental Positif.

Kunci utama kejayaan ialah sikap mental positif. Anda mesti fikirkan tentang sikap jika mahu berfikir sebagai juara. Sikap ialah di mana segala perubahan dan kejayaan bermula. Sikap menentukan siapa dan apa diri anda, dan sama ada anda bertindak balas pada keadaan yang mengawal diri. Anda boleh ubah dan meningkatkan sikap anda dengan menganalisis dan mengubah sistem kepercayaan diri.

Ahli falsafah Sepanyol George Santayana (1863-1952) berkata 'orang lebih yakin dengan pendapat mereka yang dikatakan bernilai berbanding dengan sama ada pendapat itu benar atau tidak.

Sistem kepercayaan yang ada pada anda tidak membenarkan anda berusaha secara optimum. Dalam banyak perkara ia berdasarkan maklumat yang tidak berasas, tidak wajar, tidak memadai dan tidak rasional. Semasa kecil tentu sikap perkataan yang keluar dari mulut anda disokong dan digalakkan oleh ibu bapa dan orang terdekat. Anda mungkin menerima dorongan positif yang membangkitkan perasaan positif kepada kejayaan anda. Antara ungkapan itu ialah 'pandai anak mama melakukannya'.





Cara seseorang anak menerima maklum balas positif dan serta merta membolehkan anda mencapai kejayaan. Bukan setakat perkataan dorongan dan pujian sahaja yang anda terima malahan senyuman, sentuhan, dakapan dan ciuman.

Semakin anda meningkat dewasa anda tidak lagi menerima kata-kata positif dan dorongan. Unsur-unsur negatif mula meresap ke dalam minda nada sama ada datang dari rakan sebaya, ibu bapa dan masyarakat. Jika tiada perseimbangan antara tindak balas positif dan negatif yang diterima adalah munasabah anda menjadi kurang bersemangat menzahirkan sesuatu.

Apa-apa kepercayaan yang anda ingin ubah perlualh diuji secara logikal dan rasional. Penilaian semula kepercayaan semasa sebagai latihan berfikir membolehkan anda mengesahkan ketepatan apa yang ada dalam minda anda.

Aur Ditanam, Betung Tumbuh.

     Apabila kita pergi ke sungai-sungai, kita akan melihat rimbunan pokok-pokok buluh. Kita juga pernah mendengar peribahasa seperti aur dengan tebing, yang bermaksud suka bertolong-tolongan. Aur ialah buluh. Terdapat pelbagai jenis buluh seperti buluh cina, buluh kuning, buluh hitam dan sebagainya. Aur ini adalah daripada jenis buluh yang kecil-kecil. Manakala betung pula adalah kategori buluh yang besar - seperti bulu betung.



Pepatah aur ditanam, betung tumbuh bermaksud mendapat pulangan yang besar dengan usaha atau modal yang sedikit. Ada juga pepatah betung ditanam, aur yang tumbuh yang membawa maksud yang sebaliknya.

Jika difikirkan, bagi mereka yang telah bekerja dan berjaya dalam karier masing-masing, usaha mereka jika diukur dengan pendapatan yang diterima adalah jauh lebih baik berbanding dengan usaha mereka. Gaji sebanyak lima angka atau mendapat keuntungan yang lumayan dalam perniagaan adalah antara pulangan yang diterima dengan usaha yang telah dilakukan semasa muda.

Sebagai seorang pelajar, tugas dan tanggungjawab mereka yang paling utama adalah belajar. Bagi kebanyakan pelajar, ibu bapa mereka telah menyediakan pelbagai kemudahan agar anak-anak mereka dapat berjaya dalam bidang pendidikan. Selain daripada menyediakan makan-minum dan pakaian, mereka menyediakan bahan-bahan pembelajaran serta persekitaran pembelajaran yang kondusif. Bagi ibu bapa yang peka, anak-anak dihantar ke pra sekolah yang terbaik. Pada peringkat sekolah rendah pula, ibu bapa memilih sekolah yang terbaik serta menghantar anak-anak untuk mengikuti kelas-kelas agama di sebelah petang. Apabila melangkah ke sekolah menengah pula, ibu bapa sibuk menghantar anak-anak ke sekolah berasrama penuh atau mengikuti kelas-kelas  tambahan yang terbaik. Bukankah itu semua dilakukan oleh orang lain. Pelajar-pelajar hanya perlu membaca buku, berbincang, memahami dan sebagainya. Pendek kata, tugas pelajar-pelajar hanya belajar serta membuktikan kepada ibu bapa dan guru-guru kebolehan mereka.



Oleh itu, kebanyakan pelajar tidak merasa penat jerihnya untuk mendapatkan wang ringgit semasa belajar. Ibu bapa serta penjaga bertanggungjawab memperoleh wang ringgit untuk kemajuan anak atau jagaan mereka. Pelajar-pelajar hanya perlu belajar. Modal mereka kecil, sekadar memerah otak yang juga kecil. Hasilnya kelak akan dinikmati sendiri, atau diagih-agih sedikit sahaja kepada ibu bapa. Mereka hanya berusaha 'sedikit' untuk hasil yang banyak. 

Sebagaimana peribahasa di atas, adakalanya sesuatu yang kita peroleh adalah lebih banyak daripada yang kita usahakan. Seorang pelajar yang hidup dalam pelbagai kemudahan yang disediakan oleh ibu bapa, tempat tinggal yang selesa, kelengkapan sekolah yang sempurna dan pelbagai lagi kemudahan yang telah dimiliki seharusnya disyukuri dan digunakan dengan sebaiknya.



Thursday, September 16, 2021

BERUCAP.

     




Ramai dikalangan orang dewasa berasa takut berucapa di khalayak ramai. Takut berucap ialah perkara normal dan biasa. Semua orang takut berucap, kalau tak banyak, sedikit mesti ada rasa takut. Takut berucap yang sederhana ada baiknya. Ia mendorong kita supaya lebih bersiap sedia untuk menyampaikan ucapan kita. Ia juga mendorong kita berlatih lebih kuat untuk berucap.

Kebanyakan rasa takut yang kita alami hanya kita yang tahu. Hadirin tidak nampak tanda-tanda bahawa kita takut. Umpamanya, perut kita yang memulas-mulas dan degupan jantung yang cepat cuma kita yang tahu. Hadirin tidak tahu. Mereka tidak tahu tapak tangan kita berpeluh atau mulut kita kering. Di sini ada beberapa teknik mengawal gejala takut mikrofon:

1. Bersedia dan berlatih secukupnya.

Sediakan bahan-bahan yang hendak kita ucapkan. Sebaik-baiknya hafal bahagian-bahagian penting dalam ucapan kita. Sebenarnya, apa yang kita takutkan ialah takut kita gagal  membuat ucapan yang baik. Jadi, berlatihlah menyampaikan ucapan yang baik. Jangan berlatih dalam kepala. Itu tidak berkesan. Berlatih dimulut, itu baru berkesan. Buat seperti kita berlatih menyanyi, di mana kita benar-benar menyanyikan lagu itu apabila berlatih.

2. Cari pengalaman.

Kita mesti mencari pengalaman berucap, tak kira di mana dan di depan siapa. nanti, baru kita yakin, walaupun kita takut, kita sebenarnya boleh juga berucap sedikit sebanyak. Tidaklah seteruk yang kita bayangkan. Dengan adanya pengalaman, makin lama kita makin boleh mengawal ketakutan kita.

3.Bayangkan yang benar.

Orang yang mendengar kita berucap tahu kita bukan pemidato nombor 1. Jadi mereka boleh terima kekurangan kita di sana sini. Mereka pun seperti kita juga, takut pada mikrofon. Kajian menunjukkan kita makin takut apabila kita bayangkan hadirin mahukan ucapan yang hebat dari kita. Tapi, rasa takut kita turun apabila kita bayangkan harapan mereka tidaklah tinggi sangat. Jadi, janganlah bayangkan hadirin kita mahukan kita berucap macam kita ini tokoh pemidato. Itu tidak benar. Itu cuma bayangan kita sahaja.

4. Bergerak-gerak dan tarik nafas.

Kajian menunjukkan rasa takut kita turun apabila badan kita bergerak-gerak. Buat rancangan supaya kita boleh bergerak-gerak. Gunakan alat-alat seperti pen dan papan tulis, projektor dan transperansi dan lain-lain. Itu semua memberi kita peluang bergerak-gerak. Kalau tidak, sambil berucap, cuba gerak-gerakan tangan, kepala atau kaki. Itu semua boleh mengurangkan rasa takut kita. Tarik nafas dalam-dalam. Ini pun satu cara yang boleh mengurangkan rasa takut. Tarik nafas dalam-dalam sebelum bangun dari kerusi dan berjalan ke mikrofon. Kalau semasa berucap, kita masih rasa gemuruh, tarik nafas panjang sebelum ayat seterusnya.

5. Petua agama.

Satu lagi cara untuk mengurangkan rasa takut ialah dengan mengamalkan petua-petua agama. Sebagai contoh, ada ayat-ayat doa yang apabila diamalkan boleh mengurangkan rasa gemuruh.

6. Petua orang tua-tua.

Orang tua-tua pun ada petua untuk mengurangkan rasa gemuruh. Ada petua makan sireh semangat dan lain-lain. 


Friday, May 21, 2021

DISIPLIN DIRI.

 Sebagai manusia sudah tentu kita dikelilingi dengan pelbagai tanggungjawab. Tanggungjawab pada diri sendiri, Tuhan, ibu bapa, keluarga, rakan-rakan dan persekitaran.

1. Namun dapatkah kita memenuhi semua tuntutan dan tanggungjawab ini?

2. Adakah pelaksanaannya sempurna?

Hanya remaja yang cukup berdisiplin sahaja mampu menyempurnakan seua tanggungjawab ini. Pada asasnya kita memerlukan satu disiplin diri yang dipupuk sejak awal lagi. Misalnya, AllahSWT sudah menetapkan waktu sembahyang  lima waktu sehari semalam. Ia dilakukan mengikut tempoh masa yang ditetapkan. Ini menunjukkan disiplin masa sudah diterapkan dalam menunaikan ibadat. Demikian juga hubungan kita dengan ibu bapa, rakan-rakan dan makhluk lain di muka bumi ini. Semuanya diatur denga tersusun.

Remaja perlu menanamkan disiplin yang tinggi dalam diri. Contohnya dalam belajar, anda perlu tegas pada diri sendiri. Jika sebelum ini anda hanya bersikap sambil lewa dalam belajar, maka anda perlu menegaskan pada diri bahawa amanah yang dipikul sangat berat. Anda perlu melakukannya dengan bersungguh-sungguh.







JANGAN MUSNAHKAN MASA DEPAN ANDA.

 "Saya tahu apa yang saya lakukan ini salah, tapi saya belum bersedia untuk berubah." Inilah antara dialog yang kita sering dengar dari remaja yang terjebak dengan masalah sosial. Kesedaran yang ada pada diri mereka masih tidak mampu untuk mengajak diri kembali ke pangkal jalan.

1. Mengapa?

2. Mengapa perlu memusnahkan masa depan sendiri?

3. Tiada belas kasihankah pada diri sendiri?

Ramai di kalangan ibu bapa menghantar anak-anak mereka yang bermasalah ke pusat pemulihan dengan harapan mereka akan kembali ke pangkal jalan. Namun hanya beberapa kerat sahaja yang mampu dipulihkan ataupun berubah. Bagaimana pula yang lainnya?

Walaupun seberapa banyak pun usaha yang dilakukan namun, sekiranya remaja itu sendiri tiada kesedaran, keazaman dan kekuatan dalaman tinggi untuk berubah dan keluar dari kepompong masalah itu,ianya pasti tidak memberikan hasil seperti yang diharapkan. Langkah permulaan untuk mengubahnya pastinya terlalu sukar. Namun semua ini tidak mustahil. Dengan usaha yang  berterusan dan sokongan pihak lain, lambat laun ia pasti membuahkan hasil. Jangan cepat mengaku kalah dan berputus asa. Manusia adalah anugerah yang tidak ternilai dari Allah SWT. Manusia diamanahkan untuk menjaga anugerah ini, antaranya menyayangi sepenuhnya dirinya sendiri serta menghindari segala perbuatan yang melanggar hukum Allah SWT.





MENUNJUKKAN RASA SAYANG PADA DIRI.

Sebelum melahirkan rasa sayang terhadap orang lain, rasa sayang itu wajar dipupuk pada diri sendiri.

Bagaimana?

Mudah sahaja. Amalkan cara hidup sihat baik rohani dan jasmani. Jauhkan diri kita dari mendekati pelbagai punca-punca penyakit berjangkit ataupun penyakit yang kita cari sendiri. Tubuh kita perlu di jaga supaya dapat berkhidmat dengan baik. Salah satu caranya dengan melakukan senaman dan menjaga pemakanan. Bersenam 30 minit sehari selama 3 hari seminggu membantu meningkatkan kecergasan fizikal. 

Selain itu, jauhi diri daripada melakukan tabiat buruk yang mendatangkan penyakit. Antaranya merokok, minuman keras dan menghisap dadah. Rokok dan dadah memberi kesan negatif dalam kehidupan seseorang.

Selain itu kesihatan minda kita juga perlu dijaga. Minda dipelihara dengan mempelajari ilmu yang berguna. Kehidupan yang sempurna adalah melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dlarang oleh Allah swt. Oleh itu, pupuklah rasa sayang pada diri sendiri dengan melakukan aktiviti yang boleh merangsang kecergasan dan kesihatan tubuh badan dan mengelak dari melakukan perkara-perkara yang boleh mendatangkan kerosakan kepada mental dan fizikal.







Saturday, April 24, 2021

KENAPA AKU DIUJI.



Apabila ditimpa dengan musibat kita sering mempersoalkan keadaan itu. Tidak cukup dengan itu ada yang sanggup menyalahkan Tuhan atas segala dugaan itu.

Kenapa ini terjadi?

Manusia tidak dapat lari dari ujian. Masalah yang melanda adalah asam garam dalam kehidupan. Ia adalah bahan perisa untuk menyerikan lagi kehidupan ini. Bersangka baiklah dengan ujian yang melanda. Mungkin ada hikmah di sebalik ujian itu.

Cuba anda bayangkan kehidupan ini sentiasa aman tanpa sebarang masalah yang melanda. Semua tugas dapat diselesaikan dengan mudah. Tidak pernah mengalami kepayahan dan kekurangan. Apa yang diperlukan dan dihajati mudah diperoleh.

Sudah pasti kita tidak merasai nikmat kehidupan yang sebenar, kerana kita tidak pernah melalui pengalaman pahit dan sengsara bagi mengukur nikmat dan kemanisan hidup yang sedang kita kecapi sekarang.

Bagi pejuang-pejuang kemerdekaan, mereka dapat merasai nikmat sebenarnya kebebasan. Kemerdekaan yang diperolehi bukan datang bergplek begitu sahaja, sebaliknya ia memerlukan perjuangan dan pengorbanan. Selepas merasai pahit maung dalam perjuangan kemudian barulah beroleh kemenangan. Kenikmatannya mengecapi kejayaan itu sudah pasti lebih bermakna berbanding dengan apa yang dirasai oleh generasi-generasi selepas itu. Kejayaan itu dikecapi tanpa sebarang cabaran dan kepahitan menyebabkan kita kurang menghargai kejayaan tersebut. Di dalam al-Quran Allah SWT telah berfirman maksudnya ' Allah tidak membebani seseorang itu melainkan dengan kesanggupannya'. Surah al-Baqarah ayat 286.





LUAHKAN PERASAAN TIDAK PUAS HATI ANDA.

Rasa tidak puas hati dalam diri mengundang tekanan dalam diri seseorang. Perasaan dan sikap ini sekiranya dipendam membawa padah pada diri sendiri dan orang lain. Jika anda mengalami situasi seperti ini maka luahkan pada orang itu. Apakah langkah-langkah yang akan anda lakukan?

Pada hakikatnya memang sukar untuk meluahkan perasaan kurang senang atau tidak puas hati kita kepada orang lain. Kemungkinan besar dia tidak dapat menerima pandangan dan luahan rasa tidak puas hati anda. Namun anda perlu tahu menunaikan tanggungjawab anda bukan sahaja kepadanya. Dengan berbuat demikian anda juga menunaikan tanggungjawab kepada diri anda sendiri. Tindakan anda juga akan meredakan ketegangan yang anda alami selain memperbaiki hubungan antara kedua-dua pihak.

Tetapi, bagaimana anda hendak memulakannya? Hati yang sedang sakit memerlukan masa untuk disembuhkan. Maka janganlah bertindak terburu-buru untuk meluahkan perasaan anda. Ambillah masa dan cuba tenangkan diri anda. Pilihlah masa dan keadaan yang paling sesuai untuk anda mulakannya. Cuba susunkan ayat yang tidak akan menyakitkan hati, tetapi boleh memberi impak yang besar dan berkesan kepadanya.

Carilah ruang dan peluang yang sesuai untuk bercakap  dengannya. Walaupun perasaan marah dan tidak puas hati masih membuak-buak dalam diri anda, cubalah mengawalnya, kemudian luahkan perasaan anda kepadanya.

Namun begitu, adalah tidak adil bagi diri anda sahaja yang meluahkan perasaan tidak puas hati anda sahaja. Berikan peluang kepadanya untuk menyatakan pandangannya terhadap anda. Apa yang pasti anda perlu menerima pandangan orang lain terhadap anda. Bukan setakat itu sahaja, anda perlu berusaha mengubah sikap anda jika mahu orang juga berubah. Setiap perubahan memerlukan masa, oleh itu berikanlah masa untuk orang lain berubah ke arah yang lebih baik sebagai mana anda memerlukan juga masa untuk berubah.