Tazkirah

Character is what you know you are, not what others think you have.

Keperibadian adalah apa yang anda ketahui tentang diri anda sendiri, bukannya apa yang difikirkan oleh orang lain tentang keupayaan anda.

Featured post

Orang Haus Diberi Air, Orang Lapar Diberi Nasi.

Haus itu dahaga, dahaga itu akan hilang apabila mennerima air. Lapar itu adalah satu perasaan yang memerlukan makanan. dan dalam konteks mak...

Admin Blog

Admin Blog
MUSLI ANDALAN

Blog Archive

Monday, November 15, 2021

Ingin membela Maruah Diri dan Menjamin Masa Hadapan.

Harga diri bergantung kepada sejauh mana kemampuan dan pencapaian seseorang dalam apa jua bidang yang mereka ceburi. Perkara ini sama halnya dengan kejayaan masa depan mereka bergantung kepada sejauh mana kecemerlangan mereka pada masa sekarang. Pelajar perlu cemerlang dalam bidang akademik  untuk mendapat tiket ke universiti dan seterusnya menjamin kerjaya yang memberikan pendapatan yang lumayan. Sebagai seorang remaja, ia perlu cemerlang untuk menjadi seorang dewasa yang berjaya dan dapat memberikan sumbangan kepada masyarakat.

Orang lain tidak dapat menentukan masa depan seseorang. Bila-bila masa saja ibu bapa akan pergi meninggalkan dunia ini, guru-guru cuma membantu anda memperoleh ilmu dan erti kehidupan manakala teman-teman hanya menemani seseorang itu buat seketika sahaja. Kitalah yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap diri kita sendiri.

Berjaya atau gagalnya seseorang itu dalam hidup ini tertakluk kepada kemampuan dan kesanggupannya mengatur dan mengambil berat tentang urusan pembelajarannya masa kini. Setiap orang perlu membangunkan diri sendiri ke arah mencapai kecemerlangan.



Demi Kegemilangan Bangsa dan Ummah.

Umat Islam adalah umat yang unggul, anggun dan berkualiti yang terbaik. Justeru itu kecemerlangan  harus sentiasa di pupuk dan dibina agar status 'umat yang berkualiti dan yang terbaik' ini menjadi realiti dalam kehidupan. Kitalah yang bertanggungjawab mengembali dan mengekalkan status kecemerlangan kepada umat. Kecemerlangan ini akan menjadikan kita umat yang disegani, dihormati dan disanjung oleh umat dan bangsa yang lain.





Friday, November 12, 2021


Allah SWT menciptakan manusia dengan amat sempurna dan dibekalkan dengan pelbagai kelebihan dan keistemewaan. Setiap insan mempunyai kelebihan dan keunikan yang tersendiri. Keunikan ciptaan Tuhan ini merupakan sumber dan asas yang boleh digunakan untuk membentuk kecemerlangan. 

Setiap manusia memerlukan usaha yang hampir sama untuk melakukan sesuatu yang kecil atau yang besar dalam rangka meraih kejayaan. Keyakinan diri dan kesediaan menanggung risiko adalah di antara ciri terpenting untuk berjaya. Setiap individu perlu bertanya kepada diri sendiri, misalnya:

a. Ke mana aku hendak pergi?

b. Bagaimana aku hendak sampai ke sana?

Pada hakikatnya tidak ada perbezaan di antara orang yang berjaya dengan orang yang gagal. Yang membezakan di antara kedua-dua golongan ini ialah tahap kekenalan diri. Orang yang berjaya lebih  mengenali deirinya berbanding dengan orang yang gagal.


KENAPA MESTI CEMERLANG?

Kecemerlangan amat penting dan sangat diidam-idamkan oleh setiap manusia. Pada asasnya terdapat beberapa faktor yang mendong  seseorang mencapai kecemerlangan.

Manusia dilahirkan Cemerlang dan Layak Mencapai Kecemerlangan.

Sesungguhnya semua manusia dilahirkan  dalam keadaan cemerlang. Hakikat ini ditegaskan  oleh Allah SWT dalam Firman-Nya yang bermaksud: 'Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.'

Di dalam ayat ini Allah SWT menyatakan bahawa umat manusia  diberikan status yang tertinggi di antara makhluk-makhluknya yang lain. Justeru itu, manusia diberi amanah untuk mengendalikan  diri, keluarga dan ummah secara cemerlang.

Malang sekali kebanyakan manusia lupa akan hakikat ini dan menjadikan diri mereka tidak layak untuk mencapai kecemerlangan. Ini disebabkan kejahilan yang telah mengikis ciri-ciri kecemerlangan yang dibekalkan oleh Allah SWT kepada mereka. Sebagaimana yang termaktub dalam sambungan ayat tadi bahawa manusia itu sendiri yang menurunkan darjat mereka dari sebaik-baik kejadian  dari puncak kecemerlangan yang dianugerahkan kepada mereka oleh Allah SWT kepada serendah-rendah darjat dan martabat.





Friday, November 5, 2021


'Kita memiliki faktor semula jadi yang personaliti boleh dicipta dan adalah menjadi tanggungjawab utama bagi setiap individu untuk merancangnya dengan berkesan'. Ia adalah cabaran tersedia untuk kehidupan dan profesion diri sendiri. Ia membentuk kepercayaan tertentu yang dipegagng oleh orang yang berjaya yang melihat dunia ini dengan cara tertentu dan membolehkan mereka mengambil tindakan yang berkesan.

Sikap Mental Positif.

Kunci utama kejayaan ialah sikap mental positif. Anda mesti fikirkan tentang sikap jika mahu berfikir sebagai juara. Sikap ialah di mana segala perubahan dan kejayaan bermula. Sikap menentukan siapa dan apa diri anda, dan sama ada anda bertindak balas pada keadaan yang mengawal diri. Anda boleh ubah dan meningkatkan sikap anda dengan menganalisis dan mengubah sistem kepercayaan diri.

Ahli falsafah Sepanyol George Santayana (1863-1952) berkata 'orang lebih yakin dengan pendapat mereka yang dikatakan bernilai berbanding dengan sama ada pendapat itu benar atau tidak.

Sistem kepercayaan yang ada pada anda tidak membenarkan anda berusaha secara optimum. Dalam banyak perkara ia berdasarkan maklumat yang tidak berasas, tidak wajar, tidak memadai dan tidak rasional. Semasa kecil tentu sikap perkataan yang keluar dari mulut anda disokong dan digalakkan oleh ibu bapa dan orang terdekat. Anda mungkin menerima dorongan positif yang membangkitkan perasaan positif kepada kejayaan anda. Antara ungkapan itu ialah 'pandai anak mama melakukannya'.





Cara seseorang anak menerima maklum balas positif dan serta merta membolehkan anda mencapai kejayaan. Bukan setakat perkataan dorongan dan pujian sahaja yang anda terima malahan senyuman, sentuhan, dakapan dan ciuman.

Semakin anda meningkat dewasa anda tidak lagi menerima kata-kata positif dan dorongan. Unsur-unsur negatif mula meresap ke dalam minda nada sama ada datang dari rakan sebaya, ibu bapa dan masyarakat. Jika tiada perseimbangan antara tindak balas positif dan negatif yang diterima adalah munasabah anda menjadi kurang bersemangat menzahirkan sesuatu.

Apa-apa kepercayaan yang anda ingin ubah perlualh diuji secara logikal dan rasional. Penilaian semula kepercayaan semasa sebagai latihan berfikir membolehkan anda mengesahkan ketepatan apa yang ada dalam minda anda.

     Apabila kita pergi ke sungai-sungai, kita akan melihat rimbunan pokok-pokok buluh. Kita juga pernah mendengar peribahasa seperti aur dengan tebing, yang bermaksud suka bertolong-tolongan. Aur ialah buluh. Terdapat pelbagai jenis buluh seperti buluh cina, buluh kuning, buluh hitam dan sebagainya. Aur ini adalah daripada jenis buluh yang kecil-kecil. Manakala betung pula adalah kategori buluh yang besar - seperti bulu betung.



Pepatah aur ditanam, betung tumbuh bermaksud mendapat pulangan yang besar dengan usaha atau modal yang sedikit. Ada juga pepatah betung ditanam, aur yang tumbuh yang membawa maksud yang sebaliknya.

Jika difikirkan, bagi mereka yang telah bekerja dan berjaya dalam karier masing-masing, usaha mereka jika diukur dengan pendapatan yang diterima adalah jauh lebih baik berbanding dengan usaha mereka. Gaji sebanyak lima angka atau mendapat keuntungan yang lumayan dalam perniagaan adalah antara pulangan yang diterima dengan usaha yang telah dilakukan semasa muda.

Sebagai seorang pelajar, tugas dan tanggungjawab mereka yang paling utama adalah belajar. Bagi kebanyakan pelajar, ibu bapa mereka telah menyediakan pelbagai kemudahan agar anak-anak mereka dapat berjaya dalam bidang pendidikan. Selain daripada menyediakan makan-minum dan pakaian, mereka menyediakan bahan-bahan pembelajaran serta persekitaran pembelajaran yang kondusif. Bagi ibu bapa yang peka, anak-anak dihantar ke pra sekolah yang terbaik. Pada peringkat sekolah rendah pula, ibu bapa memilih sekolah yang terbaik serta menghantar anak-anak untuk mengikuti kelas-kelas agama di sebelah petang. Apabila melangkah ke sekolah menengah pula, ibu bapa sibuk menghantar anak-anak ke sekolah berasrama penuh atau mengikuti kelas-kelas  tambahan yang terbaik. Bukankah itu semua dilakukan oleh orang lain. Pelajar-pelajar hanya perlu membaca buku, berbincang, memahami dan sebagainya. Pendek kata, tugas pelajar-pelajar hanya belajar serta membuktikan kepada ibu bapa dan guru-guru kebolehan mereka.



Oleh itu, kebanyakan pelajar tidak merasa penat jerihnya untuk mendapatkan wang ringgit semasa belajar. Ibu bapa serta penjaga bertanggungjawab memperoleh wang ringgit untuk kemajuan anak atau jagaan mereka. Pelajar-pelajar hanya perlu belajar. Modal mereka kecil, sekadar memerah otak yang juga kecil. Hasilnya kelak akan dinikmati sendiri, atau diagih-agih sedikit sahaja kepada ibu bapa. Mereka hanya berusaha 'sedikit' untuk hasil yang banyak. 

Sebagaimana peribahasa di atas, adakalanya sesuatu yang kita peroleh adalah lebih banyak daripada yang kita usahakan. Seorang pelajar yang hidup dalam pelbagai kemudahan yang disediakan oleh ibu bapa, tempat tinggal yang selesa, kelengkapan sekolah yang sempurna dan pelbagai lagi kemudahan yang telah dimiliki seharusnya disyukuri dan digunakan dengan sebaiknya.



Thursday, September 16, 2021

     




Ramai dikalangan orang dewasa berasa takut berucapa di khalayak ramai. Takut berucap ialah perkara normal dan biasa. Semua orang takut berucap, kalau tak banyak, sedikit mesti ada rasa takut. Takut berucap yang sederhana ada baiknya. Ia mendorong kita supaya lebih bersiap sedia untuk menyampaikan ucapan kita. Ia juga mendorong kita berlatih lebih kuat untuk berucap.

Kebanyakan rasa takut yang kita alami hanya kita yang tahu. Hadirin tidak nampak tanda-tanda bahawa kita takut. Umpamanya, perut kita yang memulas-mulas dan degupan jantung yang cepat cuma kita yang tahu. Hadirin tidak tahu. Mereka tidak tahu tapak tangan kita berpeluh atau mulut kita kering. Di sini ada beberapa teknik mengawal gejala takut mikrofon:

1. Bersedia dan berlatih secukupnya.

Sediakan bahan-bahan yang hendak kita ucapkan. Sebaik-baiknya hafal bahagian-bahagian penting dalam ucapan kita. Sebenarnya, apa yang kita takutkan ialah takut kita gagal  membuat ucapan yang baik. Jadi, berlatihlah menyampaikan ucapan yang baik. Jangan berlatih dalam kepala. Itu tidak berkesan. Berlatih dimulut, itu baru berkesan. Buat seperti kita berlatih menyanyi, di mana kita benar-benar menyanyikan lagu itu apabila berlatih.

2. Cari pengalaman.

Kita mesti mencari pengalaman berucap, tak kira di mana dan di depan siapa. nanti, baru kita yakin, walaupun kita takut, kita sebenarnya boleh juga berucap sedikit sebanyak. Tidaklah seteruk yang kita bayangkan. Dengan adanya pengalaman, makin lama kita makin boleh mengawal ketakutan kita.

3.Bayangkan yang benar.

Orang yang mendengar kita berucap tahu kita bukan pemidato nombor 1. Jadi mereka boleh terima kekurangan kita di sana sini. Mereka pun seperti kita juga, takut pada mikrofon. Kajian menunjukkan kita makin takut apabila kita bayangkan hadirin mahukan ucapan yang hebat dari kita. Tapi, rasa takut kita turun apabila kita bayangkan harapan mereka tidaklah tinggi sangat. Jadi, janganlah bayangkan hadirin kita mahukan kita berucap macam kita ini tokoh pemidato. Itu tidak benar. Itu cuma bayangan kita sahaja.

4. Bergerak-gerak dan tarik nafas.

Kajian menunjukkan rasa takut kita turun apabila badan kita bergerak-gerak. Buat rancangan supaya kita boleh bergerak-gerak. Gunakan alat-alat seperti pen dan papan tulis, projektor dan transperansi dan lain-lain. Itu semua memberi kita peluang bergerak-gerak. Kalau tidak, sambil berucap, cuba gerak-gerakan tangan, kepala atau kaki. Itu semua boleh mengurangkan rasa takut kita. Tarik nafas dalam-dalam. Ini pun satu cara yang boleh mengurangkan rasa takut. Tarik nafas dalam-dalam sebelum bangun dari kerusi dan berjalan ke mikrofon. Kalau semasa berucap, kita masih rasa gemuruh, tarik nafas panjang sebelum ayat seterusnya.

5. Petua agama.

Satu lagi cara untuk mengurangkan rasa takut ialah dengan mengamalkan petua-petua agama. Sebagai contoh, ada ayat-ayat doa yang apabila diamalkan boleh mengurangkan rasa gemuruh.

6. Petua orang tua-tua.

Orang tua-tua pun ada petua untuk mengurangkan rasa gemuruh. Ada petua makan sireh semangat dan lain-lain. 


Friday, May 21, 2021

 Sebagai manusia sudah tentu kita dikelilingi dengan pelbagai tanggungjawab. Tanggungjawab pada diri sendiri, Tuhan, ibu bapa, keluarga, rakan-rakan dan persekitaran.

1. Namun dapatkah kita memenuhi semua tuntutan dan tanggungjawab ini?

2. Adakah pelaksanaannya sempurna?

Hanya remaja yang cukup berdisiplin sahaja mampu menyempurnakan seua tanggungjawab ini. Pada asasnya kita memerlukan satu disiplin diri yang dipupuk sejak awal lagi. Misalnya, AllahSWT sudah menetapkan waktu sembahyang  lima waktu sehari semalam. Ia dilakukan mengikut tempoh masa yang ditetapkan. Ini menunjukkan disiplin masa sudah diterapkan dalam menunaikan ibadat. Demikian juga hubungan kita dengan ibu bapa, rakan-rakan dan makhluk lain di muka bumi ini. Semuanya diatur denga tersusun.

Remaja perlu menanamkan disiplin yang tinggi dalam diri. Contohnya dalam belajar, anda perlu tegas pada diri sendiri. Jika sebelum ini anda hanya bersikap sambil lewa dalam belajar, maka anda perlu menegaskan pada diri bahawa amanah yang dipikul sangat berat. Anda perlu melakukannya dengan bersungguh-sungguh.







 "Saya tahu apa yang saya lakukan ini salah, tapi saya belum bersedia untuk berubah." Inilah antara dialog yang kita sering dengar dari remaja yang terjebak dengan masalah sosial. Kesedaran yang ada pada diri mereka masih tidak mampu untuk mengajak diri kembali ke pangkal jalan.

1. Mengapa?

2. Mengapa perlu memusnahkan masa depan sendiri?

3. Tiada belas kasihankah pada diri sendiri?

Ramai di kalangan ibu bapa menghantar anak-anak mereka yang bermasalah ke pusat pemulihan dengan harapan mereka akan kembali ke pangkal jalan. Namun hanya beberapa kerat sahaja yang mampu dipulihkan ataupun berubah. Bagaimana pula yang lainnya?

Walaupun seberapa banyak pun usaha yang dilakukan namun, sekiranya remaja itu sendiri tiada kesedaran, keazaman dan kekuatan dalaman tinggi untuk berubah dan keluar dari kepompong masalah itu,ianya pasti tidak memberikan hasil seperti yang diharapkan. Langkah permulaan untuk mengubahnya pastinya terlalu sukar. Namun semua ini tidak mustahil. Dengan usaha yang  berterusan dan sokongan pihak lain, lambat laun ia pasti membuahkan hasil. Jangan cepat mengaku kalah dan berputus asa. Manusia adalah anugerah yang tidak ternilai dari Allah SWT. Manusia diamanahkan untuk menjaga anugerah ini, antaranya menyayangi sepenuhnya dirinya sendiri serta menghindari segala perbuatan yang melanggar hukum Allah SWT.





Sebelum melahirkan rasa sayang terhadap orang lain, rasa sayang itu wajar dipupuk pada diri sendiri.

Bagaimana?

Mudah sahaja. Amalkan cara hidup sihat baik rohani dan jasmani. Jauhkan diri kita dari mendekati pelbagai punca-punca penyakit berjangkit ataupun penyakit yang kita cari sendiri. Tubuh kita perlu di jaga supaya dapat berkhidmat dengan baik. Salah satu caranya dengan melakukan senaman dan menjaga pemakanan. Bersenam 30 minit sehari selama 3 hari seminggu membantu meningkatkan kecergasan fizikal. 

Selain itu, jauhi diri daripada melakukan tabiat buruk yang mendatangkan penyakit. Antaranya merokok, minuman keras dan menghisap dadah. Rokok dan dadah memberi kesan negatif dalam kehidupan seseorang.

Selain itu kesihatan minda kita juga perlu dijaga. Minda dipelihara dengan mempelajari ilmu yang berguna. Kehidupan yang sempurna adalah melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dlarang oleh Allah swt. Oleh itu, pupuklah rasa sayang pada diri sendiri dengan melakukan aktiviti yang boleh merangsang kecergasan dan kesihatan tubuh badan dan mengelak dari melakukan perkara-perkara yang boleh mendatangkan kerosakan kepada mental dan fizikal.







Saturday, April 24, 2021


Apabila ditimpa dengan musibat kita sering mempersoalkan keadaan itu. Tidak cukup dengan itu ada yang sanggup menyalahkan Tuhan atas segala dugaan itu.

Kenapa ini terjadi?

Manusia tidak dapat lari dari ujian. Masalah yang melanda adalah asam garam dalam kehidupan. Ia adalah bahan perisa untuk menyerikan lagi kehidupan ini. Bersangka baiklah dengan ujian yang melanda. Mungkin ada hikmah di sebalik ujian itu.

Cuba anda bayangkan kehidupan ini sentiasa aman tanpa sebarang masalah yang melanda. Semua tugas dapat diselesaikan dengan mudah. Tidak pernah mengalami kepayahan dan kekurangan. Apa yang diperlukan dan dihajati mudah diperoleh.

Sudah pasti kita tidak merasai nikmat kehidupan yang sebenar, kerana kita tidak pernah melalui pengalaman pahit dan sengsara bagi mengukur nikmat dan kemanisan hidup yang sedang kita kecapi sekarang.

Bagi pejuang-pejuang kemerdekaan, mereka dapat merasai nikmat sebenarnya kebebasan. Kemerdekaan yang diperolehi bukan datang bergplek begitu sahaja, sebaliknya ia memerlukan perjuangan dan pengorbanan. Selepas merasai pahit maung dalam perjuangan kemudian barulah beroleh kemenangan. Kenikmatannya mengecapi kejayaan itu sudah pasti lebih bermakna berbanding dengan apa yang dirasai oleh generasi-generasi selepas itu. Kejayaan itu dikecapi tanpa sebarang cabaran dan kepahitan menyebabkan kita kurang menghargai kejayaan tersebut. Di dalam al-Quran Allah SWT telah berfirman maksudnya ' Allah tidak membebani seseorang itu melainkan dengan kesanggupannya'. Surah al-Baqarah ayat 286.





Rasa tidak puas hati dalam diri mengundang tekanan dalam diri seseorang. Perasaan dan sikap ini sekiranya dipendam membawa padah pada diri sendiri dan orang lain. Jika anda mengalami situasi seperti ini maka luahkan pada orang itu. Apakah langkah-langkah yang akan anda lakukan?

Pada hakikatnya memang sukar untuk meluahkan perasaan kurang senang atau tidak puas hati kita kepada orang lain. Kemungkinan besar dia tidak dapat menerima pandangan dan luahan rasa tidak puas hati anda. Namun anda perlu tahu menunaikan tanggungjawab anda bukan sahaja kepadanya. Dengan berbuat demikian anda juga menunaikan tanggungjawab kepada diri anda sendiri. Tindakan anda juga akan meredakan ketegangan yang anda alami selain memperbaiki hubungan antara kedua-dua pihak.

Tetapi, bagaimana anda hendak memulakannya? Hati yang sedang sakit memerlukan masa untuk disembuhkan. Maka janganlah bertindak terburu-buru untuk meluahkan perasaan anda. Ambillah masa dan cuba tenangkan diri anda. Pilihlah masa dan keadaan yang paling sesuai untuk anda mulakannya. Cuba susunkan ayat yang tidak akan menyakitkan hati, tetapi boleh memberi impak yang besar dan berkesan kepadanya.

Carilah ruang dan peluang yang sesuai untuk bercakap  dengannya. Walaupun perasaan marah dan tidak puas hati masih membuak-buak dalam diri anda, cubalah mengawalnya, kemudian luahkan perasaan anda kepadanya.

Namun begitu, adalah tidak adil bagi diri anda sahaja yang meluahkan perasaan tidak puas hati anda sahaja. Berikan peluang kepadanya untuk menyatakan pandangannya terhadap anda. Apa yang pasti anda perlu menerima pandangan orang lain terhadap anda. Bukan setakat itu sahaja, anda perlu berusaha mengubah sikap anda jika mahu orang juga berubah. Setiap perubahan memerlukan masa, oleh itu berikanlah masa untuk orang lain berubah ke arah yang lebih baik sebagai mana anda memerlukan juga masa untuk berubah.





Thursday, April 22, 2021


Malu adalah sifat yang wajar ada pada semua remaja. Namun malu yang tidak bertempat dan berlebih-lebihan tidak mendatangkan kebaikan dan faedah kepada anda. Ia adalah satu satu amalan dan budaya yang salah dan wajar diatasi dari terus menular dalam diri remaja. Pepatah Melayu ada mengatakan, kalau malu bertanya sesat jalan. Sikap malu bertanya seperti ini jelas tidak membantu sebaliknya menyebabkan urusan dan tugasan yang mudah menjadi bertambah rumit. Namun begitu, sikap tidak malu yang keterlaluan dan tidak kena pada tempatnya juga boleh membawa kemudaratan dan perlu dielak.

Maka, Islam menggariskan panduan dalam mengamalkan budaya sifat malu. Sifat malu yang berpada-pada dituntut dalam Islam. Diriwayatkan daripada Salim Bin Abdullah daripada ayahnya katanya ,"Nabi Muhammad SAW lalu di hadapan seorang Ansar yang sedang mencela saudaranya kerana saudaranya itu seorang yang pemalu. Maka kata Nabi Muhammad SAW kepadanya, ''Biarkan dia. Sesungguhnya malu itu sebahagian daripada iman'.

Namun tidak dinafikan malu yang keterlaluan ataupun tidak bertempat mengundang kepada kemudaratan sebaliknya jika hilang sifat malu runtuhlah nilai akhlak seorang remaja. Maka remaja perlu pandai menilai budaya pemalu yang bagaimana perlu digalakkan dan budaya pemalu yang bagaimana pula perlu dijauhi.

Remaja wajar menyingkap sikap malu, adakah sikap malu yang ditonjolkan bertepatan dengan masa dan tempat, begitu juga sebaliknya.

Remaja yang memiliki sikap malu yang keterlaluan diperhatikan sebagai seorang yang mudah bimbang, merendah diri, takut, cemas dan runsing. Selalunya sikap ini muncul apabila mereka terpaksa berdepan dengan orang disegani dan tidak dikenali. Perasaan malu apabila diminta memberikan pendapat ataupun persoalan di khalayak ramai. Perasaan malu yang keterlaluan menyebabkan mereka sukar menyatakan pendapat. Jadi mereka berusaha menjauhi diri dari berinteraksi dengan orang sekeliling.

Bagi mendapatkan ilmu, anda tidak boleh malu sebaliknya perlu mengambil bahagian dalam perbincangan, mengeluarkan pendapat seterusnya menimbulkan persoalan bagi perkara-perkara yang tidak difahami ataupun kurang jelas.

Pelajar-pelajar yang mempunyai sifat malu yang tebal akan tersisih dan tertinggal dalam pelajaran. Guru mungkin tidak dapat mengesan tahap penerimaan semua murid akan subjek yang diajarnya, kerana ia lebih cenderung menilai berdasarkan respon dari pelajar sendiri melalui soalan dan pertanyaan yang dikemukakan. Situasi ini akan menambahkan lagi tekanan kepada emosi dan fikiran mereka. Banyak masa yang digunakan untuk memikir dan menyelesaikan masalah ini secara bersendirian.

Rasa malu juga wujud apabila mereka risau tentang penampilan diri yang kurang meyakinkan. Terdapat remaja yang kurang selesa dan rendah dengan latar belakang keluarga. Ini terjadi kepada remaja yang datang dari keluarga yang miskin dan bermasalah. Mereka bimbang dan malu dengan pandangan negatif rakan-rakan sekeliling.

Remaja perlu melakukan perubahan ke arah yang lebih positif. Remaja perlu mempunyai sifat malu, tetapi bukan seorang yang pemalu tidak bertempat atau keterlaluan sehingga merugikan diri sendiri.




 


Kenal Pasti Kelebihan Anda!

Setiap orang dilahirkan dengan kelebihan dan kekurangan yang berbeza-beza. Anugerah ini sewajarnya tidak dipersia-siakan begitu sahaja. Namun, masih ramai remaja tidak dapat mengesan apa kelebihan yang ada pada mereka. Cuba kenal pasti kelebihan, bakat, aset yang ada pada diri anda. Mungkin dalam sesuatu keadaan atau sudut, anda mempunyai kehebatan dan kelebihan tersendiri yang mungkin tidak terdapat pada diri orang lain. Kelebihan dan kehebatan ini jika dipupuk dan dipertajamkan akan memacu dan meletakkan anda ke kemuncak kejayaan. Masa anda pasti lebih berharga jika dipergunakan berdasarkan kelebihan dan kehebatan yang ada pada diri anda. Anda mungkin mampu melakukan satu kejutan luar biasa yang membuka mata masyarakat.

Ramai remaja, apabila ditanya apa kelebihan mereka, mereka menjawab 'saya tidak tahu' atau saya 'tiada apa-apa kelebihan'. Mereka kurang prihatin serta memandang remeh terhadap kebolehan semula jadi yang mereka ada.

Setiap orang mempunyai keunikan yang tersendiri untuk ditonjolkan. Namun, ia bergantung pada kemampuan setiap individu sama ada mereka dapat mengesan ataupun tidak bakat yang ada pada diri mereka. Kemudian mereka perlu mengasah bakat yang sedia ada itu mengikut acuan masing-masing.

Aset atau kelebihan diri jika diasahkan dengan betul akan menjadikan anda remaja yang luar biasa. Ramai remaja mengambil pendekatan dan sikap yang salah, dengan mengambil sikap merendah diri pada bakat diri yang ada. Bagi mereka pendirian tersebut adalah lebih baik dari bersikap menunjuk-nunjuk, atau membangga-banggakan kebolehan yang ada pada mereka itu, malah ada yang malu dengan bakat dan kelebihan yang dianugerahkan.

Anda tidak sepatutnya menyimpan ataupun membiarkan ia terbiar begitu sahaja, sebaliknya anda perlu menzahir dan mengimplementasikannya sebagai sumbangan kepada masyarakat dan negara. Ia adalah bonus tambahan yang dianugerahkan oleh Tuhan selain daripada pancaindera-pancaindera lain yang sempurna untuk digunakan oleh manusia bagi memakmurkan dunia ini.




Sunday, April 11, 2021

Gaya Romantis - EROS.

 Gaya percintaan ini merujuk kepada cinta yang wujud hasil daripada tarikan fizikal yang sangat kuat pada pertemuan pertama. Mereka yang memiliki gaya ini mahukan penyatuan dan perpaduan dalam hubungan cinta. Mereka ini seboleh-boehnya inginkan satu identiti dengan pasangannya, contohnya dalam berpakaian dan mempunyai selera makan yang sama. Selalunya tarikan sosial yang menyebabkan pengamal gaya ini tertarik untuk membentuk hubungan.Pengamal gaya percintaan ini memandang cinta sebagai sesuatu yang sangat tinggi nilainya.

Gaya Permainan - LUDUS.

Mereka yang mengamalkan gaya bercinta jenis ini cuba untuk mengurangkan pergantungan dan tanggungjawabnya. Mereka selalunya mempunyai lebih daripada satu pasangan cinta dalam sesuatu sama. Ini adalah keranan dengan adanya dua atau lebih kekasih serentak lebih senang baginya melepaskan tanggungjawab kepada kedua-dua kekasihnya tadi. Mereka yang mengamalkan gaya ini juga selalunya tidak serius dalam bercinta dan tidak mendalam perasaan cintanya, sebaliknya mereka suka memainkan perasaan ataupun membiarkan pasangannya tertanya -tanya apakah perasaan mereka sebenarnya dan berapa dalamkah penglibatan cinta mereka itu. Pengamal gaya ini juga tidak mempunyai rancangan jangka panjang dalam hubungan cinta, lebih suka membuat hubungan secara mendadak dan tidak teratur. Dengan ini hubungan mereka jarang sekali mesra terutama daripada segi emosi dengan pasangannya. ini disebabkan mereka lebih suka bebas dan tidak mahukebebasannya diganggu oleh sesiapa sahaja termasuklah pasangannya sendiri.

Gaya Persahabatan - STORAGE.

Gaya ini adalah hasil daripada persahabatan. Cinta pada pengamalnya tidak wujud secara mendadak, tetapi timbul secara perlahan-lahan. Kadang-kadang orang yang bercinta tidak menyedari yang mereka sudah lama dalam percintaan. Selalunya orang yang memiliki gaya ini akan mempunyai minat yang sama dengan pasangannya. Mereka juga tidak berkeupayaan untuk menyintai seseorang tanpa dikenali secara mendalam dalam jangkamasa yang panjang. Sebaliknya mereka akan mengenali pasangan itu dahulu sebelum wujudnya perasaan cinta.

Cinta Logikal - PRAGMA.

Gaya logikal merujuk kepada gaya bercinta yang mana individu yang terliba cuba mencari pasangan yang terbaik untuknya. Ia akan menetapkan ciri-ciri khusus dan cuba mencari pasangan yang sesuai dengan atau mengikut ciri-ciri khusus tersebut. Sekiranya pasangan yang sesuai telah ditemui , sebarang kemungkinan untuk berpisah selalunya akan dibuat pertimbangan terlebih dahulu.Pengamal gaya ini juga sabar menangguh hubungan cintaya sehingga mereka betul-betul merasakan individu yang ditemuiitu memenuhi kriteria yang dikehendakinya.

Cinta Kepunyaan - MANIA.

Gaya ini merujuk kepada pengamal yang memiliki sifat cemburu kerana mementingkan ingin bersama setiap masa.Ia tidak suka kepada perpisahan dan semua aktiviti mahu dilakukan bersama. Individu ini menjadi beban kepada orang lain kerana ia sangat mementingkan keperluan diri sendiri. Mereka juga sangat kuat dengan perasaan ingin mengawal, mengongkong dan memiliki dan pada masa yang sama juga mahu merasa dimiliki oleh pasangannya. Oleh itu mereka ini sentiasa mencurigai kejujuran dan keutuhan cinta pasangan masing-masing.

Cinta Pengorbanan - AGAPE.

Gaya pengorbanan merujuk kepada mereka yang suka membantu, amat memahami dan pemaaf. Gaya bercinta ini terlalu ekstrim menyebabkan individu terlalu penyabar terhadap objek yang dicintainya. Pengorbanan ini menyebabkan pemikirannya terbatas. Pengamal gaya bercinta ini juga bersikap terbuka kerana ia boleh menerima cinta daripada orang yang berbeza-beza personalitinya. Pengamal gaya percintaan ini akan memberikan cinta dan kasih sayang dengan rela hati tanpa sebarang syarat kepada pasangannya. Pengamal gaya percintaan ini juga sanggup melakukan apa sahaja asalkan orang yang mereka cintai itu bahagia dan selesa, bahkan mereka rela mengenepikan cita-cita atau pun kehendak dirinya sendiri asalkan pasangan mereka berjaya mendapatkan apa yang dikehendakinya.




Wednesday, March 31, 2021


Seorang yang pandai membuat barangan berasaskan kayu di panggil tukang kayu. Biasanya, seorang tukang kayu adalah seorang yang sabar dan tekun menjalankan aktivitinya. Seorang tukang kayu yang berwibawa amat mementingkan kos dan jimat dalam membelanjakan wang.Kayu-kayu lebihan semasa membuat sesuatu barangan tidak akan dibuang begitu sahaja kerana lambat laut kayu-kayu itu akan digunakan untuk membuat barangan lain.

Pepatah tukang tidak membuang kayu  bermaksud orang cerdik selalunya berhemat dan berhati-hati di dalam melakukan sesuatu.



Seorang pelajar yang cemerlang tidak akan mensia-siakan apa yang dipelajari. Semua yang ditelaah digunakan untuk menjawab soalan peperiksaan. Pelajar cemerlang amat mementingkan markah. Mereka amat berkira dengan markah yang bakal diperoleh. Satu markah sahaja dapat membezakan seorang itu sama ada dia layak mendapat markah A atau B.

Bagi mereka yang hebat, persediaan-persediaan berikut dilakukan;

1. Persediaan awal - perbanykkan latihan

2. Sebulan sebelum peperiksaan - mampu menceritakan apa yang dipelajari kepada kawan-kawan.

3. Semalam sebelum peperiksaan - pastikan tidur yang berkualiti dan cukup, serta alat tulis tersiap sedia untuk dibawa ke dewan peperiksaan.

4. Sebelum peperiksaan - bangun awal pagi, sarapan pagi, bersiap ke bilik air serta dokumen penting dibawa ke dewan peperiksaan.



Rumusan.

Ilmu yang diperoleh sejak melangkah ke sekolah amat penting dan berguna selama-lamanya. Sewaktu pra sekolah, anak-anak diajar mengenal huruf. Jika kita abaikan, huruf-huruf berkenaan, sudah pasti kita tidak dapat belajar sehinggan ke tingkatan 5. Mereka yang cemerlang bersiap sedia untuk menghadapi masa-masa akan datang serta tidak lupa kepada apa yang dipelajar sebelumnya.

Allah SWT, berfirman di dlaam al-Quran; 

'Bermaksud;'Sesungguhnya Tuhanmulah yang meluaskan rezeki bagi sesiap yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya) dan Allah juga yang menyempitkannya (menurut yang demikian). Sesungguhnya Allah Maha Mendalam Pengetahuannya, lagi Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya;. Surah al-Isra: ayat 36.

Seseorang yang rajin bekerja dan berusaha akan mendapat apa yang diinginkan dengan izin Allah SWT. Tetapi rezeki yang diperoleh tidak datang begitu sahaja tanpa usaha dan ikhtiar yang bersungguh-sungguh.

Allah SWT telah berfirman di dalam al-Quran:

Bermaksud;'Bahawasanya seorang manusia tidak memperolehi apa yang diusahakan.' Surah an-Najm:ayat 39



Tuesday, March 30, 2021




























Majlis Guru Kaunseling Daerah Kota Kinabalu telah melaksanakan Bengkel Youtuber dan Blogspot. Program ini merupakan anjuran Pejabat Pendidikan Daerah Kota Kinabalu di kelolakan oleh Majlis Guru Kaunseling Daerah Kota Kinabalu dan usahasama Managment Science University Cawangan Kota Kinabalu.
Penyempurnaan majlis ini disempurnakan oleh Yang Berusaha Tuan Kassim Haji Wiro, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kota Kinabalu. Turut sama dalam majlis tersebut ialah Yang Berusaha En.Suif Bin Sainan, Pengetua Kolej MSU. Dalam ucapan perasmian, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah,memberi penekanan supaya guru-guru bimbingan dan kaunseling, harus berlari pantas seiring  dengan kepantasan teknologi berinformasi dalam membantu kecemerlangan modal insan dan institusi pendidikan. 
Dalam majlis ini juga, turut diraikan staf MSU yang menamatkan perkhidmatannya kerana menjaga kebajikan ibu bapa yang uzur iaitu Puan Hajar Ambolou. Semoga hubungan persahabatan terus terjalin kukuh.

Renungan KITA SEMUA

Wahai Anakku! Carilah ilmu kerana apabila kamu menjadi fakir maka itulah hartamu dan bila kamu kaya, ilmu itu menjadi perhiasan dirimu. Lukmanul Hakim

Keluarga Ku.

Keluarga Ku.
MUSLIAH H.M.A

Renungan

Tidak ada yang lebih buruk dan lebih merbahaya dalam hidup ini selain daripada rasa takut untuk melakukan sesuatu yang positif.

Wahai Diri

A good leader is not that person who does things right, but the person who finds the right things to do.

Seorang pemimpin yang baik bukannya seseorang yang melakukan sesuatu kerja dengan betul, tetapi seseorang yang mencari kerja yang betul untuk dilakukan.

Selamat Datang

Blog Unit Bimbingan & Kaunseling
Maktab Sabah, Kota Kinabalu.
Tel:088-225201 Fax:088-216414