Thursday, May 14, 2020

Hikmah Berpuasa dan Kelebihan Bulan Ramadan.


Hari ini 14 Mei 2020 bersamaan dengan 21 Ramadan 1441H, iaitu kita berada di Bahagian ke 3,  10 hari terakhir di bulan Ramadan sebelum kita meraikan Hari Raya Aidil Fitri di bulan Syawal. Bahagian pertama ialah rahmat, bahagian ke 2 keampunan manakala bahagian ke 3 kebebasan dari azab api neraka. Semoga perkongsian ini sedikit sebanyak memberi manfaat.

HIKMAH BERPUASA DAN KELEBIHAN BULAN RAMADAN.

1. Ketibaan Ramadan, umat Islam di seluruh pelusuk dunia serentak mengerjakan ibadah puasa dalam satu masa tertentu. Kesatuan hati dan niat tulus ikhlas ini dilakukan semata-mata untuk mengabadikan kepada Allah SWT.

2. Dengan diwajibkan berpuasa, semua golongan Islam, kaya dan miskin, berada dan tidak berada, terpaksa menempuh ujian yang sama. Dengan berpuasa menimbulkan keinsafan dan perasaan bertimbang rasa serta kasih mengasihi sesama umat Islam.

3. Amalan berpuasa melahirkan jiwa insan yang selalu taat kepada Allah, justeru itu akan lahir pula ketenangan jiwa dan ketakwaan.

4. Dari segi kesihatan, perut yang melalui proses berpuasa dapat dibersihkan, sekaligus beberapa penyakit yang terdapat di dalam tubuh manusia dapat diatasi.

5. Puasa itu disifatkan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai separuh daripada kesabaran.

6. Orang yang berpuasa lebih disayangi Allah, selamat daripada api neraka dan menghapuskan dosa-dosa kecil.

7. Kedatangan Ramadan ada keistemewaannya kerana dianjurkan ibadah solat Tarawih disamping itu diwajibkan juga zakat fitrah (badan) ke atas golongan yang mampu sebagai satu kewajipan membantu insan Muslim yang lain, khususnya mereka yang daif.

8. Diriwayatkan sebuah hadis daripada Nabi s.a.w yang bermaksud 'sesiapa berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan, mengharap balasan daripada Allah diampunkan dosa-dosanya yang lalu'.

9. Ketibaan Ramadan menandakan terbukanya pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dirantaikan syaitan.

10. Malam Nuzul al-Quran (17 Ramadan) merupakan saat penting al-Quran diturunkan dari langit ke dunia untuk menjadi pedomana manusia hingga ke akhir zaman.

11. Terdapatnya Lailatul Qadar iaitu satu malam yang adanya terdapat saat penuh keberkatan menyamai 1000 bulan (83 tahun 3 bulan) ganjaran pahalanya daripada Allah SWT.

No comments: