Tazkirah
Featured post
Admin Blog

MUSLI ANDALAN
Setiap orang akan mempunyai masa lapang. Ada yang menggunakan masa lapang untuk bermain golf,untuk ke kelas aerobik, untuk bersukan, untuk menonton televisyen, berbual kosong, lepak di pasar-pasar raya dan bermacam-macam aktiviti lagi. Tetapi kita tidak sedar bahawa masa lapang sebenarnya merupakan nikmat Allah tanpa kita sedari. Sebagaimana Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud 'Dua nikmat daripada Allah SWT ada yang kebanyakan manusia tertipu padanya ialah sihat dan masa lapang'.
Untuk menjadi pelajar cemerlang,pelajar perlu menggunakan masa lapang ini dengan aktiviti-aktiviti yang boleh membantu matlamat yang telah ditetapkan. Adalah silap jika pelajar menganggap maka lapang adalah masa untuk bersukaria dan boleh melakukan apa sahaja kerana ia tidak bersangkutan dengan pembelajaran. Sebenarnya masa lapang inilah yang perlu digunakan secara bijaksana. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud 'Ambillah peluang lima perkara sebelum kamu dihilangkan (didatangi) oleh lima perkara. Peluang masa mudamu sebelum daripada tuamu, peluang masa sihatmu sebelum daripada sakitnya; peluang masa kayamu sebelum fakirmu, peluang masa lapangmu sebelum daripada kesibukanmu dan peluang masa hidupmu sebelum daripada matimu'.
Jadi pengajaran daripada Sabda Rasulullah SAW diatas adalah jelas iaitu pelajar perlu merebut masa lapang yang ada untuk studi kerana masa lapang tidak akan kekal kerana akan tiba nanti masa sibuk. Berdasarkan pengalaman, ramai pelajar yang cenderung untuk releks pada permulaan awal tahun persekolahan atau ketika berada di Tingkatan Empat, tetapi mula mengalami tekanan masa kesibukan apabila berada di Tingkatan Lima. Fenomena ini berlaku kerana pelajar tidak bijak menguruskan masa lapang yang ada.
Cuba kita renungkan kata-kata Ibnu 'Ata" Kita al_Hikam iaitu 'kerugian yang sebenar ialah apabila kamu meluangkan masa lapang kamu tanpa melakukan sebarang pekerjaan'. Begitu juga peringatan Abu 'Atahiyah' dalam syairnya yang berbunyi 'sesungguhnya usia muda, masa lapang dan kemewahan, adalah merupakan kerosakkan (kecelakaan) bagi seseorang, di dalam apa juga bentuk kerosakkan.
Berdasarkan pengalaman, ramai pelajar tidak berupaya untuk menjadi pelajar cemerlang kerana mereka mempunyai tabiat pembelajaran yang tidak sistematik terutama berkaitan dengan pengurusan masa, diantaranya;
1. pelajar tidak mempunyai jadual waktu yang baik.
2. pelajar suka menghabiskn masa dengan sia-sia.
3. pelajar suka menangguhkan masa untuk studi.
4.pelajar suka mengamalkan budaya belajar pada saat-saat akhir menjelang waktu peperiksaan.
5. pelajar tidak pandai menggunakan masa untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang penting dan segera berbanding aktivit-aktiviti yang tidak penting dan tidak segera.
Satu daripada amalan lazim dilakukan oleh pelajar ialah belajar ikut suka atau bila ada keinginan. Amalan ini adalah amat merbahaya kerana ia menggalakkan pelajar agar tidak merancang penggunaan masa sebaliknya bergantung kepada keinginan pelajar. Jika hari ini pelajar tersebut mempunyai keinginan untuk belajar, maka dia akan belajar berjam-jam lamanya. Sebaliknya jika keinginannya tidak ada, dua atau tiga haripun tidak boleh belajar. Kenapa itu boleh berlaku?
Sebenarnya amalan ini berlaku kerana pelajar itu sendiri tidak mendisiplinkan dirinya agar menggunakan masa secara terancang. Seperti yangg dijelaskan, pada awalnya, pelajar perlu mengenali jenis-jenis masa kerja yang perlu dilakukan. Atur dan susunkanlah masa dan kerja tersebut mengikut keutamaan.
Cuba renung kembali apakah kejayaan yang telah pelajar capai akibat daripada amalan ini? Adakah pelajar mempunyyai keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan yang lalu?Tepuk dada tanya selera, sebab keputusannya berada di tangan pelajar bak kata pepatah Melayu 'Pisau ada di tangan pelajar, mentimun juga ada di tangan pelajar'.
Maka pandai-pandailah kita mengguakan masa yang dianugerahkan Tuhan kalau kita ingin menjadi pelajar cemerlang.
Memastikan Masa Diisikan Dengan Aktiviti-Aktiviti Yang Berfaedah.
Kewajipan pertama ke atas setiap pelajar ialah memastikan masa yang ada bukan sahaja diisikan dengan aktiviti-aktiviti pembelajaran tetapi juga aktiviti-aktiviti yang menjamin kesejahteraan rohani dan jasmani. Aktiviti-aktiviti pembelajaran sudah pasti mendekatkan lagi pelajar ke arah pelajar cemerlang. Manakala aktiviti-aktiviti yang melibatkan rohani dan jasmani pula akan melahirkan pelajar yang mempunyai tubuh badan yang sihat dan memupuk serta mengukuhkan benteng rohaniah pelajar.
Selain daripada aktiviti-aktiviti pembelajaran,persediaan diri dari aspek-aspek fizikal, mental, emosi adalah amat penting dalam menentukan kejayaan pelajar. Dengan mempunyai kesihatan fizikal, mental dan emosi yang baik pelajar akan dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada aktiviti pembelajaran. Sebagai pelajar, kita sangat dituntut agar menjaga masa yang dikurniakan oleh Allah Ta'ala kepada kita. Khalifah Umar Abdul Aziz,pernah berkata 'Sesungguhnya malam dan siang sedang melakukan terhadap kamu, maka hendaklah kamu bertindak terhadap keduanya'. 'Masa adalah ibarat pedang, sekiranya kamu tidak memotongnya, ia akan memotong kamu'.
Di samping itu kita juga digalakkan agar penggunaan masa kita untuk aktiviti pembelajaran hari ini adalah lebih baik daripada semalam dan hari esok lebih baik daripada hari ini. Ini adalah kerana kejayaan hari esok adalah bermula hari ini.
Pepatah Arab ada menyatakan yang bermaksud 'Barangsiapa keadaan kehidupannya hari ini , seperti semalam, ia adalah tertipu, dan barangsiapa keadaannya hari ini lebih buruk dari semalam, ia adalah terlaknat'.
Jadi pelajar cemerlang perlu mengawasi kehidupan seharian supaya digunakan dengan aktiviti-aktiviti pembelajaran dan untuk mendapat ilmu yang bermanfaat supaya umur kita dan peluang yang ada digunakan sepenuhnya untuk menjadi pelajar yang cemerlang dari segi akademik dan juga akhlaknya.
Pelajar yang membuang masa tanpa melakukan aktiviti-aktiviti pembelajaran atau tanpa menambahkan ilmu pengetahuan, keimanan dan amal soleh adalah termasuk orhiallah' Anhu ang kufur nikmat. Ibnu Mas'ud Radhiallah' Anhu pernah berkata 'perkara yang paling aku menyesal sekali dalam sehari ialah apabila terbenamnya matahari, umurku berkurang, akan tetapi amalanku tidak bertambah'.
Pengurusan masa bermaksud pelajar mengawal penggunaan masa yang ada sama ada 60 minit dalam satu jam, 24 jam dalam satu hari, 7 hari dalam seminggu atau 12 bulan dalam setahun dengan cekap dan berkesan untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan.
Untuk memastikan pelajar dapat menguruskan masa secara cekap dan berkesan pelajar perlu mengkelaskan masa dan kerja kepada beberapa jenis iaitu;
1.Masa ketika pelajar paling segar, bertenaga dan dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada proses pembelajaran.
2.Masa sewaktu pelajar paling keletihan atau terdedah kepada faktor-faktor gangguan dimana pelajar sukar untuk mendapatkan konsentrasi, dan
3.Masa di antara dua waktu yang dinyatakan di atas.
Setelah mengkelas masa-masa ini, pelajar perlu mengatur strategi untuk melakukan berbagai jenis aktivti di dalam masa-masa yang dinyatakan di atas. Sebagai contoh masa ketika pelajar paling segar, bertenaga dan dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada proses pembelajaran hendaklah digunakan untuk membuat tugasan atau kerja rumah, mengulangkaji pelajaran dan membuat latihan menjawab soalan-soalan peperiksaan yang lalu.
Untuk jenis masa (2) pula, pelajar perlu mengisinya dengan kerja-kerja sampingan lain yang boleh membantu pelajar dalam mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Masa ini bolehlah digunakan untuk mencari buku-buku rujukan di perpustakaan, fotokopi makalah atau rencana untuk dijadikan bahan ulangkaji.
Manakala masa (3) pula bolehlah digunakan untuk melakukan aktiviti-aktiviti bio-fisikal, beribadat, makan, minum dan berehat.
Terdapat pernyataan berbunyi ' menunda sesuatu perbuatan baik, kerana menunggu waktu yakni kesempatan yang lebih baik menandakan tanda kebodohan telah mempengaruhi jiwa'. Antara lain juga menyebut 'kekayaan yang hilang boleh dikejar kembali dengan usaha dan kerja yang bersungguh-sungguh. Kesihatan yang hilang boleh dikembalikan dengan ubat-ubatan tetapi waktu yang hilang, sekali hilang akan terus hilang'.
'Ada yang kata masa itu wang
Ada yang kata masa itu emas
Ada juga yang kata, masa itu hampas tebu
Tapi untuk orang yang berjaya, masa itu kehidupan duniawi dan ukhrawi'.
Pelajar perlu sedar, dalam kehidupan sehariannya terdapat tiga jenis masa yang utama iaitu:
1. Masa berkaitan dengan aktivti-aktiviti akademik yang wajib dihadiri. Ini termasuklah masa belajar disekolah iaitu 7.00pagi hingga 2.00petang atau masa untuk menghadiri kuliah, tutorial atau kerja-kerja amali.
2. Masa bukan berkaitan dengan aktiviti-aktiviti akdemik tetapi perlu dilakukan. Ini termasuklah makan, minum, mandi, beribadat seperti sembahyang, membaca Al-Quran dan berzikir, tidur, membuang air, bersenam dan keperluan bio-fizikal yang lain. Sebagai manusia kita perlu lakukansemua aktiviti-aktiviti ini. Tidak dapat tidak pelajar perlu memperuntukkan masa untuk melakukan semua aktiviti.
3. Baki masa selain dari masa (1) dan (2) di atas.
Untuk menjadi pelajar cemerlang kita perlu merancang dan menggunakan masa (3) secara cekap dan berkesan. Contoh-contoh masa (3) ialah:
a. Hari Sabtu dan Ahad tidak ada kelas atau pergi ke sekolah.
b. Masa 4.00 petang hingga 6.00 petang setiap hari.
c. Selepas makan malam dari pukul 8.00 malam hingga 11.00 malam setiap hari.
Pelajar perlu bijak merancang dan menggunakan masa-masa ini untuk mengulangkaji pelajaran atau melakukan aktivti-aktiviti pembelajaran yang dapat membantu pelajar menjadi pelajar cemerlang. Elakkan daripada membuat kerja-kerja yang sia-sia seperti menonton rancangan televisyen yang tidak berfaedah, berbual kosong atau melepak di pusat-pusat membeli belah atau di perhentian bas. Tidak salah pelajar menonoton televisyen tapi biarlah program yang ditonton dapat merangsang minda pelajar sepeti menonton rancangan forum semasa, Berita Perdana ataupun Minda.
Pelajar cemerlang akan menggunakan masa (3) untuk memenuhi matlamat yang telah ditetapkan. Sebagai contoh jika matlamat kita adalah untuk menjadi pelajar cemerlang dalam peperiksaan PT3, SPM, STPM pada tahun hadapan bermakna dari sekarang kita hendaklah menggunakan masa (3) yang ada secara berkesan bagi mencapai matlamat tersebut.
Pelajar cemerlang perlu sedar setiap aktiviti yang dilakukan seharian boleh dibahagikan kepada:
1. Lingkaran perhatian, dan
2. Lingkaran pengaruh.
Aktiviti-aktiviti yang termasuk di dalam lingkaran perhatian pelajar biasanya melibatkan penggunaan tenaga, masa, usaha dan sumber-sumber yang ada pada pelajar. Aktiviti-aktiviti ini biasanya tidak dapat membantu pelajar memenuhi matlamat yang ditetapkan. Aktiviti-aktiviti ini biasanya memerlukan penggunaan masa yang banyak dan kalau tidak berhati-hati, pelajar akan terjebak dalam perangkap masa.
Sebagai contoh, katakan sekarang ialah pertandingan badminton Piala Thomas dan pelajar amat berminat dengan permainan badminton. Jadi setiap malam, pelajar menghabiskan masa untuk menonton pertandingan badminton yang disiarkan menerusi televisyen. Sebenarnya pelajar tidak sedar bahawa walau bagaimana kuat sokongan sekalipun pelajar tidak akan dapat mempengaruhi keputusan pertandingan yang disiarkan itu.
Jadi untuk menjadi pelajar cemerlang yang bijak menguruskan masa maka pelajar perlu mengurangkan aktiviti-aktiviti termasuk dalam lingkaran perhatian. Ini termasuklah aktiviti-aktiviti yang tidak langsung dapat memenuhi matlamat kita untuk menjadi pelajar cemerlang, antaranya:
1. Menghabiskan masa dengan menonton wayang di pawagam-pawagam.
2. menghabiskan masa bermain permainan komputer sama ada di rumah atau di pusat-pusat video.
3. Membaca majalah-majalah hiburan dan kartun yang tidak menambahkan daya kreativiti pelajar.
4. Menyertai aktiviti-aktiviti yang tak bermoral dan merugikan
5. Mengamalkan corak hidup yang tidak mementingkan masa seperti budaya lepak.
Bagaimanapun sekiranya pelajar adalah seorang pemain badminton yang mewakili sekolah maka masa yang dihabiskan untuk menonton pertandingan adalah berfaedah. Ini adalah kerana aktiviti ini dilakukan berada di dalam lingkaran pengaruh pelajar. Masa dan usaha yang pelajar tumpukan untuk menonton pertandingan badminton itu sudah pasti akan dapat membantu pelajar untuk menjadi pemain badminton yang lebih baik. Jadi aktiviti-aktiviti yang ternasuk di dalam lingkaran penagruh inilah yang perlu pelajar lakukan untuk mendekatkan lagi kepada matlamat yang telah ditentukan.
Antara aktiviti-aktiviti yang termasuk di dalam lingkaran pengaruh pelajar ialah;
1. Menyertai bengkel motivasi, bengkel pembangunan sumber manusia dan bengkel pembelajaran.
2. Menyertai program rakan muda yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan untuk meningkatkan ketahanan mental dan jasmani.
3. Menyertai persatuan dan kelab yang ada di sekolah seperti kelab komputer, kelab usahawan, persatuan pengakap dan lain-lain lagi.
4. Mengadakan kumpulan studi untuk membincangkan pelbagai masalah berkaitan pembelajaran. Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah membincangkan pelajaran yang kurang difahami, menjawab soalan-soalan peperiksaan yang lalu dan membuat kerja rumah atau tugasan yang diberikan oleh guru.
Setelah pelajar perlu sedar bahawa masa adalah lebih mahal daripada emas dan tidak ternilai maka adalah wajib bagi pelajar untuk menggunakan masa yang ada secara bijaksana. Tidak mencukupi sekadar merancang penggunaan masa tetapi pelajar mestilah memastikan masa yang ada disikan dengan pelbagai aktiviti yang berfaedah. Ini adalah kerana ' Sesuatu perancngan yang dilaksanakan dengan sempurna adalah jauh lebih baik daripada perancnagan yang sempurna tetapi tidak dilaksanakan'.
Di dalam diari hidup pelajar proaktif tidak adalah istilah 'belajar di saat-saat akhir'. Pelajar proaktif akan merancang sistem pembelajarannya secara sistematik dengan membuat jadual waktu dan mematuhinya. Pelajar proaktif juga akan mengulangkaji pelajarannya tanpa disuruh oleh ibu bapa atau sesiapa sahaja tetapi belajar secara ikhlas kerana pelajar sedar bahawa dengan mengulangkaji pelajaran akan mendekatkan dirinya kepada matlamat jangka pendek dan matlamat jangka panjang yang telah ditetapkan olehnya.
Dalam ertikata yang mudah, untuk belajar pelajar proaktif tidak akan menunggu rangsangan dari luar baru hendak bertindakbalas. Sebaliknya kaedah atau pendekatan yang terbaik dirancang dan dilaksanakan demi memenuhi matlamat yang diingini tanpa paksaaan atau arahan dari sesiapa.
'Cara manusia bertindak bergantung kepada sikapnya. Cara dan bersikap bergantung kepada kesimpulannya. Cara dia mengambil kesimpulan bergantung kepada cara dia berfikir. Dan cara dia berfikir bergantung kepada pengetahuan dan pengalamannya.
Bila kita lebih proaktif terhadap diri kita, kita akan menjadi lebih berjaya dari apa yang pernah kita impikan.
Pelajar proaktif perlu mempunyai ciri-ciri berikut;
- Sentiasa bersedia untuk menghadapi ujian atau peperiksaan.
- Untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan, pelajar akan menggunakan kaedah pembelajaran yang sesuai dengan kemampuan diri.
- Sentiasa menggunakan bahasa-bahasa yang proaktif untuk meningkatkan keyakinan diri, contohnya.
- Aku pelajar seperti mereka juga, aku pasti akan berjaya'.
- 'Aku mempunyai kebolehan dan kekuatan untuk melaksanakan cita-citaku
- 'Aku percaya kepada kebolehan dan kemampuan yang dikurniakan oleh Tuhan kepada ku.
- 'Aku pasti berjaya'
- 'Aku tidak gentar kepada halangan dan kegagalan'
Bagi memastikan kejayaan setiap matlamat yang telah ditetapkan, pelajar perlu melakukan beberapa tindakan seperti berikut;
1. TULISKAN MATLAMAT SECARA JELAS DAN BERDASARKAN APA YANG BENAR-BENAR INGIN DICAPAI.
Ini akan menjadikan pelajar betul-betul bekerja kuat dan menumpukan sepenuh masa untuk mencapainya. Tuliskan matlamat yang hendak dicapai dan lekatkan di meja studi pelajar. Jangan biarkan matlamat kita dipengaruhi oleh orang lain. Kita harus menentukan kehidupan kita sendiri. Walau bagaimanapun kita tidak harus mengenepikan nasihat atau buah fikiran ibu bapa, guru-guru mahupun kawan-kawan kita. Yang penting keputusan akhir diambil berdasarkan kemahuan dan keinginan pelajar.
2. MATLAMAT PERLULAH REALISTIK IAITU HARUSLAH MENCABAR TETAPI BOLEH DICAPAI.
Pelajar perlu memastikan sasaran yang ditetapkan adalah mampu dicapai oleh pelajar berdasarkan kemampuan dan kebolehan yang ada. Matlamat itu mestilah mencabar kerana kita akan berusaha dan mencuba bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya. Matlamat yang terlalu rendah atau mudah dicapai tidak akan menghasilkan cabaran kepada kita apa lagi kepuasan diri.
3. MATLAMAT PERLULAH DITENTUKAN SECARA TEPAT DAN SPESIFIK.
Matlamat yang tepat dan spesifik akan membawa pelajar ke arah yang ingin dituju. Katakan matlamat pelajar adalah untuk menjadi pelajar yang cemerlang. Jadi matlamat yang tepat sepatutnya berbunyi 'Saya ingin memperolehi Gred A dalam semua mata pelajaran di dalam peperiksaan SPM / STPM nanti'. Matlamat yang terlalu umum seperti saya ingin jadi pelajar cemerlang adalah tidak memadai kerana pelajar perlu tentukan gred atau aggregat yang ingin dicapai.
4. SENARAIKAN MATLAMAT MENGIKUT KEUTAMAAN DAN PERLU MEMPUNYAI JANGKA MASA PENCAPAIANNYA.
Matlamat yang lebih penting perlulah dicapai terlebih dahulu bagi memudahkan perancangan pelajar. Matlamat tersebut perlulah ada jangkamasa untuk dicapai kerana matlamat tanpa ditetapkan masa pencapaiannya tidak ubah seperti angan-angan Mat Jenin.
Dalam menetapkan matlamat ini pelajar harus sedar apakah tujuan kita hidup. Apakah tujuan kita menuntut ilmu. Apakah tanggungjawab kita sebagai seorang insan, ahli masyarakat dan seterusnya rakyat Malaysia. Kalau kita dilahirkan sebagai anak seorang petani, adakah kita juga akhirnya akan ke bendang dan meneruskan tradisi tersebut? Kalau kita sebagai anak nelayan adakah kita juga akan mengharungi lautan luas menyabung nyawa demi untuk mencari sesuap nasi?.
Pernahkah pelajar berfikir sejenak apakah peranan dirinya dalam membaiki taraf keluarga, membantu ahli-ahli masyarakat lain yang masih belum sedar dan hidup penuh dengan kesengsaraan? Tidakkah terlintas di fikiran kita untuk menjadi seorang yang berjaya dalam kehidupan duniawi dan ukhrawi seterusnya membantu anak bangsa yang memerlukan bantuan atau sekurang-kurangnya membantu taraf kehidupan keluarga yang serba kekurangan? Tidakkah mengalir air mata kita bila melihat ibu bapa membanting tulang mencari sedikit rezeki, menghantar kita ke sekolah dan mengharapkan kita mendapat kejayaan cemerlang dan seterusnya membaiki kehidupan mereka tapi sebaliknya awal-awal lagi kita telah terkandas dan cepat berputus asa.
Marilah kita merenung kata-kata bernilai Syid Qutb 'Apabila manusia tidak mengerti dan menyedari akan hakikatnya, kedudukannya dalam alam, tujuan adanya dibumi, pastilah kehidupannya akan berakhir pada hujung yang menyedihkan sehingga manusia berada dalam lingkungan azab derita'.
Sesungguhnya kunci kejayaan diri dan kehidupan adalah bermula apabila wujudnya tujuan hidup atau matlamat. Hanya dengan mempunyai matlamat yang spesifik dan realistik, barulah dapat memotivasi dan mendorong seseorang itu merasai akan pentingnya mencapai matlamat.
Pelajar perlu sedar kejayaan tidak boleh dicapai dalam jangkamasa yang singkat. Kita perlu berkorban demi untuk mencapai matlamat. Pelajar perlu berkorban masa, tenaga dan apa saja terutama kepentingan dan kesenangan diri. Pelajar perlu yakin kepada diri sendiri. Ungkapan 'aku boleh' perlu disematkan dalam fikiran. Kalau orang lain boleh berjaya dalam hidup kenapa tidak aku?
Tuhan jadikan manusia sama sahaja, yang penting kita perlu berusaha bersungguh-sungguh. Segala rintangan dan cabaran yang mendatang perlu diatasi. Perancangan matlamat hendaklah ditulis secara hitam putih. Tuliskan matlamat tersebut di atas kertas dan tampalkan di tempat yang selalu dilihat, contohnya di tempat studi atau di bilik tidur.
Setelah pelajar jelas dengan matlamat yang telah ditetapkan maka mereka perlulah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Segala aktiviti yang dilakukan mestilah berpandukan kepada matlamat tadi. sesungguhnya perancangan yang telah ditetapkan akan dapat dirasai kejayaannya apabila ianya dilaksanakan dengan sistematik dan sempurna.
Pelajar yang mempunyai matlamat akan mempunyai ciri-ciri berikut;
a. Pelajar yang bermatlamat ingin berjaya dalam pelajaran sehingga ke peringkat yang tertinggi.
b. Pelajar yang bermatlamat suka membaca terutamanya pada waktu lapang.
c. Pelajar yang bermatlamat selalu menumpukan perhatian sepenuhnya semasa guru mengajar.
d. Pelajar yang bermatlamat akan menyiapkan tugasan atau kerja rumah yang diberikan bersungguh-sungguh.
e. Pelajar yang bermatlamat suka berbincang dengan kawan-kawan tentang hal pelajaran.
f. Pelajar yang bermatlamat mempunyai cita-cita untuk melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat universiti.
g. Pelajar yang bermatlamat suka bertanya kepada kawan-kawan, tutor atau guru apabila menghadapi masalah dalam pelajarannya.
h. Pelajar yang bermatlamat akan menerima segala teguran yang diberikan oleh guru demi untuk meningkatkan ilmu pengetahuannya.
i. Pelajar yang bermatlamat akan bercita-cita untuk membantu keluarganya bila dia telah berjaya.
j. Pelajar yang bermatlamat akan membantu anak bangsanya bila dia telah berjaya.
Renungan KITA SEMUA
Keluarga Ku.

MUSLIAH H.M.A