Thursday, August 7, 2025

Patuhi Etiket Keluarga Harmoni.



Pendidikan Moral Tingkatan 2.

Dalam unit ini, murid-murid akan belajar tentang;

  • pelbagai etiket di rumah
  • kepentingan etiket di rumah
  • kesan sekiranya etiket dirumah tidak dipatuhi.
  • cara menzahirkan perasaan apabila mengamalkan etiket di rumah dan
  • cara mempraktikkan etiket dirumah sebagai amalan dalam kehidupan seharian.
Antara nilai yang diterapkan dalam tajuk ini ialah hormat, rasional, hemah tinggi, kesederhanaan dan bertanggungjawab.




Etiket bermaksud peraturan tingkah laku atau sopan santun sama ada dalam kehidupan harian, dalam hubungan antara satu sama lain atau dalam majlis yang berbentuk formal atau tidak formal. Etiket di rumah merupakan peraturan tingkah laku atau sopan santun yang diamalkan dalam kehidupan harian bagi keluarga masing-masing. Etiket di rumah disampaikan secara lisan atau bertulis oleh ibu bapa dan anggota keluarga yang lebih tua seperti datuk atau nenek. Etiket yang diamalkan sejajar dengan peraturan dan norma masyaraka

Terdapat pelbagai etiket di rumah yang perlu diamalkan oleh anggota keluarga bagi menjaga keharmonian dalam institusi kekeluargaan. Antara contoh etiket di rumah adalah seperti yang berikut.

Etiket Menghormati Keluarga 
•Memanggil anggota keluarga dengan panggilan yang betul. Contoh: kakak, adik, mak cik dan datuk. 
• Menerima nasihat dan tidak menyinggung perasaan anggota keluarga. 
• Bersuara lembut dan berbahasa sopan semasa bertutur. 
• Meminta pandangan dan mendengar nasihat daripada anggota keluarga. 
• Memberikan layanan yang baik kepada mereka yang lebih tua daripada kita.

Etiket di Meja Makan 
• Berpakaian bersih dan kemas di meja makan. 
• Makan apabila semua anggota keluarga sudah hadir di meja makan. 
• Mendahulukan orang yang lebih tua mengambil makanan. 
• Mengambil makanan yang terdekat dengan anda. 
• Mengambil makanan secukupnya dan tidak berlebihan. 
• Mengunyah makanan dengan mulut tertutup dan tidak mengeluarkan bunyi. 
• Menutup mulut sekiranya bersin.

Etiket Menghormati Tetamu 
• Mengukir senyuman manis semasa menyambut kehadiran tetamu. 
• Bersalam mengikut kesesuaian. 
• Mempersilakan tetamu masuk ke rumah. 
• Memberikan layanan yang baik dan ikhlas terhadap tetamu. 
• Menghidangkan makanan kepada tetamu. 
• Menjemput tetamu makan

Etiket dikatakan peraturan dan cara hidup yang benar serta beretika kerana berjaya mendidik kita untuk memelihara hubungan baik antara satu sama lain. Misalnya, dengan mematuhi etiket menghormati tetamu, kita telah mengambil kira perasaan tetamu yang mendapat layanan baik semasa berkunjung ke rumah kita.Yang berikut merupakan kepentingan mematuhi etiket di rumah.

  •  Bersikap ingin membantu
  • Bersikap sopan dan menghormati pihak lain
  • Menjaga perasaan dan hubungan baik dengan pihak lain
  • Mengamalkan sikap toleransi dan tidak mementingkan diri
  • Menjaga nama baik diri dan keluarga 
  • Mewujudkan keharmonian hidup
Dalam usaha mendidik dan memupuk nilai murniserta etiket di rumah, ibu bapa mungkin menghadapi masalah terutama bagi menyediakan anak-anak dengan budaya hidup dan peraturan. Oleh itu, kesabaran ibu bapa semasa dalam usaha mendidik anak-anak harus dihargai dan dipatuhi oleh anak-anak demi mengekalkan keharmonian hidup dalam keluarga. Ibu bapa sudah tentu akan berasa gembira dan bangga apabila melihat anak-anaknya bersopan santun menghormati anggota keluarga dan tetamu yang berkunjung ke rumah.




No comments: