Tazkirah

Character is what you know you are, not what others think you have.

Keperibadian adalah apa yang anda ketahui tentang diri anda sendiri, bukannya apa yang difikirkan oleh orang lain tentang keupayaan anda.

Featured post

Orang Haus Diberi Air, Orang Lapar Diberi Nasi.

Haus itu dahaga, dahaga itu akan hilang apabila mennerima air. Lapar itu adalah satu perasaan yang memerlukan makanan. dan dalam konteks mak...

Admin Blog

Admin Blog
MUSLI ANDALAN

Blog Archive

Saturday, April 24, 2021


Apabila ditimpa dengan musibat kita sering mempersoalkan keadaan itu. Tidak cukup dengan itu ada yang sanggup menyalahkan Tuhan atas segala dugaan itu.

Kenapa ini terjadi?

Manusia tidak dapat lari dari ujian. Masalah yang melanda adalah asam garam dalam kehidupan. Ia adalah bahan perisa untuk menyerikan lagi kehidupan ini. Bersangka baiklah dengan ujian yang melanda. Mungkin ada hikmah di sebalik ujian itu.

Cuba anda bayangkan kehidupan ini sentiasa aman tanpa sebarang masalah yang melanda. Semua tugas dapat diselesaikan dengan mudah. Tidak pernah mengalami kepayahan dan kekurangan. Apa yang diperlukan dan dihajati mudah diperoleh.

Sudah pasti kita tidak merasai nikmat kehidupan yang sebenar, kerana kita tidak pernah melalui pengalaman pahit dan sengsara bagi mengukur nikmat dan kemanisan hidup yang sedang kita kecapi sekarang.

Bagi pejuang-pejuang kemerdekaan, mereka dapat merasai nikmat sebenarnya kebebasan. Kemerdekaan yang diperolehi bukan datang bergplek begitu sahaja, sebaliknya ia memerlukan perjuangan dan pengorbanan. Selepas merasai pahit maung dalam perjuangan kemudian barulah beroleh kemenangan. Kenikmatannya mengecapi kejayaan itu sudah pasti lebih bermakna berbanding dengan apa yang dirasai oleh generasi-generasi selepas itu. Kejayaan itu dikecapi tanpa sebarang cabaran dan kepahitan menyebabkan kita kurang menghargai kejayaan tersebut. Di dalam al-Quran Allah SWT telah berfirman maksudnya ' Allah tidak membebani seseorang itu melainkan dengan kesanggupannya'. Surah al-Baqarah ayat 286.





Rasa tidak puas hati dalam diri mengundang tekanan dalam diri seseorang. Perasaan dan sikap ini sekiranya dipendam membawa padah pada diri sendiri dan orang lain. Jika anda mengalami situasi seperti ini maka luahkan pada orang itu. Apakah langkah-langkah yang akan anda lakukan?

Pada hakikatnya memang sukar untuk meluahkan perasaan kurang senang atau tidak puas hati kita kepada orang lain. Kemungkinan besar dia tidak dapat menerima pandangan dan luahan rasa tidak puas hati anda. Namun anda perlu tahu menunaikan tanggungjawab anda bukan sahaja kepadanya. Dengan berbuat demikian anda juga menunaikan tanggungjawab kepada diri anda sendiri. Tindakan anda juga akan meredakan ketegangan yang anda alami selain memperbaiki hubungan antara kedua-dua pihak.

Tetapi, bagaimana anda hendak memulakannya? Hati yang sedang sakit memerlukan masa untuk disembuhkan. Maka janganlah bertindak terburu-buru untuk meluahkan perasaan anda. Ambillah masa dan cuba tenangkan diri anda. Pilihlah masa dan keadaan yang paling sesuai untuk anda mulakannya. Cuba susunkan ayat yang tidak akan menyakitkan hati, tetapi boleh memberi impak yang besar dan berkesan kepadanya.

Carilah ruang dan peluang yang sesuai untuk bercakap  dengannya. Walaupun perasaan marah dan tidak puas hati masih membuak-buak dalam diri anda, cubalah mengawalnya, kemudian luahkan perasaan anda kepadanya.

Namun begitu, adalah tidak adil bagi diri anda sahaja yang meluahkan perasaan tidak puas hati anda sahaja. Berikan peluang kepadanya untuk menyatakan pandangannya terhadap anda. Apa yang pasti anda perlu menerima pandangan orang lain terhadap anda. Bukan setakat itu sahaja, anda perlu berusaha mengubah sikap anda jika mahu orang juga berubah. Setiap perubahan memerlukan masa, oleh itu berikanlah masa untuk orang lain berubah ke arah yang lebih baik sebagai mana anda memerlukan juga masa untuk berubah.





Thursday, April 22, 2021


Malu adalah sifat yang wajar ada pada semua remaja. Namun malu yang tidak bertempat dan berlebih-lebihan tidak mendatangkan kebaikan dan faedah kepada anda. Ia adalah satu satu amalan dan budaya yang salah dan wajar diatasi dari terus menular dalam diri remaja. Pepatah Melayu ada mengatakan, kalau malu bertanya sesat jalan. Sikap malu bertanya seperti ini jelas tidak membantu sebaliknya menyebabkan urusan dan tugasan yang mudah menjadi bertambah rumit. Namun begitu, sikap tidak malu yang keterlaluan dan tidak kena pada tempatnya juga boleh membawa kemudaratan dan perlu dielak.

Maka, Islam menggariskan panduan dalam mengamalkan budaya sifat malu. Sifat malu yang berpada-pada dituntut dalam Islam. Diriwayatkan daripada Salim Bin Abdullah daripada ayahnya katanya ,"Nabi Muhammad SAW lalu di hadapan seorang Ansar yang sedang mencela saudaranya kerana saudaranya itu seorang yang pemalu. Maka kata Nabi Muhammad SAW kepadanya, ''Biarkan dia. Sesungguhnya malu itu sebahagian daripada iman'.

Namun tidak dinafikan malu yang keterlaluan ataupun tidak bertempat mengundang kepada kemudaratan sebaliknya jika hilang sifat malu runtuhlah nilai akhlak seorang remaja. Maka remaja perlu pandai menilai budaya pemalu yang bagaimana perlu digalakkan dan budaya pemalu yang bagaimana pula perlu dijauhi.

Remaja wajar menyingkap sikap malu, adakah sikap malu yang ditonjolkan bertepatan dengan masa dan tempat, begitu juga sebaliknya.

Remaja yang memiliki sikap malu yang keterlaluan diperhatikan sebagai seorang yang mudah bimbang, merendah diri, takut, cemas dan runsing. Selalunya sikap ini muncul apabila mereka terpaksa berdepan dengan orang disegani dan tidak dikenali. Perasaan malu apabila diminta memberikan pendapat ataupun persoalan di khalayak ramai. Perasaan malu yang keterlaluan menyebabkan mereka sukar menyatakan pendapat. Jadi mereka berusaha menjauhi diri dari berinteraksi dengan orang sekeliling.

Bagi mendapatkan ilmu, anda tidak boleh malu sebaliknya perlu mengambil bahagian dalam perbincangan, mengeluarkan pendapat seterusnya menimbulkan persoalan bagi perkara-perkara yang tidak difahami ataupun kurang jelas.

Pelajar-pelajar yang mempunyai sifat malu yang tebal akan tersisih dan tertinggal dalam pelajaran. Guru mungkin tidak dapat mengesan tahap penerimaan semua murid akan subjek yang diajarnya, kerana ia lebih cenderung menilai berdasarkan respon dari pelajar sendiri melalui soalan dan pertanyaan yang dikemukakan. Situasi ini akan menambahkan lagi tekanan kepada emosi dan fikiran mereka. Banyak masa yang digunakan untuk memikir dan menyelesaikan masalah ini secara bersendirian.

Rasa malu juga wujud apabila mereka risau tentang penampilan diri yang kurang meyakinkan. Terdapat remaja yang kurang selesa dan rendah dengan latar belakang keluarga. Ini terjadi kepada remaja yang datang dari keluarga yang miskin dan bermasalah. Mereka bimbang dan malu dengan pandangan negatif rakan-rakan sekeliling.

Remaja perlu melakukan perubahan ke arah yang lebih positif. Remaja perlu mempunyai sifat malu, tetapi bukan seorang yang pemalu tidak bertempat atau keterlaluan sehingga merugikan diri sendiri.




 


Kenal Pasti Kelebihan Anda!

Setiap orang dilahirkan dengan kelebihan dan kekurangan yang berbeza-beza. Anugerah ini sewajarnya tidak dipersia-siakan begitu sahaja. Namun, masih ramai remaja tidak dapat mengesan apa kelebihan yang ada pada mereka. Cuba kenal pasti kelebihan, bakat, aset yang ada pada diri anda. Mungkin dalam sesuatu keadaan atau sudut, anda mempunyai kehebatan dan kelebihan tersendiri yang mungkin tidak terdapat pada diri orang lain. Kelebihan dan kehebatan ini jika dipupuk dan dipertajamkan akan memacu dan meletakkan anda ke kemuncak kejayaan. Masa anda pasti lebih berharga jika dipergunakan berdasarkan kelebihan dan kehebatan yang ada pada diri anda. Anda mungkin mampu melakukan satu kejutan luar biasa yang membuka mata masyarakat.

Ramai remaja, apabila ditanya apa kelebihan mereka, mereka menjawab 'saya tidak tahu' atau saya 'tiada apa-apa kelebihan'. Mereka kurang prihatin serta memandang remeh terhadap kebolehan semula jadi yang mereka ada.

Setiap orang mempunyai keunikan yang tersendiri untuk ditonjolkan. Namun, ia bergantung pada kemampuan setiap individu sama ada mereka dapat mengesan ataupun tidak bakat yang ada pada diri mereka. Kemudian mereka perlu mengasah bakat yang sedia ada itu mengikut acuan masing-masing.

Aset atau kelebihan diri jika diasahkan dengan betul akan menjadikan anda remaja yang luar biasa. Ramai remaja mengambil pendekatan dan sikap yang salah, dengan mengambil sikap merendah diri pada bakat diri yang ada. Bagi mereka pendirian tersebut adalah lebih baik dari bersikap menunjuk-nunjuk, atau membangga-banggakan kebolehan yang ada pada mereka itu, malah ada yang malu dengan bakat dan kelebihan yang dianugerahkan.

Anda tidak sepatutnya menyimpan ataupun membiarkan ia terbiar begitu sahaja, sebaliknya anda perlu menzahir dan mengimplementasikannya sebagai sumbangan kepada masyarakat dan negara. Ia adalah bonus tambahan yang dianugerahkan oleh Tuhan selain daripada pancaindera-pancaindera lain yang sempurna untuk digunakan oleh manusia bagi memakmurkan dunia ini.




Sunday, April 11, 2021

Gaya Romantis - EROS.

 Gaya percintaan ini merujuk kepada cinta yang wujud hasil daripada tarikan fizikal yang sangat kuat pada pertemuan pertama. Mereka yang memiliki gaya ini mahukan penyatuan dan perpaduan dalam hubungan cinta. Mereka ini seboleh-boehnya inginkan satu identiti dengan pasangannya, contohnya dalam berpakaian dan mempunyai selera makan yang sama. Selalunya tarikan sosial yang menyebabkan pengamal gaya ini tertarik untuk membentuk hubungan.Pengamal gaya percintaan ini memandang cinta sebagai sesuatu yang sangat tinggi nilainya.

Gaya Permainan - LUDUS.

Mereka yang mengamalkan gaya bercinta jenis ini cuba untuk mengurangkan pergantungan dan tanggungjawabnya. Mereka selalunya mempunyai lebih daripada satu pasangan cinta dalam sesuatu sama. Ini adalah keranan dengan adanya dua atau lebih kekasih serentak lebih senang baginya melepaskan tanggungjawab kepada kedua-dua kekasihnya tadi. Mereka yang mengamalkan gaya ini juga selalunya tidak serius dalam bercinta dan tidak mendalam perasaan cintanya, sebaliknya mereka suka memainkan perasaan ataupun membiarkan pasangannya tertanya -tanya apakah perasaan mereka sebenarnya dan berapa dalamkah penglibatan cinta mereka itu. Pengamal gaya ini juga tidak mempunyai rancangan jangka panjang dalam hubungan cinta, lebih suka membuat hubungan secara mendadak dan tidak teratur. Dengan ini hubungan mereka jarang sekali mesra terutama daripada segi emosi dengan pasangannya. ini disebabkan mereka lebih suka bebas dan tidak mahukebebasannya diganggu oleh sesiapa sahaja termasuklah pasangannya sendiri.

Gaya Persahabatan - STORAGE.

Gaya ini adalah hasil daripada persahabatan. Cinta pada pengamalnya tidak wujud secara mendadak, tetapi timbul secara perlahan-lahan. Kadang-kadang orang yang bercinta tidak menyedari yang mereka sudah lama dalam percintaan. Selalunya orang yang memiliki gaya ini akan mempunyai minat yang sama dengan pasangannya. Mereka juga tidak berkeupayaan untuk menyintai seseorang tanpa dikenali secara mendalam dalam jangkamasa yang panjang. Sebaliknya mereka akan mengenali pasangan itu dahulu sebelum wujudnya perasaan cinta.

Cinta Logikal - PRAGMA.

Gaya logikal merujuk kepada gaya bercinta yang mana individu yang terliba cuba mencari pasangan yang terbaik untuknya. Ia akan menetapkan ciri-ciri khusus dan cuba mencari pasangan yang sesuai dengan atau mengikut ciri-ciri khusus tersebut. Sekiranya pasangan yang sesuai telah ditemui , sebarang kemungkinan untuk berpisah selalunya akan dibuat pertimbangan terlebih dahulu.Pengamal gaya ini juga sabar menangguh hubungan cintaya sehingga mereka betul-betul merasakan individu yang ditemuiitu memenuhi kriteria yang dikehendakinya.

Cinta Kepunyaan - MANIA.

Gaya ini merujuk kepada pengamal yang memiliki sifat cemburu kerana mementingkan ingin bersama setiap masa.Ia tidak suka kepada perpisahan dan semua aktiviti mahu dilakukan bersama. Individu ini menjadi beban kepada orang lain kerana ia sangat mementingkan keperluan diri sendiri. Mereka juga sangat kuat dengan perasaan ingin mengawal, mengongkong dan memiliki dan pada masa yang sama juga mahu merasa dimiliki oleh pasangannya. Oleh itu mereka ini sentiasa mencurigai kejujuran dan keutuhan cinta pasangan masing-masing.

Cinta Pengorbanan - AGAPE.

Gaya pengorbanan merujuk kepada mereka yang suka membantu, amat memahami dan pemaaf. Gaya bercinta ini terlalu ekstrim menyebabkan individu terlalu penyabar terhadap objek yang dicintainya. Pengorbanan ini menyebabkan pemikirannya terbatas. Pengamal gaya bercinta ini juga bersikap terbuka kerana ia boleh menerima cinta daripada orang yang berbeza-beza personalitinya. Pengamal gaya percintaan ini akan memberikan cinta dan kasih sayang dengan rela hati tanpa sebarang syarat kepada pasangannya. Pengamal gaya percintaan ini juga sanggup melakukan apa sahaja asalkan orang yang mereka cintai itu bahagia dan selesa, bahkan mereka rela mengenepikan cita-cita atau pun kehendak dirinya sendiri asalkan pasangan mereka berjaya mendapatkan apa yang dikehendakinya.




Renungan KITA SEMUA

Wahai Anakku! Carilah ilmu kerana apabila kamu menjadi fakir maka itulah hartamu dan bila kamu kaya, ilmu itu menjadi perhiasan dirimu. Lukmanul Hakim

Keluarga Ku.

Keluarga Ku.
MUSLIAH H.M.A

Renungan

Tidak ada yang lebih buruk dan lebih merbahaya dalam hidup ini selain daripada rasa takut untuk melakukan sesuatu yang positif.

Wahai Diri

A good leader is not that person who does things right, but the person who finds the right things to do.

Seorang pemimpin yang baik bukannya seseorang yang melakukan sesuatu kerja dengan betul, tetapi seseorang yang mencari kerja yang betul untuk dilakukan.

Selamat Datang

Blog Unit Bimbingan & Kaunseling
Maktab Sabah, Kota Kinabalu.
Tel:088-225201 Fax:088-216414