Tazkirah

Character is what you know you are, not what others think you have.

Keperibadian adalah apa yang anda ketahui tentang diri anda sendiri, bukannya apa yang difikirkan oleh orang lain tentang keupayaan anda.

Featured post

Orang Haus Diberi Air, Orang Lapar Diberi Nasi.

Haus itu dahaga, dahaga itu akan hilang apabila mennerima air. Lapar itu adalah satu perasaan yang memerlukan makanan. dan dalam konteks mak...

Admin Blog

Admin Blog
MUSLI ANDALAN

Blog Archive

Wednesday, January 12, 2022

 


Untuk menjadi pelajar cemerlang, persediaan diri dalam aspek fizikal, mental dan emosi belum lagi mencukupi. Pelajar perlu memperkuatkan benteng pertahanan dalamannya iaitu meningkatkan ilmu pengetahuan dan amalan yang berteraskan agama. Tanpa pegangan agama, hidup pelajar ibarat kapal yang tidak berkemudi. Pelajar kini banyak terdedah kepada berbagai godaan dan dugaan. Hanya dengan kekuatan agamalah setiap pelajar dapat mengawal hidup mereka dengan sempurna.

Firman Allah SWT yang bermaksud;

'Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang membersihkan diri dengan beriman dan ingat nama Tuhan lalu dia sembahyang, tetapi orang-orang kafir memilih kehidupan duniawi, sedangkan di akhirat adalah lebih baik dan kekal'. (Al-Alaa:14)

Kemajuan dan perkembangan negara kita yang pesat telah menyebabkan para pelajar terdedah dengan berbagai kemudahan yang canggih dan moden. Internet sebagai contohnya jika disalahgunakan akan mengancam kestabilan rohani para pelajar.

Di dalam zaman globalisasi atau dunia tanpa sempadan ini kemajuan yang dicapai perlu seimbang dengan kekuatan rohaniah yang stabil. Kemajuan dan perkembangan sosial yang semakin mencabar jika tidak ditangani dengan baik akan menyebabkan para pelajar terjerumus ke lembah yang kurang sihat. Pelajar yang inginkan kecemerlangan perlu mengelakkan amalan-amalan negatif berikut:

  1. Mengamalkan hidup glamour yang lebih menekankan aspek kehidupan duniawi daripada kehidupan ukhrawi seperti mengamalkan budaya rock dan mengunjungi pusat-pusat karaoke.
  2. Mengamalkan hidup yang tidak mementingkan masa seperti budaya lepak.
  3. Mengamalkan budaya berpeleseran yang membawa hubungan seks bebas seperti bohsia, bohjan dan lain-lain lagi.
  4. Mendedahkan diri kepada bahan bacaan seperti tontonan yang bercorak lucah.
  5. Menghisap rokok, vape, menagih dadah dan minum minuman keras.
  6. Menelan pil-pil khayal seperti ectacy.


Justeru kerana itu pelajar perlu mengelakkan diri daripada terperangkap dengan amalan-amalan yang tidak bermoral ini dengan menyiapkan diri dengan keimanan dan jiwa yang teguh. Tidak ada gunanya  pelajar hanya cemerlang dari segi akademik tetapi jiwa pelajar kosong tanpa nilai-nilai agama dan pengisian rohani yang bersih dan sihat. Pelajar wajib menunaikan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan agama. Tidak ada gunanya pelajar mendabik dada mengatakan pelajar telah berjaya dalam hidup tetapi rohani pelajar kering kontang dan lemah.

'Pada suatu hari Luqmanul Hakim telah ditanya oleh anaknya; 'Wahai bapaku, apakah sebaik-baik perangai manusia?.'Jawab Luqman 'Agama' Anaknya bertanya lagi,'Kalau perangai itu ada dua?'Jawab Luqman ;'Agama dan harta'. Lalu ditanya lagi, kalau tiga? Jawab Luqman; 'Agama, harta dan malu'. Si anak bertanya lagi: Kalau empat? Jawab Luqman;'Agama, harta, malu dan budi pekerti yang baik.' Tanya anaknya lagi, Kalau Lima? ' Jawab Luqman: Agama, harta, malu, budi pekerti yang baik dan pemurah'. Anaknya bertanya lagi; Bagaimana jika perangai itu enam? Maka jawab Luqman: Wahai anak kesayanganku, kalau lima perangai itu terkumpul pada seseorang, maka dia adalah orang yang suci, terpelihara (takwa), dilindungi Allah dan bebas dari syaitan. (Nasihat Luqman Hakim).

Sebagai manusia yang dijadikan Allah SWT, pelajar telah dibekalkan dengan kekuatan akal dan fitrah. Dengan akal dan fitrah yang dianugerahkan oleh Allah, pelajar sepatutnya mampu membezakan antara perkara yang baik dan yang buruk dan perkara yang benar dan yang batil. Sebagai manusia biasa, pelajar tidak dapat lari daripada menunaikan segala kemahuan jasmani tetapi ia perlulah berdasarkan ketetapan yang telah digariskan oleh Allah di dalam Al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW, berakhlak, beriman dan bertakwa.

Di dalam agama kita, setiap larangan adalah merupakan peraturan Allah SWT yang bertujuan untuk memelihara akhlak dan keimanan pelajar secara sempurna. Larangan ini bukan bertujuan untuk menyekat kebebasan pelajar sebaliknya untuk melahirkan pelajar yang berperibadi mulia. Agama kita melarang pelajar meminum arak dan menagih dadah kerana akan mengganggu keseimbangan akal. Emosi atau perasaan pelajar menjadi tidak terkawal dan sudah tentu penumpuan kepada bidang pembelajaran dan kehidupan seharian menjadi tidak menentu.

Allah SWT melaknat pelajar-pelajar yang melakukan seks bebas dan bersekedudukan tanpa nikah apalagi menjadi bohsia dan bohjan. Perbuatan ini bukan sahaja terkutuk malah akan meruntuhkan maruah generasi manusia itu sendiri. Sebagai pelajar yang inginkan kecemerlangan dari segi akademik dan kehidupan seharian, pelajar perlu memiliki sifat-sifat takwa sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh  at-Tarani dari Abi Zar.

'Bertakwalah kepada Allah di mana saja kamu berada, iringilah perbuatan yang buruk dengan perbuatan yang baik nescaya terhapus dosanya dan gaulilah orang ramai dengan perangai-perangai yang baik'.

Dengan mempunyai sifat-sifat takwa akan mendorong pelajar agar sentiasa patuh menjunjung perintah Allah dan menjauhi segala larangan, mendorong pelajar cintakan Allah serta sentiasa menjaga diri dari terlibat di dalam aktiviti maksiat dan perkara-perkara yang dimurkai Allah Taala. Kerana itu takwa harus menjadi pakaian setiap pelajar di mana saja mereka berada.

Sejak akhir-akhir ini gejala sosial begitu hebat diperkatakan di kalangan para pelajar dan juga remaja kita. Sesungguhnya masalah ini boleh diubati  dengan pelajar kembali kepada ajaran Islam sebenarnya. Ajaran Islam yang syumul lagi kamil bukan semata-mata mencakupi aspek ibadah tetapi juga segala  urusan penghidupan seharian.

Seandainya terjadi penyelewengan atau pelajar terjerumus ke dalam aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral maka hendaklah kembali ke pangkal jalan. Segeralah diganti aktiviti-aktiviti yang meruntuhkan moral itu dengan amalan kebajikan agar terhapus dosanya. Sebagai pelajar Islam kita tidak seharusnya terus membiasakan diri melakukan aktiviti maksiat yang dilarang Allah SWT. Setiap maksiat itu mesti ditebus segera dengan hasanah agar kita benar-benar memperlihatkan penyesalan. Pelajar perlu melengkapkan diri dengan ajaran Islam dan mempraktikkan keindahan Islam dalam kegiatan sosial, berpersatuan, kegiatan sukan, pembelajaran, pergaulan dan pelbagai aktiviti seharian.

Agama Islam sangat menekankan agar pelajar mempunyai akhlak yang baik dan terpuji. Pelajar perlu selalu berakhlak dengan Allah SWT. Antara tanda-tanda yang pelajar berakhlak baik dengan Allah SWT ialah;
  1. Pelajar merasai sentiasa diawasi oleh Allah SWT.
  2. Pelajar mengenal Allah SWT dengan yakin.
  3. Pelajar merasa malu dengan Allah SWT.
  4. Pelajar merasa rendah diri dengan Allah SWT.
  5. Pelajar meredhai di atas setiap takdir dan ketentuan Allah SWT..
  6. Pelajar mensyukuri nikmat-nikmat pemberian Allah SWT.
  7. Pelajar menyintai Allah SWT.
  8. Pelajar berasa takut apabila ingin melakukan dosa atau larangan Allah.
  9. Pelajar sentiasa mengingati Allah SWT.
  10. Pelajar merasa gerun dengan neraka Allah SWT.
  11. Pelajar rindu pada syurga Allah SWT.



Pelajar yang beriman dan berakhlak akan merasai dirinya  selalu dekat dengan Allah SWT. Walaupun terpencil dan tidak ada mata yang memandang, tidak ada telinga yang mendengar dan tidak ada sesiapa yang tahu tetapi pelajar yakin Allah selalu mengawasi dan mengetahui apa yang dialkukan. Sebagaimana Firman Allah SWT yang bermaksud ;' Dan kepunyaan Allah Timur dan Barat, maka  kemana saja kamu mengadap, disitulah wajah Allah. Sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmatnya) lagi Maha Mengetahui'. (Al-Baqarah:115)

'Dan sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya, iaitu ketika dua orang malaikat (mencatat amal perbuatannya), seorang duduk di sebelah kanan dan seorang lagi di sebelah kiri. Tiada suatu ucapanpun yang diucapkannya, kecuali ada berdekatnnya malakait raqib (pengawas) dan 'attid'(yang selalu hadir) (Qaaf:16-18).

Sebenarnya iman pelajar akan semakin luntur jika pelajar tidak mendampingkan diri dengan berbagai aktiviti keagamaan. Keteguhan dan kekuatan iman akan meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dan seterusnya mencegah pelajar agar tidak terpesong dari ajaran agama Islam.Keimanan dan ketakwaan beserta dengan petunjuk serta hidayah dari Allah SWT akan melahirkan jiwa yang kuat dan utuh di dalam menempuh segala ujian, godaan dan dugaan berbagai-bagai gejala sosial yang merosakkan.

Mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya adalah kaedah yang paling berkesan di dalam membentuk perwatakan pelajar untuk membina benteng  rohaniah yang kukuh dalam menangani keruntuhan moral dan penyakit sosial  yang melanda para pelajar atau belia Islam kita. Pelajar perlu sedar bahawa mereka diamanahkan oleh Allah SWT untuk melengkapkan diri dengan akidah tauhid, akhlak, iman dan takwa serta ilmu dan kemahiran ukhrawi dan duniawi agar tidak mudah terjebak ke dalam pelbagai aktiviti sosial yang merosakkan dan melalaikan.

Segala perbuatan yang ditegah oleh agama dan menyalahi undang-undang negara akan mengeruhkan kejernihan dan ketenteraman jiwa seseorang pelajar. Pelajar akan dikutuk dan dilaknati oleh hati kecilnya dan sentiasa membawa penyesalan-penyesalan yang pedih. Pelajar tidak mungkin menyembunyikan kejahatan dan dosa yang dilakukan dari hati kecilnya yang tidak pernah lalai dan tidur. Hati kecil inilah yang akan membuat dirinya gelisah dan resah di mana saja pelajar berada.

Hukuman hati kecil adalah lebih azab dan sengsara dari hukuman undang-undang. hati kecil akan membuatkan pelajar tersiksa hingga akhir hayatnya, bahkan hukuman hati kecil inilah yang telah menyebabkan orang sanggup membunuh diri mereka sendiri. Mahkamah hati kecil pelajar akan menurut jejaknya ke mana saja dia pergi dan akan menjatuhkan kutukan-kutukan pedih dan menyiksa jiwanya. Jadi untuk mencapai kejayaan hidup di dunia dan di akhirat pelajar perlulah menjauhkan diri dari segala perbuatan yang menyalahi agama dan undang-undang negara.




Pelajar yang cemerlang akan mempunyai jiwa yang tenteram. Perbuatan yang baik adalah lahir daripada jiwa yang baik. Jiwa yang tenteram akan mendorong pelajar untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam meningkatkan aktiviti pembelajaran. Pelajar yang cemerlang akan sentiasa memohon kepada Allah agar ditenangkan jiwanya. Dengan mempunyai jiwa yang tenang pelajar akan lebih terdorong untuk melakukan amalan yang bermanfaat kepada pelajaran. Untuk memperolehi jiwa yang tenang pelajar perlu bertakwa kepada Allah SWT sebagaimana Firman-Nya yang bermaksud;
'Dan barangsiapa yang bertakwa kepada Allah akan diberikan jalan keluar (kelapangan daripada permasalahan) dan dikurniakan rezeki yang tidak diketahui mana datangnya. Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan melaksanakan urusan (yang dikehendakiNya). Sesungguhnya Dia telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu. (At-Thalaq:2-3)


Renungan KITA SEMUA

Wahai Anakku! Carilah ilmu kerana apabila kamu menjadi fakir maka itulah hartamu dan bila kamu kaya, ilmu itu menjadi perhiasan dirimu. Lukmanul Hakim

Keluarga Ku.

Keluarga Ku.
MUSLIAH H.M.A

Renungan

Tidak ada yang lebih buruk dan lebih merbahaya dalam hidup ini selain daripada rasa takut untuk melakukan sesuatu yang positif.

Wahai Diri

A good leader is not that person who does things right, but the person who finds the right things to do.

Seorang pemimpin yang baik bukannya seseorang yang melakukan sesuatu kerja dengan betul, tetapi seseorang yang mencari kerja yang betul untuk dilakukan.

Selamat Datang

Blog Unit Bimbingan & Kaunseling
Maktab Sabah, Kota Kinabalu.
Tel:088-225201 Fax:088-216414