Penyakit mental adalah
gangguan yang melibatkan perubahan pemikiran, emosi, dan tingkah laku yang
menjadikan kehidupan harian seseorang itu menjadi sukar. Kecelaruan perasaan
adalah salah satu daripada pelbagai jenis kecelaruan mental yang ada.
Lazimnya, manusia merasai pelbagai jenis perasaan dalam
hidupnya sama ada normal, riang, sedih dan sebagainya. Persoalannya ialah
bagaimanakah hendak membezakan perasaan yang dirasai itu sesuatu yang normal
atau permulaan episod kecelaruan mental yang serius?
Secara umumnya tanda kecelaruan perasaan ini bermula
apabila kecelaruan perasaan itu mendatangkan kesan negatif kepada setiap aspek
kehidupan dan berlarutan dalam jangka masa yang agak lama, ataupun berlaku
tanpa sebab yang nyata. Seseorang yang normal mempunyai kawalan ke atas
perasannya tetapi bagi mereka yang menghadapi masalah kecelaruan perasaan tidak
dapat mengawal perasaan mereka. Kegagalan mereka mengawal perasaan akhirnya
membawa kemudaratan kepada diri sendiri dan juga keluarga.
Kecelaruan perasaan bermaksud gangguan emsoi yang
menyebabkan ketidakselesaan yang subjektif atau mengganggu kebolehan seseorang
untuk berfungsi secara normal atau kedua-duanya sekali. Kecelaruan ini
melibatkan dua jenis sindrom iaitu kemurungan dan mania.
Simptom
yang paling ketara bagi penyakit kemurungan ini ialah penurunan perasaan
yang disertai dengan pengurangan aktiviti dan keadaan pesakit yang tidak
bermaya. Pesakit tidak lagi berminat untuk melakukan apa-apa aktiviti yang
biasa dilakukannya. Pesakit cenderung untuk berasa sedih yang melampau,
merasakan dirinya tidak berguna dan hidup yang dilaluinya tidak bererti lagi
dan sangat mengecewakan. Menangis adalah salah satu cara untuk mereka melepaskan
rasa marah dan kecewa. Penyakit kemurungan ini selalunya disertai dengan
sindrom kebimbangan.
Fikiran pesakit kemurungan ini sering terganggu dan hanya
dipenuhi dengan perkara yang suram dan menyedihkan. Akibatnya pesakit akan mengalami
masalah hilang daya tumpuan. Mereka tidak dapat menumpukan perhatian terhadap
aktiviti yang sedang dilakukan kerana sentiasa diganggu oleh kebimbangan dan
ketakutan yang wujud dalam diri mereka. Pemikiran mereka juga menjadi lebih negatif.
Mereka akan sering menyalahkan, mengutuk dan merendah-rendahkan keupayaan diri
sendiri. Mereka memandang negatif terhadap dunia luar dan pesimis terhadap masa
depan. Mereka sering memikirkan bahawa penderitaan yang dialami tidak akan
berakhir dan cara terbaik untuk menyelesaikan segalanya adalah dengan membunuh
diri.

Perubahan dari segi tingkah laku yang dialami oleh
pesakit kemurungan ini ialah pesakit kelihatan seperti tidak bermaya, sering
menjauhkan diri daripada orang ramai dan memperlihatkan produktiviti kerja yang
semakin mersosot. Penampilan dari segi kebersihan diri, pakaian, dan rambut
juga tidak terurus. Selain itu mereka juga mengalami maalah kerencatan fungsi
psikomotor seperti intonasi suara yang rendah, pergerakan menjadi perlahan,
kurang bercakap dan lebih banyak menggunakan ekspresi muka serta isyarat badan
apabila berinteraksi dengan orang lain. Mereka juga lebih suka duduk berdiam
diri dan tidak bergerak untuk berjam-jam lamanya.
Agitasi juga adalah salah satu simptom bagi sindrom ini.
Pesakit sentiasa berasa gelisah, berjalan mundar mandir, memulas-mulas tangan sendiri
serta berulang kali bertanyakan soalan yang sama dan seolah-olah mendesak
kepada orang lain.
Akibat daripada gangguan perasaan dan fikiran pesakit
kemurungan turut mengalami masalah dari segi fisiologi. Mereka akan hilang
selera makan yang akhirnya menyebabkan penurunan berat badan dan mengalami
masalah sembelit. Kehilangan selera makan ini berpunca daripada hilangnya nafsu
terhadap makanan. Mereka merasakan bahawa makanan yang dimakan itu tidak ada
sebarang rasa. Namun begitu, ada juga sesetengah pesakit yang selera makan mereka
meningkat hingga menyebabkan pertambahan berat badan.
Selain itu, mereka juga mengalami gangguan tidur seperti
insomnia, kerap terjaga tengah malam atau selalu dihantui dengan mimpi ngeri
ketika tidur. Kadangkala ada juga pesakit yang mengalami hypersomnia (tidur
berlebihan). Masalah kesihatan lain yang dialami oleh mereka ialah gangguan
kitaran haid bagi wanita dan penurunan kemampuan daya seksual.