Tazkirah

Character is what you know you are, not what others think you have.

Keperibadian adalah apa yang anda ketahui tentang diri anda sendiri, bukannya apa yang difikirkan oleh orang lain tentang keupayaan anda.

Featured post

Orang Haus Diberi Air, Orang Lapar Diberi Nasi.

Haus itu dahaga, dahaga itu akan hilang apabila mennerima air. Lapar itu adalah satu perasaan yang memerlukan makanan. dan dalam konteks mak...

Admin Blog

Admin Blog
MUSLI ANDALAN

Blog Archive

Sunday, January 31, 2021

 


Secara umumnya terdapat dua jenis matlamat iaitu;

A. Matlamat Jangka Pendek.

Ini merupakan matlamat yang mesti dicapai dalam masa yang singkat. Contohnya pelajar menetapkan matlamat untuk mendapat markah tertinggi dalam ujian bulanan yang akan datang atau mendapat purata A di dalam peperiksaan semester 1.

Matlamat jangka pendek ini adalah merupakan sasaran yang hendak dicapai dalam masa satu bulan, satu penggal atau satu semester. Misi ini perlu ditetap dan dicapai sebelum ditetapkan matlamat jangka panjang atau visi.

Di antara misi atau matlamat jangka pendek yang boleh ditetapkan ialah;

  • Memperbaiki purata gred B kepada gred A dalam semua mata pelajaran di dalam ujian bulanan depan.
  • Untuk memperbaiki kelemahan di dalam sabjek Matematik dengan lebih banyak membuat latihan dan seterusnya mendapat markah yang lebih baik di dalam ujian yang akan diadakan.
  • Untuk memperbaiki kedudukan di dalam kelas dari nombor 10 kepada nombor 4.



B. Matlamat Jangka Panjang.

Matlamat yang akan dicapai dalam tempoh yang lama. Contohnya mendapat gred cemerlang dalam peperiksaan SPM tahun hadapan dan seterusnya memasuki universiti. Penetapan matlamat ini mestilah bersifat berterusan.

Sekiranya matlamat tersebut telah dicapai maka pelajar mestilah menetapkan matlamat lain pula. Dengan kata lain untuk menjadi orang yang berjaya dalam hidup, kita mesti ada matlamat yang jelas dan berterusan. Contohpenetapan matlamat yang bersifat berterusan ialah;
  1. Mendapat markah tinggi dalam ujian bulanan
  2. Mendapat gred cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
  3. Memasuki universiti
  4. Mendapat ijazah dengan kelas pertama dan
  5. Menjawat jawatan dengan gaji yang lumayan
Sesungguhnya penetapan matlamat ini tidak akan terhenti bagi orang yang ingin berjaya dalam hidup. Penetapan matlamat ini adalah bergantung kepada individu dan masalah disesuaikan dengan keadaan semasa. Dalam menetapkan matlamat ini pelajar perlulah sedar bahawa matlamat itu mestilah tinggi dan jelas. Tidak ada gunanya menetapkan matlamat yang rendah kerana matlamat itu pasti mudah dicapai dan pelajar akan terus berpuas hati dengannnya.

Jika pelajar selalu mendapat purata D, di dalam semua mata pelajaran yang diambilnya dalam tingkatan empat, maka pelajar tersebut perlulah menetapkan matlamat untuk mendapat purata A atau B semasa dalam tingkatan Lima nanti. Adalah merugikan jika pelajar tersebut terus menetapkan matlamat untuk mengekalkan gred D kerana kemungkinan besar pelajar tersebut akan gagal.

Di samping itu, matlamat perlulah sesuai dengan kebolehan semasa. Katakan pelajar telah mendapat purata D dalam semua mata pelajaran semasa di Tingkatan Empat, jadi untuk 3 ujian bulanan pertama dalam Tingkatan Lima nanti pelajar perlulah menetapkan matlamat untuk mendapat purata C dalam semua mata pelajaran.

Apabila matlamat ini telah dicapai maka pelajar tersebut bolehlah meningkatkan matlamatnya secara beransur-ansur. Contohnya mesti mendapat purata B dalam peperiksaan pertengahan tahun dan setersunya mendapat purata dalam peperiksaan akhir tahun.






Untuk menjadi cemerlang, para pelajar perlu mempunyai matlamat. Matlamat ini mestilah jelas. Kalau kita imbas kembali ketika kita mula-mula memasuki persekolahan dahulu kita sering ditanya oleh guru apakah cita-cita kita bila besar nanti. Sedarkah kita sebenarnya kita telah diajar secara tak langsung untuk menanamkan matlamat dalam diri kita.

Pujangga besar Amerika, Sinclair Lewis ketika masih menjadi seorang pelajar di universiti pernah ditanya oleh seorang profesor akan cita-citanya. Sinclair Lewis menjawab 'cita-cita besar saya mahu menjadi seorang penulis,', Mendengar kata-kata Sinclair, profesor itu terus berkata ;Kalau itulah cita-cita kamu, nescaya kamu akan mati kelaparan'.

Lewis tersenyum sahaja mendengarnya sambil berkata; saya tidak peduli'. Mendengar jawapan itu, profesor tersebut lantas menepuk bahu Lewis dan berkata, kalau demikianlah rupanya azam kamu, maka kamu akan berjaya menjadi seorang penulis yang berkaliber.

Kenapakah pelajar perlu menentapkan matlamat? Penetapan matlamat adalah penting kerana;

1. Ia akan menjadi hala tuju yang akan digunakan bagi mencapai matlamat tersebut. Matlamat akan membolehkan kita menggunakan masa, tenaga dan idea pada jalan yang betul.

2. Ia akan menjadi panduan bagi membuat berbagai perancangan. Apabila matlamat yang ditetapkan tercapai, ianya akan mewujudkan perasaan yakin dan percaya kepada diri sendiri dan ini akan merangsang kita kepada penetapan matlamat yang lebih tinggi.

  • Mengetahui apakah matlamat anda dan ingin mencapainya tidak akan membawa anda hampir kepadanya. Tindakan yang mampu berbuat demikian.
  • Setiap yang bergerak pasti ada arah tujuannya. Kita yang bergerak, kemana arah tujuannya?
  • Jika anda boleh melihat diri anda memiliki matlamat anda, separuh dari matlamat itu adalah milik anda.
3. Sebagai pendorong bagi mencapai matlamat yang ditetapkan. Pembentukan matlamat ini juga akan menjadikan kehidupan kita lebih menggembirakan dan melahirkan suatu sikap yang positif dan berwawasan.




Sebagai seorang pelajar, hidup kita akan diselubungi berbagai dugaan dan kita akan mudah berputus asa apabila kita tidak mempunyai matlamat yang jelas dan tegas. Fikiran kita akan menjadi kabur dan bersifat negatif terhadap masa depan.

Kehidupan sebagai seorang pelajar ibarat sebuah lautan yang bergelora. Pelajar akan hanyut di lautan yang penuh gelora ini tanpa matlamat yang ingin dicapai. Pelajar perlu menetapkan cita-cita hidupnya. Kemanakah arah yang hendak dituju? Apakah yang dimahukan dari hidup ini? Soalan-soalan begini perlu sentiasa bermain di fikiran kita jika ingin berjaya.

Bagi pelajar yang mempunayi matlamat yang jelas maka tidak syak lagi dia akan menjalani kehidupannya sebagai seorang pelajar dengan penuh keyakinan. Jika matlamatnya untuk menjadi pelajar cemerlang maka pelajar akan menumpu dan mencurahkan sepenuh tenaga yang tidak berbelah bagi demi untuk mencapai cita-citanya. Pelajar yang mempunyai tujuan hidup yang jelas tidak akan membiarkan dirinya terumbang ambing oleh perasaan ragu terhadap masa depannya atau dipermainkan oleh cita-cita yang hangat-hangat tahi ayam atau seringkali menukar-nukar matlamat hidupnya.

Pernahkah kita bertanya kepada diri sendiri, kenapakah kita datang ke sekolah? Di manakah kita akan berada 10 tahun akan datang? atau 20 tahun akan datang? Dengan mempunyai matlamat yang jelas maka pelajar dapat membayangkan dirinya berada 10 atau 20 tahun akan datang. Jika pelajar menentapkan bahawa 5 tahun akan datang mereka akan berada di universiti dan seterusnya 10 tahun akan datang menjadi tokoh koperat yang disegani maka untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan ini mereka akan cuba bersungguh-sungguh. Salah satu caranya ialah dengan menjadi pelajar cemerlang.
  • Biarlah saya beritahu anda rahsia yang membolehkan saya mencapai matlamat saya. Kekuatan saya terletak hanya kepada ketabahan hati saya.
  • Tidak cukup hanya mengetahui matlamat kita, itu hanyalah apa yang hendak kita lakukan. Kita juga patut mengetahui bagaimana, iaitu tujuannya. Tujuan itulah bateri kepada kita. Tujuanlah yang membolehkan kita bergerak maju.
  • Untuk mencapai matlamat anda, anda perlu menguruskan diri anda. Tetapi untuk menguruskan diri, anda perlu terlebih dahulu menguruskan masa anda.




Orang yang mendapat kejayaan dalam hidup selalu membuat perancangan. Pelajar yang selalu mencapai kejayaan cemerlangvdalam peperiksaan lazimnya mempunyai perancangan masa depan. Kita mungkin ada terbaca falsafah Inggeris yang berbunyi;

No body plans to fail
but many fail to plan
so let's plan our work
and work our plan.


Sebenarnya apabila cita-cita seorang pelajar diimani dengan sepenuh hati dan diikuti dengan usaha-usaha yang sabar, tetap dan tabah maka tidak syak lagi pelajar akan mencapai cita-citanya.

Jadi pelajar cemerlang perlu mempunyai matlamat dan membuat perancangan bagi mencapai matlamat tersebut. Pelajar yang cemerlang akan belajar secara sistematik bukannya;
  1. Belajar bila ada mood
  2. Belajar ikut kawan
  3. Tidak berusaha bersungguh-sungguh.
  4. Cepat putus asa.


Sunday, January 24, 2021
YDH ACP Habibi Haji Manjinji, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, mengabadikan gambar di Collegian Square, Maktab Sabah sempena 1st Day at School 2021.

Ada tiga faktor yang menentukan kecemerlangan seseorang pelajar. Tiga faktor tersebut ialah;

PELAJAR.

Pelajar yang ingin meraih kecemerlangan perlu menyediakan dirinya sendiri terlebih dahulu. Pengajar dan persekitaran hanyalah faktor pelengkap bagi mencapai kecemerlangan tersebut, pelajar perlu bersiap sedia dari lima aspek utama iaitu;

1.Bersiap sedia untuk menganalisa diri sendiri dari segi kekuatan dan kelemahan yang ada. Segala kekuatan dan kelemahan ini perlulah diselaraskan dengan segala usaha bagi mencapai kejayaan cemerlang. Untuk mengenali kekuatan dan kelemahan diri sendiri, pelajar perlulah menilai dan menganalisa segala kemahiran dan keupayaan yang dimilikinya. Pelajar yang cemerlang perlu bijak mengeksploitasi kemahiran dan keupayaan yang ada.

Pelajar cemerlang sedar bahawa tidak ada manusia yang dilahirkan serba sempurna. Semua manusia dijadikan oleh Allah dengan mempunyai kelemahan dan kelebihan yang tertentu. Kelemahan yang ada di dalam diri pelajar boleh dikurangkan sekiranya pelajar berusaha bersungguh-sungguh untuk mengatasinya. Pelajar perlu bersiap sedia untuk menjadikan kelemahan yang ada pada dirinya sebagai pendorong untuk berusaha mengembangkan kekuatan yang ada pada dirinya.

2, Bersiap sedia untuk membina motivasi dalaman menerusi penetapan wawasan dan visi yang jelas.

3. Bersiap sedia untuk membina keyakinan dan sikap yang positif. Keyakinan diri dan sikap yang positif akan menjadi pasport kegemilangan untuk masa depan. Pelajar perlu yakin kepada kemampuan dan kelebihan diri sendiri. Pelajar perlu percaya kepada kebolehan dan kehebatan diri sendiri kerana di dalam diri setiap pelajar tersimpan suatu tenaga yang maha besar. Apabila pelajar pandai memperguna dan mengarahkan tenaga ini maka pelajar akan berjaya mencipta kejayaan yang cemerlang dan melaksanakan wawasan dan misi yang telah ditetapkan. Tenaga yang maha perkasa ini akan bergerak dengan gagahnya bila sahaja ditekan suisnya iaitu 'azam yang kukuh dan kemahuan yang teguh.' Tenaga ini akan menggerakkan pelajar agar pelajar bersungguh-sungguh laksana seorang askar yang berada di medan pertempuran yang berjuang bermati-matian untuk mencapai kecemerlangan.

4. Bersiap sedia untuk berdisiplin terutamanya dalam aspek pengurusan diri dan masa. Untuk mencapai kecemerlangan, pelajar perlu berdisiplin dalam menguruskan diri sendiri serta masa yang ada. Perancangan dan pengurusan masa yang cekap bukan sahaja membolehkan pelajar menikmati kehidupan sebagai seorang pelajar secara lebih baik tetapi mendisiplinkan diri agar bijak menggunakan masa. Selalunya kecemerlangan akan dapat dicapai apabila pelajar mempunyai tiga perkara berikut iaitu berilmu, bermotivasi dan berdisiplin.

5. Bersiap sedia untuk mempertingkatkan kemampuan diri. Aristotle, ahli falsafah yunani yang terkenal menyatakan 'kita menjadi apa yang selalu kita lakukan. Maka kecemerlangan bukanlah suatu tindakan, tetapi suatu tabiat'. Untuk mencapai kecemerlangan pelajar perlu mempertingkatkan kemampuan diri. Pelajar perlu percaya kepada kebolehan diri sendiri.

Ybhg Datin Seri Panglima Hajah Nuinda Binti Haji Alias, Pengetua Cemerlang JUSA C Maktab sabah, bergambar  bersama OCPD dan PPD, Kota Kinabalu. 20 Januari 2021.

PENGAJAR.

Faktor kedua yang menentukan kecemerlangan seseorang pelajar ialah hubungannya dengan guru atau pensyarah yang mengajarnya. Guru atau pensyarah memainkan peranan yang sangat penting dalam membimbing, mengasuh atau mendidik pelajar. Komunikasi yang berkesan di antara guru atau pensyarah dan pelajar adalah amat penting dalam menentukan kecemerlangan. untuk mencapai komunikasi yang berkesan, pelajar perlu mempunyai budaya berikut;

BERSIKAP PROAKTIF DAN POSITIF.

Pelajar perlu sedar yang guru atau pensyarah hanyalah berperanan sebagai fasilitator atau pemudah cara dalam melicinkan usaha pembelajaran pelajar. Untuk berjaya dengan cemerlang, 70 - 90% usaha perlu datang dari pelajar sendiri. Manakala yang selebihnya adalah dari guru atau pensyarah. Pelajar perlu bersikap positif dan proaktif terhadap guru atau pensyarah. Ini boleh dilakukan dengan mengambil daya initiatif sendiri untuk belajar tanpa terlalu bergantung kepada bantuan guru atau pensyarah.

MENGAMALKAN ADAB DAN TINGKAHLKAU YANG TERPUJI TERHADAP GURU ATAU PENSYARAH.

Untuk mencapai kecemerlangan pelajar perlu menghormati guru atau pensyarah yang membimbing dan mendidik pelajar. mereka perlu dihormati sebagaimana pelajar menghormati kedua ibu bapa sendiri. Pelajar perlu menumpukan sepenuh perhatian kepada apa yang diajarkan oleh guru atau pensyarah.

MENGAMALKAN BUDAYA SUKA BERTANYA.

Apabila pelajar menghadapi masalah di dalam subjek tertentu, pelajar perlu bertanya kepada guru atau pensyarah. Jangan malu atau segan untuk bertanya apalagi dengan membiarkan masalah itu berlarutan. Ingatlah bahawa guru atau pensyarah sentiasa bersedia untuk menyelesaikan masalah yang pelajar hadapi. Sebaik-baiknya pelajar mencuba terlebih dahulu untuk menyelesaikan masalah tersebut. Jika masih belum dapat diselesaikan juga barulah pelajar berjumpa dengan guru atau pensyarah.

Ybhg Puan Tah Nia Binti Haji Jaman, Pegawai Pendidikan Daerah JUSA C, Kota Kinabalu. Terima kasih atas sokongan ke Pelancaran Welcome Back To School, 2021.

PERSEKITARAN.

Faktor yang tidak kurang pentingnya dalam menentukan kejayaan ialah persekitaran pelajar itu sendiri. setiap pelajar mungkin dibesarkan dalam persekitaran yang berbeza. sama ada kita sedar atau tidak persekitaran adalah merupakan acuan kepada pembetukan peribadi pelajar.

Persekitaran  kita bermula dengan kehadiran kedua ibu bapa kita. Merekalah yang mencorakkan kehidupan kita pada permulaannya. Selain daripada itu itu peranan pengasuh, sanak saudara, jiran-jiran dan kawan-kawan akan mula mempengaruhi kehidupan kita.

Apabila umur pelajar semakin meningkat, persekitaran kita yang lain semakin memainkan peranan. Ini termasuklah media massa seperti televisyen, radio, audio-video, komputer, akhbar, majalah, buku, internet dan lain-lain lagi.

Untuk berjaya di dalam pembelajaran dan kehidupan seharian, pelajar perlu mengenalpasti aspek-aspek positif dan negatif yang wujud di dalam persekitaran kita. Kita tidak boleh membiarkan diri kita dipengaruhi oleh persekiran yang negatif. Pelajar yang berjaya ialah pelajar yang dapat menepis segala faktor-faktor negatif yang terdapat disekitarnya dan mengambil atau mempraktikkan faktor positif yang boleh membantunya menjadi pelajar yang cemerlang bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga kehidupan sehariannya.


YDH ACP Habibi OCPD KK, Ybhg Puan Tah Nia PPDKK, Ybhg DSP Hajah Nuinda, sempat memberikan kata-kata motivasi kepada pelajar Tingkatan 5, 2020 yang masih meneruskan perjuangan sehingga tahun 2021, bakal menduduki SPM pada 22 Februari 2021, ekoran pandemik covid 19.



Bersama tetamu yang hadir sempena 1st Day At School 20 Januari 2021 (Rabu) Seawal pagi jam 6.00pg.

 

 Mesti Mempunyai Otak Yang First Class.

Anggapan ini sering berada difikirkan kebanyakan pelajar. Mereka menganggap kecemerlangan bergantung kepada faktor-faktor tertentu seperti keturunan dan persekitaran. Contohnya ada yang mengatakan seseorang pelajar itu mencapai kecemerlangan di dalam pelajarannya kerana dia dilahirkan dilahirkan dalam keluarga yang memang bijak pandai atau keluarga yang mempunyai otak yang bergeliga.

Sebenarnya ramai pelajar yang cemerlang adalah berasal dari keluarga yang tidak berpelajaran atau keluarga yang kurang bijak. Pencipta kereta yang terkenal, Henry Ford misalnya tidak bersekolah tinggi dan dianggap orang berpendidikan rendah dan bodoh semasa usia mudanya. tetapi beliau berjaya membina kereta sehinggakan kita semua dapat menikmati hasil ciptaan beliau sehingga hari ini.

Pelajar Perlu Menjadi Ulat Buku.

Ramai pelajar yang membuat tanggapan bahawa untuk cemerlang mereka mesti menjadi ulat buku. Mereka tidak boleh melibatkan diri di dalam aktiviti persatuan atau sukan. Mereka hanya perlu menumpukan kepada pelajaran sahaja. Sebenarnya tanggapan ini juga adalah salah kerana telah terbukti pelajar yang mendapat keputusan yang cemerlang di dalam pelajaran adalah aktif di dalam berbagai bidang seperti kelab, persatuan dan sukan. Faktor yang penting adalah pelajar mesti pandai menguruskan masa yang ada dengan cekap dan berkesan.

Pelajar Perlu Kepada Suasana Persekitaran Yang Baik.

Terdapat pelajar yang gagal di dalam pelajaran menyalahkan kepada semua persekitarannya yang tidak baik sebagai punca kegagalannya. Ada pelajar yang gagal untuk cemerlang menyalahkan keluarganya yang miskin dan tidak berpelajaran, sekolahnya yang buruk dan terletak di luar bandar atau guru-guru disekolahnya yang tidak pandai mengajar.

Sebenarnya anggapan-anggapan sebegini jika dibiarkan berterusan akan menyebabkan pelajar tidak berusaha bersungguh-sungguh dan mudah berputus asa. Sejarah telah membuktikan bahawa orang yang berjaya di dalam hidup adalah mereka yang mampu menghadapi dan menangani masalah-masalah tersebut secara bijaksana. Pelajar sepatutnya melihat semua masalah ini sebagai cabaran bagi mencipta erti kecemerlangan yang sebenarnya.

Jawatankuasa PIBG Maktab Sabah bersama dengan Puan Tah Nia Binti Haji Jaman, Pegawai Pendidikan Daerah Kota Kinabalu JUSA C, sempena 1st Day At School 2021.
Bersama dengan Ydh ACP Habibi Haji Majinji, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, sempena 1st Day At School. Turut hadir bersama ialah PPDKK, PIBG dan Pentadbir sekolah.








 Setiap pelajar inginkan kecemerlangan. Kecemerlangan tidak akan tercapai jika kita tidak membuat perancangan untuk menjadi cemerlang. Sesungguhnya setiap pelajar adalah dijadikan oleh Allah Taala dengan sebaik-baik makhluk berbanding makhluk-makhluk yang lain. Tetapi ramai antara kita yang lupa bahawa kita dijadikan oleh Allah Taala dengan darjah dan martabat yang paling tinggi untuk menjadi pemimpin di atas muka bumi ini. Jadi mengapakah kita tidak boleh cemerlang?

Sebagai seorang pelajar, cabaran yang dihadapi sebelum memperolehi kecemerlangan tidak pernah berakhir. Untuk mencapai kejayaan, pelajar perlu membuat perancangan tentang masa depan. Pelajar tidak boleh menyerahkan kepada nasib semata-mata. Orang lain tidak boleh menentukan kecemerlangan masa depan kita. Ibu bapa dan guru-guru hanya boleh memberi galakan untuk kita berjaya. Berjaya atau tidaknya kita untuk menjadi pelajar yang cemerlang bergantung kepada diri kita sendiri.

Kecemerlangan sebenarnya perlu bermula dengan keyakinan pada diri sendiri. Keyakinan untuk memperolehi segala yang dirancang dan diimpikan. Apabila kita yakin pada diri sendiri dengan sendirinya kita akan mempunyai minda yang positif bukannya suatu angan-angan kosong sahaja. Apabila pelajar telah mempunyai keyakinan dan percaya kepada diri sendiri maka pelajar dapat mengatur langkah-langkah tindakan satu persatu bagi mencapai kejayaan yang diinginkan.



Ilmu adalah lebih utama daripada harta.

Ilmu menjagamu sedangkan kau harus menjaga hartamu. Harta akan berkurang bila kau nafkahkan. Demikian pula budi yang ditimbulkan dengan harta akan hilang dengan hilangnya harta.

Makrifat ilmu, seperti juga agama merupakan pegangan hidup terbaik.

Dengannya orang akan beroleh ketaatan dan penghormatan sepanjang hidupnya serta nama harum setelah wafatnya. Ilmu adalah hakim dan harta adalah sesuatu yang dihakimi.

Saidina Ali.



Kecemerlangan yang  dirancang semestinya bukan di dalam bidang akademik semata-mata. Sebaliknya, kecemerlangan yang diharapkan oleh ibu bapa, guru, masyarakat dan negara adalah kecemerlangan secara menyeluruh. Ini termasuklah cemerlang di dalam bidang akademik, cemerlang dalam tingkah laku, prihatin dan bertimbang rasa terhadap kepentingan orang lain, aktif di dalam pergaulan , beriman dan bertakwa serta cergas dari segi kesihatan fizikal dan mental.

Untuk mencapai kecemerlangan kita perlu mempunyai sikap yang positif. Ramai pelajar yang tidak mempunyai sikap yang positif untuk mencapai kecemerlangan. Di antara sikap-sikap negatif yang sering menjadi penghalang kepada kecemerlangan ialah;

AKU TIDAK BOLEH MENJADI PELAJAR CEMERLANG.

Pelajar tidak yakin dirinya boleh menjadi pelajar cemerlang. Bagi mereka kejayaan adalah untuk orang lain atau bangsa lain. Apalagi jika pelajar tersebut datang dari keluarga yang miskin atau kurang berada. Pelajar seperti ini selalunya tidak yakin pada kebolehan diri sendiri dan selalu merasa rendah diri.

Sikap negatif ini perlu dibuang jauh-jauh. Pelajar perlu sedar Tuhan menjadikan kita sama sahaja. Pelajar boleh mencapai setiap impian dan apa-apa yang diimpikan . Kita bukan lagi golongan mundur di dalam pelajaran. Hari ini sudah ramai cerdik pandai dalam kalangan kita yang sudah berjaya, maju dan berupaya mengatasi bangsa-bangsa lain di dalam berbagai bidang.

MUDAH MERASA PUAS DENGAN APA YANG DICAPAI.

Pelajar tidak akan mencapai kecemerlangan jika cepat berpuas hati dengan pencapaian yang diperolehi. Sepatutnya pencapaian ini menjadi pendorong untuk mencapai kejayaan yang lebih gemilang. Budaya cepat berpuas hati ini juga menghalang pelajar untuk mencapai kejayaan yang lebih tinggi.

TIDAK BERCITA-CITA TINGGI.

Pelajar tidak mempunyai cita-cita yang tinggi. Bagi mereka cita-cita tinggi itu pasti akan ditertawakan oleh orang lain atau mustahil untuk dicapai. Pelajar perlu sedar setiap impian dan cita-cita pasti akan tercapai suatu hari nanti. Tidak ada sesiapa pun yang boleh mencapai cita-citanya dalam sekelip mata.

Sebenarnya untuk mencapai cita-cita tersebut, kita perlu berusaha dan mungkin memerlukan masa yang lama untuk memperolehinya. Pelajar disarankan agar mencatatkan setiap langkah yang diambil untuk memenuhi cita-cita tersebut. Ini akan memberikan kekuatan semangat, keazaman yang berkobar-kobar dan minda yang terbaik sebelum pelajar boleh mencapai cita-cita tersebut.

BERCITA-CITA TINGGI TAPI TIDAK MEMBUAT APA-APA TINDAKAN.

Ada juga pelajar yang cita-citanya tinggi melangit tetapi tidak membuat apa-apa untuk mencapainya. Mereka hanya pandai merancang tetapi tidak pernah bertindak dan berusaha untuk memenuhi cita-cita tersebut. Semua perancangan yang dibuat sedringkali ditangguh-tangguh. Pelajar seperti ini sebenarnya berangan-angan kosong tanpa berusaha untuk berjaya.







Saturday, January 23, 2021

 Amalan Budaya Penyayang. Kelab Staf Maktab Sabah, telah membuat kejutan kepada Ybhg DSP Hajah Nuinda Haji Alias, Pengetua Cemrlang JUSA C, sempena kelahirannya tanggal 6 Januari . Aktiviti ini yang merupakan aktiviti tahunan, namun tahun 2021 ia nya  hanya disambut dalam keadaan sederhana. 









Ianya merupakan sambutan sebelum Ybhg DSP bersara wajib pada tahun hadapan. Semoga program seumpama ini dapat diteruskan dari masa kesemasa bagi menghargai semua staf di Maktab Sabah. Program ini, bukan kepada staf sahaja akan tetapi Unit Bimbingan dan Kaunseling melaksanakan juga kepada warga Maktab Sabah iaitu Guru, AKP dan murid sekolah, berdasarkan keperluan dan keadaan yang mengizinkan.

Renungan KITA SEMUA

Wahai Anakku! Carilah ilmu kerana apabila kamu menjadi fakir maka itulah hartamu dan bila kamu kaya, ilmu itu menjadi perhiasan dirimu. Lukmanul Hakim

Keluarga Ku.

Keluarga Ku.
MUSLIAH H.M.A

Renungan

Tidak ada yang lebih buruk dan lebih merbahaya dalam hidup ini selain daripada rasa takut untuk melakukan sesuatu yang positif.

Wahai Diri

A good leader is not that person who does things right, but the person who finds the right things to do.

Seorang pemimpin yang baik bukannya seseorang yang melakukan sesuatu kerja dengan betul, tetapi seseorang yang mencari kerja yang betul untuk dilakukan.

Selamat Datang

Blog Unit Bimbingan & Kaunseling
Maktab Sabah, Kota Kinabalu.
Tel:088-225201 Fax:088-216414